Kekal Kelantan

- Advertisement -

PILIHAN Raya Umum ke-14 semakin dekat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Parti-parti politik sudah pun bersiap siaga dan kerusi-kerusi yang akan ditandingi sudah pun ditanda dan hanya menunggu masanya butang ditekan oleh Perdana Menteri Malaysia.

- Advertisement -

Negeri Kelantan sebagaimana biasa adalah tumpuan. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang paling lama diperintah oleh parti pembangkang dalam sejarah negara. Barisan Nasional yang memerintah negara semenjak kemerdekaan lagi telah berhabisan cara untuk mengambil alih negeri Kelantan daripada PAS. Tetapi PAS kekal bertahan.

Kini umur pemerintahan PAS di Kelantan telah pun menjangkau 27 tahun. Seorang diplomat barat yang menyatakan hasrat untuk membawa pelaburan di Kelantan beberapa hari lepas menyatakan jika sebuah parti pembangkang berjaya mengekalkan kerajaannya dengan begitu lama, ia memberi erti bahawa mereka memiliki sesuatu yang luar biasa sehingga rakyat terus memilih mereka walaupun dikepung begitu lama oleh pemerintahan di Putrajaya.

Siapa pun akan membenarkan pernyataan diplomat itu. PAS Kelantan memiliki kekuatan yang tidak pun tersembunyi di mata rakyat. Ia kekuatan yang tidak dimiliki oleh Umno BN, tetapi amat diperlukan oleh negara. Rakyat Kelantan mengetahuinya dengan baik lalu mereka terus memberi undi majoriti untuk PAS menerajui Kelantan.

Akhirnya Kelantan memikat hati rakyat Malaysia. Setelah beberapa lama, beberapa negeri lain jatuh ke tangan parti pembangkang. Jasa besar Kelantan waktu itu adalah sebagai pembina keyakinan di hati rakyat bahawa parti pembangkang juga mampu memerintah negeri-negeri, bahkan dengan lebih baik berbanding Umno BN. Ya, ia terbukti di 5 negeri yang sedang atau pernah diperintah oleh pembangkang sebelum ini.

Itu jasa besar Kelantan. Ia membina keyakinan rakyat Malaysia untuk berani berubah. Kemudian ia mengajar rakyat Malaysia untuk terus bersabar membina perubahan yang diimpikan. Yang pertama dan yang kedua, kedua-keduanya adalah sama penting.

Pada PRU11 tahun 2004, Kelantan hampir tewas mengejut. Tetapi separuh rakyat Kelantan terus bertahan dan berjaya memberikan majoriti tipis kepada PAS untuk terus kekal memerintah. Ia adalah jelas kesan daripada kejayaan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi mencipta faktor ‘wow’ bagi membina kembali Malaysia yang hampir ranap oleh kekejaman rejim Tun Mahathir. Rakyat terpukau dengan janji Perdana Menteri baru yang digelar ‘Mr Clean’ pada masa itu.

Kelantan bangkit kembali membina keyakinan rakyat. Dengan berkuburnya janji-janji manis Pak Lah, rakyat mula sedar bahawa PAS telah ditanggapi secara salah. PAS bergerak perlahan bukan kerana ia gagal untuk laju. PAS hakikatnya dipaksa untuk menyerah diri dengan kekalahan pada zaman Tun Mahathir. PAS dan rakyat Kelantan dijerut sehingga sukar bernafas. Kesannya nyata, Kelantan tidak selaju Kuala Lumpur.

Tetapi perlahan itulah yang menjadi keselamatan dan kesejahteraan untuk negeri Kelantan. Laju-laju Tun Mahathir bawa Malaysia, akhirnya masuk longkang. Proton masuk longkang. MAS masuk longkang. Perwaja masuk longkang. Ringgit masuk longkang. Forex masuk longkang. Semua masuk longkang. Malah, ketika Pak Lah datang untuk membantu, Pak Lah pun tersadung masuk longkang juga sambil Tun Mahathir turut sama menendang punggung Pak Lah.

Ketika krisis ekonomi 1998 melanda negara, negeri Kelantan menerima tempias paling minimum. Ekonomi domestik negeri Kelantan kukuh dan banyak membantu rakyat Kelantan untuk bertahan dan bangkit.

Walaupun Pak Lah gagal, tetapi beliau membantu rakyat, termasuk Kelantan untuk mengecapi kebebasan yang tiada pada zaman Tun Mahathir. Dengan kebebasan bermedia baru, rakyat menjadi celik dan mula melihat kelemahan ketara Umno BN yang disembunyikan sejak sekian lama melalui penindasan dan binaan jeriji ketakutan di hati rakyat. Umno BN mewariskan untuk generasi baru dengan sebuah negara Malaysia yang penuh masalah dan tragedi.

Akhirnya PAS Kelantan berjaya bangkit dan membantu kebangkitan negeri-negeri lain pada PRU ke-13. Rakyat sedar PAS harus diberi masa untuk membina Kelantan walaupun perlahan. Perlahan mengurangkan musibah hasil kegelojohan.

Pulau Pinang laju. Tapi Pulau Pinang hari ini telah menempa masalah yang tak pun pernah berlaku di Kelantan. Kelantan dalam perlahannya masih bebas rasuah di kalangan barisan pemimpin politiknya. Bukan mendakwa bersih sepenuhnya, tetapi bebas rasuah adalah tanda besar sebuah pemerintahan yang bersih.

Negeri Selangor juga laju sesuai dengan kekayaannya. Tetapi ia pernah mengalami krisis politik dalaman pembangkang yang teruk kerana berebut nak lebih laju. Semoga ia belajar dan terus selamat daripada bala yang lebih buruk.

Apa yang mesti dipelajari adalah kesabaran menanti perubahan ke arah negara yang lebih baik. Rakyat mesti belajar untuk tidak terpengaruh dengan janji-janji kosong, provokasi, fitnah dan binaan persepsi palsu yang hanya bertujuan memperolehi kuasa tanpa kekuatan untuk membawa perubahan yang diimpikan rakyat.

PAS gagah dengan misi Islam dan syariahnya yang adil. Ia memperolehi mandat pemerintahan dengan janjinya kepada rakyat untuk pelaksanaan Islam dan PAS kekal memerintah di Kelantan di atas janji untuk terus istiqamah dengan Islam dan pelaksanaan syariahnya.

PAS kalah di negeri Terengganu dan Kedah bukan disebabkan kegagalannya mengotakan janji, tetapi disebabkan kesukarannya menghadapi tentangan dan fitnah mereka yang enggan Islam bertapak di persada pemerintahan. Jika PAS gagal di Terengganu dan Kedah, sudah pasti kes-kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa para pemimpinnya dibongkar dengan galaknya oleh Putrajaya. Tetapi PAS masuk ke kota pemerintahan dan keluar daripadanya dengan penuh selamat dan integriti.

Malah tiada siapa pun mampu menolak bahawa selepas Umno BN mengambil alih Terengganu dan Kedah, suasana politik di kedua-kedua negeri itu tambah meruncing dan sentiasa di ambang kerapuhan dan kekalahan. PAS Terengganu dan Kedah terus gagah dan bersedia untuk kembali.

nik abduh1Saya menekankan soal keperluan pendidikan politik yang benar dan mampan untuk rakyat. Politik rasional yang diperkenalkan oleh PAS melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) adalah amat perlu dihayati oleh semua. Salah satu kerasionalan adalah kesabaran membina dan menanti perubahan.

Rakyat tentunya menanti perubahan ke arah kesejahteraan dan mengharapkannya berlaku dengan cepat. Tetapi proses perubahan bukanlah berlaku sekelip mata. Ia perlukan kesabaran membina sebagaimana ia perlukan kesabaran menanti. Yang memberi mandat harus sabar menanti dan yang memperolehi mandat harus sabar membina.

Mengapa lambat? Ya, ia samalah sebagaimana anda membina diri anda. Jika anda memaksa-maksa diri anda untuk berubah dan sempurna, anda akan cepat rebah di perjalanan. Jika anda membinanya secara perlahan, berdisiplin dan mengambil kira semua faktor, anda akan berjaya dan akan lebih kekal kejayaannya. Faktor kekuatan jiwa, kemampuan mengurus nafsu, galakan persekitaran serta halangan daripada musuh yang menunggu-nunggu kegagalan anda, itu semua perlu diambil kira dan perlukan kesabaran dan kerasionalan berfikir dan berkeputusan. Ia mengelak anda daripada larian yang berulang-ulang dari tempat yang sama. Anda akan gagal membina dan membawa diri anda ke matlamat yang anda impikan.

Begitulah membina sebuah negeri atau negara. Ia tidak mudah. Faktor kegagalan sentiasa sengit menyaingi faktor kejayaan. Jika pemimpin atau rakyat gagal memahami atau kurang rasional, maka kita akan berhadapan krisis kegagalan yang berulang-ulang.

PAS membawa mesej Islam dalam perjuangan politiknya. Mudahnya, ia sukar. Sukarnya bukan bermula sekarang, bahkan dari zaman nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sendiri. Sunnah perjuangannya bukan bagai hero larian 100 m. Ia bukan Usain Bolt. Ia adalah larian 10 km atau lebih. Ia bukan perjalanan yang dekat. Ia juga bukan perolehan dan ganjaran yang segera.

Musuh politiknya akan berkata, PAS mempergunakan agama untuk tujuan politiknya. Ia dakwaan yang bohong. Isi dalamnya yang sebenar daripada dakwaan ini adalah kerana mereka sendiri gagal mencernakan Islam dalam diri dan perjuangan mereka. Mereka gagal, lalu mereka marah dan dengki melihat orang lain berjaya. Jika mereka yakin, ayuh mari bersama atau berjuanglah atas nama Islam juga. Benar atau bohong antara kita, Allah akan tentukan. Agama ini milik Allah dan pejuangnya adalah pilihan daripada Allah. Bukan PAS atau sesiapa yang menentukan siapa pejuang Islam pilihannya.

Justeru Kelantan adalah sebuah perjalanan yang sentiasa sukar. Ia terpaksa mengharungi kesengitan perjuangan untuk membawa mesej Islam. Diejek, didengki, difitnah dan dipaksakan kejatuhannya walau dengan cara zalim. Sedikit kesilapan akan dijadikan seperti sebesar gunung dosanya.

Bagaimana anda boleh memahami bahawa jika tanpa kerasionalan berfikir, Kelantan akan kekal bertahan? Ya, 27 tahun, Kelantan berhadapan tentangan yang pelbagai. Tembakan di tempat yang sama dan dari arah yang bersimpang siur.

Ketika pilihan semakin terbuka dengan lemahnya Umno BN di mata dan harapan rakyat, PAS terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa PAS dengan agenda Islamnya adalah pilihan terbaik. Ia kejayaan yang akan bertahan lama kerana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk binaan sebuah negara sejahtera sebagaimana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk sebuah binaan individu muslim yang berjaya dan unggul. Undilah PAS. – HARAKAHDAILY 20/8/2017

- Advertisement -