Memali: Rakyat tuntut RCI

- Advertisement -

PERISTIWA berdarah ini berlaku 32 tahun lalu iaitu pada tahun 1985. Sebahagian besar anak muda bawah 40 mungkin tidak mengetahui berkenaannya atau terlalu muda untuk menerima pendedahan ketika itu.

- Advertisement -

Selain dari 18 yang terkorban ramai lain yang terlibat secara langsung atau tidak dalam peristiwa berkenaan sama ada telah terlalu uzur hari ini ataupun telah meninggal dunia.

Namun PM, Menteri Dalam Negeri ketika itu dan yang lain masih hidup untuk diambil keterangan dan disiasat. Apa sebenar berlaku di Memali dan mengapa perlu sampai mengorbankan nyawa dan hampir seluruh penduduk kampung ditangkap tatkala itu.

Dalam akhbar NST hari ini veteran Umno dan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan penubuhan RCI atau Suruhanjaya Siasatan Diraja sebagaimana dituntut PAS adalah penting untuk meredakan tanda-tanya dan kerisauan rakyat yang tidak selesai hingga ke hari ini.

(Malah veteran DAP Lim Kit Siang juga ada menuntut agar RCI Memali ditubuhkan.)

Kalau kerajaan boleh menubuhkan RCI untuk menyiasat kerugian pelaburan FOREX Bank Negara yang berlaku hampir di tempoh itu mengapa tidak RCI untuk Memali?

Biar kita tahu peluru dari senjata mana yang membunuh keempat-empat anggota polis. Biar kita tahu berapa das tembakan dilepaskan ke atas 14 para syuhada termasuk Almarhum Ustaz Ibrahim. Apa senjata yang ada di tangan para syuhada itu ketika polis melepaskan tembakan? Berapa puluh dan mungkin ratus kelongsong gas pemedih mata dilepaskan pada hari itu?

Banyak lagi yang perlu dihurai.

Benarkah Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar diambil tindakan? Benarkah ramai penduduk kampung turut tercedera terkena peluru M16? Benarkah ada anggota polis difahamkan yang penduduk kampung sebenarnya pengganas komunis dan pengikut ajaran sesat?

Bagaimana degan tahanan yang dipaksa membuat pengakuan? Adik Ustaz Ibrahim contohnya semasa dalam tahanan keluar di RTM mengaku abangnya membawa ajaran sesat untuk menjustifikasi tindakan kerajaan di Memali. Tetapi sejurus dibebaskan tanpa syarat adik yang sama menjelajah di seluruh negara atas pentas PAS mengaku dengan nama Allah telah dipaksa pihak berkuasa dan menafikan pengakuannya.

Bagaimana dengan buku “Memali a policeman remembers” karangan bekas OCPD Baling YM Tunku Muszaffar Shah yang mempertikaikan keputusan-keputusan yang diambil pihak polis dan kerajaan pada hari berkenaan.

Rakyat punya asas dan hujah kuat agar peristiwa berdarah ini jangan ditutup dan disapu bawah karpet tetapi dibongkar dan dibuka semula biar terbela darah mereka yang terkorban.

Semoga segera ditubuh RCI Memali.

- Advertisement -