Kelantan sumbang kawasan berhutan di Malaysia

- Advertisement -

KELANTAN merupakan negeri keempat yang menyumbang kepada keluasan kawasan berhutan di negara ini selepas Sarawak, Sabah dan Pahang.

- Advertisement -

Felo Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan, Dr Mohd Yunus Zakaria berkata, tanpa diambil kira kawasan berhutan di Kelantan, Malaysia tidak mampu mempertahankan kawasan berhutan sebanyak 50 peratus.

Katanya, kerajaan Malaysia mengumumkan data tersebut pada persidangan yang diadakan di Brazil dan Denmark sebelum ini.

“Daripada jumlah keluasan kawasan berhutan di Malaysia, Kelantan menyumbang sebanyak 23 peratus,” katanya pada seminar pengurusan hutan mengikut perspektif Islam di sebuah hotel di Kota Bharu hari ini.

Seminar itu dianjur Pusat Kajian Strategik Kelantan (PKS). Perasmiannya dilakukan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat.

Dua lagi panelis iaitu Prof Madya Dr Mohd Zaki Hamzah dari UPM dan Prof Madya Dr Shukeri Muhamad (UM). Moderatornya Pengarah PKS, Dr Wan Nik Wan Yusoff.

Hadir sama sebagai peserta anggota-anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud, Mumtaz Md Nawi, wakil-wakil rakyat dan pemimpin masyarakat.

Keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia pada 2013 ialah 5.83 juta hektar atau 44.2 peratus.

Kawasan berhutan itu terdiri meliputi 4.93 juta hektar kawasan hutan simpanan kekal, 0.78 juta hektar taman negara dan rizab hidupan liar dan 0.30 juta hektar tanah kerajaan.

Dr Mohd Zaki pula mencadangkan Kelantan menggunakan teknologi tinggi bagi aktiviti pembalakan untuk mengurangkan kesan kemusnahan hutan.

Katanya, teknologi tersebut lebih selamat digunakan ketika penebangan tanpa melibatkan kemusnahan pokok kecil semasa pokok itu tumbang.

“Bagaimanapun syarikat pembalakan mahu menjimatkan kos biarpun ketika kerja-kerja tebangan dilakukan boleh membahayakan nyawa penebang balak,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/8/2017

- Advertisement -