Tidur dan permasalahannya

- Advertisement -

Soalan
Kategori: Kesihatan
Macam mana kita nak mengatasi mengantuk yang melampau di waktu siang menyebabkan hilang tumpuan kerja…mengantuk tidak kira masa…mohon penjelasan dari sahabat…jazakallah khairan kathira.

- Advertisement -

Jawapan:

1. Tidur adalah satu keperluan dalam kehidupan. Manusia menghabiskan satu pertiga kehidupan untuk tidur [1]. Badan memerlukan kerehatan setelah berpenat sepanjang hari. Kajian menunjukkan jumlah tidur malam 5-7 jam sudah mencukupi bagi menyegarkan badan pada siang hari [2]. Jumlah kecukupan tidur bagi setiap individu berbeza-beza bergantung kepada metabolisma badan masing-masing. Secara urufnya, jika tidur mencukupi, badan kita akan segar apabila bangun pagi. Tidur yang tidak mencukupi, akan mengganggu sifat, perangai dan fizikal seseorang.

2. Punca tidur tidak mencukupi disebabkan beberapa faktor:

(i) Makan ubatan yang anti tidur, makanan yang berkefein (kopi)

(ii) Terlalu menumpu kepada gajet seperti komputer game, telefon pintar sehingga menjadi ketagihan.

(iii) Suasana bilik tidur yang tidak kondusif seperti bising, panas atau bau yang tidak menyenangkan.

(iv) Beberapa penyakit perubatan yang mengganggu fizikal.

3. Apabila dilihat kita selalu mengantuk semasa siang hari, siasat beberapa perkara:

(i) Adakah anda gemuk dan tidur berdengkur? Kemungkinan mempunyai masalah “Obstructive Sleep Apnea” – pernafasan berhenti seketika semasa tidur menyebabkan anda kerap terbangun tanpa sedar untuk dapatkan udara. OSA ini telah dibuktikan mempunyai kaitan dengan risiko sakit jantung [3].

(ii) Kaki selalu kejang dan menyentak (twitching)? Kemungkinan anda mengalami Restless Leg Syndrome – kaki tidak rehat semasa tidur, bergerak ke sana-sini. Ianya boleh mengganggu tidur yang berkualiti tanpa kita sedari. Ia juga mungkin berkait rapat dengan penyakit buah pinggang, kencing manis dan penyakit saraf. (Pengesahan dan pemeriksaan doktor amat diperlukan). Minum kopi sebelum tidur boleh menyebabkan RLS ini semakin serius. [4]

(iii) Terdapat kajian juga mengaitkan Vitamin D boleh menyebabkan gangguan semasa tidur. Sila lihat rujukan ini [5].

4. Tidur sebentar semasa siang hari juga telah menjadi hasilan kajian para pengkaji yang mengaitkan kesan kesihatan. Rasulullah SAW melazimi qailulah, iaitu tidur seketika sama ada sebelum atau selepas zuhur. Kajian mendapati sesiapa yang tidur sebentar kurang dari 30 minit boleh mengurangkan kematian akibat serang jantung [6]. Tetapi kajian lain pula menyatakan jika tidur melebihi 30 minit boleh menyebabkan penyakit kencing manis![7].

“Ilmu Allah itu luas, penerangan ringkas ini tidak mencukupi kerana isu tidur dan permasalahannya terlalu banyak dibincangkan sehinggakan ada persatuan masalah tidur ditubuhkan dalam banyak negara.”

Link Rujukan
[1]  Colten HR, Altevogt BM. Sleep Disorders and Sleep Deprivation: An Unmet Public Health Problem. Online http://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK19956/.
[2] M Suzanne Stevens. Normal Sleep, Sleep Physiology, and Sleep Deprivation. Online http://emedicine.medscape.com/article/1188226-overview.
[3] Sleep Apnea -a Overview and Facts. Online http://www.sleepeducation.org/essentials-in-sleep/sleep-apnea/overview-facts
[4] SDA Facts Sheet.  Restless Legs and PLMS. Online https://www.sleepoz.org.au/images/FactSheets/AT07-Restless_Legs_and_PLMS.pdf.
[5] Vitamin D Deficiency Could Explain Your Restless Nights and Broken Sleep. Online http://bodyecology.com/articles/vitamin-d-deficiency-could-explain-your-restless-nights-and-broken-sleep
[6] Darul Ifta. Online http://islamqa.org/hanafi/darulifta-deoband/24332
Naska A1, Oikonomou E, Trichopoulou A, Psaltopoulou T, Trichopoulos D. Siesta in healthy adults and coronary mortality in the general population. Online http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed?cmd=Retrieve&dopt=AbstractPlus&list_uids=17296887.
[7] Webmd. Daytime Sleepiness, Long Naps Tied to Heart Risks. http://www.webmd.com/sleep-disorders/news/20160324/daytime-sleepiness-long-naps-linked-to-heart-risks-study.

Dr Suhazeli Abdullah
Kuala Terengganu

- Advertisement -