Sisa buangan jejas keindahan Pulau Langkawi

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sisa buangan yang menjejaskan alam sekitar dan keindahan pulau tersebut ketika ini.

- Advertisement -

Presiden SAM, SM Mohamed Idris berkata, dalam tinjauan yang dibuat di Pantai Kok, Teluk Ewa dan Bukit Malut, SAM mendapati keadaan di beberapa lokasi di kawasan-kawasan tersebut amat kotor serta jijik dipandang.

“Berbagai bahan buangan seperti kertas, barangan plastik dan sisa binaan telah dilonggok oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di tepi jalan di kawasan tersebut.

“Orang ramai sering melalui jalan tersebut ke destinasi mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, SAM bimbang kawasan yang tidak bersih itu akan menjadi tempat pembiakan nyamuk dan tikus yang boleh mencetuskan masalah kesihatan dalam kalangan penduduk tempatan serta para pengunjung pulau berkenaan.  

SAM, ujarnya lagi kesal walaupun masalah itu sudah lama berlaku namun tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya.

“SAM percaya jika masalah ini dibiarkan berlarutan alam sekitar pulau lagenda itu akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

“Justeru, SAM meminta MPL mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dan SAM berharap masalah serupa tidak berulang lagi,” katanya.

Di samping itu, ujarnya SAM juga menggesa MPL mempertingkatkan kawalan bagi mencegah berlakunya pencemaran alam sekitar yang lebih serius di di Tapak Pelupusan Sampah di Kilim.

Menurutnya, SAM dapati udara di kawasan tersebut dicemari bau busuk dan bimbang air larut resap dari tempat tersebut akan menjejaskan kualiti air sungai berdekatan. – HARAKAHDAILY 22/8/2017

- Advertisement -