CAP gesa masalah petani Padang Terap ditangani segera

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membina sistem saliran yang sempurna di kawasan sawah seluas 500 hektar di Mukim Padang Terap dekat Kuala Nerang di sini.
 
Menurut Presidennya S.M. Mohamed Idris, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkenaan berikutan kesan buruk yang semakin serius dihadapi kira-kira 100 petani di kawasan terbabit akibat bekalan air tidak mencukupi untuk tanaman padi yang mereka usahakan.

- Advertisement -

“Petani-petani di sini hanya mengharapkan kepada air hujan untuk mengerjakan sawah dua kali setahun. Pada musim kemarau masalah kekurangan air kerap berlaku di mana tanah sawah menjadi kering kontang sehingga menjejaskan hasil padi dan sumber pendapatan mereka,” katanya kepada Harakahdaily.

Kampung-kampung yang terlibat ialah Kampung Lubuk Labi, Kampung Tanjung, Kampung Padang Gelanggang, Kampong Pok dan Kampung Tanah Merah.
 
Kesan daripada itu, katanya, kerugian besar turut dialami oleh petani terbabit kerana benih yang mereka tabur tidak tumbuh dan hasil jualan padi berkurangan kerana buah padi tidak berisi dan menjadi ringan
 
Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati 70% kawasan sawah di sini ditumbuhi berbagai jenis rumput terutama rumput sambau menyebabkan pokok padi terencat pertumbuhannya.
 
CAP berharap Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kajian secara menyeluruh tentang masalah ini supaya projek pembinaan saliran di kawasan tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan.
 
CAP melahirkan kebimbangan jika keadaan ini dibiarkan lebih banyak masalah akan berlaku dan dihadapi oleh petani-petani di sini pada masa akan datang seperti ancaman tikus, siput gondang termasuk rumput sambau yang mampu mengurangkan hasil padi antara 10 hingga 80% pada musim menuai.
 
“Kemungkinan juga tanah sawah menjadi terbiar jika sumber air dari Empangan Ahning dan Empangan Pedu yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut diabaikan kepentingannya untuk para petani di sini,” ujarnya.

Justeru itu katanya, adalah wajar masalah ini diberi perhatian serius dan ditangani segera agar ia tidak menjejaskan kehidupan para petani di kawasan itu dengan lebih teruk lagi dan menggugat bekalan makanan serta sektor pertanian negara di masa depan. – HARAKAHDAILY 24/8/2017

- Advertisement -