Politik Islam dan perkauman

- Advertisement -

KEWUJUDAN pelbagai kaum adalah hikmah Allah, Yang Maha Pencipta Alam bagi merealisasikan konsep Masyarakat Madani yang memakmurkan dunia untuk mencapai objektif kalimah Al-Din dan Tamadun.

- Advertisement -

Perkataan Madani daripada Al-Din adalah Islam yang sempurna, meyakini bahawa Kuasa Allah yang menyeluruh ke sekalian alam, tidak boleh dipertikai sifat Rahmat, Adil, Bijaksana dan segala sifat Kesempurnaan bagi-Nya, dan peranan manusia yang diciptakan berjasad, berakal, punya aspek rohani dan hidup bermasyarakat. Maka Syariat Allah adalah paling sempurna dan tidak mampu dipenuhi oleh agama lain, teori dan ideologi ciptaan manusia.

Manakala Madani daripada perkataan Tamadun pula adalah memerlukan mereka berkemampuan secara bermasyarakat, tanpa bersendirian dan berasingan.

Oleh itu, wajib digabungkan kedua-duanya dalam membina Masyarakat Madani dengan Hidayah Allah, Yang Maha Penyayang terhadap makhluknya bersumberkan daripada Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

Sirah Rasulullah SAW juga menamakan negara pertama dengan sebutan ‘Madinah’ untuk memberi makna bahawa merakyatkan masyarakat Majmuk dalam Negara Islam.

Perkara tersebut ditegaskan dalam firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenalan dan berhubungan antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih Takwanya di kalangan kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (berkenaan diri dan urusan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menunjukkan bahawa adanya pelbagai kaum, bangsa dan suku sakat adalah ciptaan Allah yang mengandungi hikmah yang Maha Agung. Semua mereka berasal daripada ibu bapa yang sama, iaitu Adam dan Hawa. Inilah kenyataan sebenar daripada Al-Quran yang wajib diimani oleh penganut Islam.

Setelah berlalu beberapa abad mereka ditempatkan ke seluruh pelosok dunia di atas muka bumi, menjadikan mereka pelbagai bangsa dan budaya dengan perbezaan cuaca, hasil pertanian, galian dan ilmu pengetahuan.

Namun, keperluan hidup manusia yang berhajat kepada banyak bahan (daripada hasil tersebut bagi keperluan makanan, pakaian, tempat kediaman, alat perhubungan perjalanan dan maklumat) memerlukan semua bahan ciptaan Allah itu digabungkan, diwajibkan bermuamalat (pergaulan) dan pertukaran yang memerlukan saling bertaaruf dan mengenali antara satu sama lain bagi melaksanakan konsep Al-Din dan Masyarakat Madani.

Bagi mencapai tujuan ini, maka diwajibkan urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan supaya konsisten atas dasar kesaksamaan mengikut sempadan hak masing-masing dan persamaan dalam beberapa perkara dan tidak sama dalam perkara lain kerana perbezaan kejadian, tempat dan suasana. Semuanya berpandukan petunjuk Allah Pencipta Alam.

Namun, terdapat kalangan manusia yang degil mencipta teori dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah kerana di luar kemampuan diri manusia, menyebabkan kemusnahan diri sendiri dan alam sekelilingnya. Allah Yang Maha Penyayang sangat murka terhadap golongan ini.

Firman Allah:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١ الشورى

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah As-Syura: 21)

Dalam aspek perkauman, Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia adanya kaum dan ada perasaan kecintaan seseorang kepada keluarga dan kaumnya yang tetap diizinkan dan diwajibkan. Namun, kecintaan itu ada sempadannya, iaitu diharamkan dijadikan sebagai aqidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain.

Tegasnya, Islam mewajibkan hubungan silaturrahim di kalangan keluarga dan bangsa. Pada masa sama, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan.

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١ النساء

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa: 1)

Dalam aspek kekeluargaan pula, Islam mewajibkan berbuat baik terhadap keluarga khususnya ibu bapa walaupun mereka bukan Islam. Namun tegas mempertahankan aqidah Islam apabila ditentang. Firman Allah:

 وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ ١٤ وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٥ لقمان

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku(Allah) dengan  sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (Islam). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (15)” (Surah Luqman: 14-15)

Dalam konsep dakwah yang tidak dipisahkan daripada politik, Allah menetapkan para Rasul membina kedudukan bersama kaumnya. Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ إبراهيم

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Allah menceritakan kisah Nabi Lut A.S tanpa kaum bersamanya:

 قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ ٨٠   هود

“Nabi Lut berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)” (Surah Hud: 80)

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang diutuskan kepada seluruh manusia:

 وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤ الشعراء

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (Surah As-Syuara’: 214)

Maka, mesej Rasulullah SAW dimulakan dengan peranan kaum, bangsa dan keluarganya di kalangan Arab daripada Qabilah Quraisy, sehingga menjadi qabilah yang dominan di kalangan masyarakat majmuk di zaman permulaan negara Islam dan menjadi ciri penting yang diambil kira dalam kepimpinan negara selepas wafatnya baginda SAW.  
 
Perkara ini dikuatkan dengan sabdanya:

الأئمة من قريش

“Para pemimpin utama hendaklah daripada kalangan Quraisy”

Hadis ini dilaksanakan dalam pemilihan Khalifah daripada kalangan kaum Quraisy selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Selain itu, aqidah Islam dapat memelihara keadilan mutlak dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama kerana firman Allah di dalam Al-Quran yang wajib diamalkan semuanya secara menyeluruh:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ النساء

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” (Surah An-Nisa: 58)

Para ulama Islam berpegang kepada konsep dominan kaum dalam kepimpinan negara dengan sifat anjal dan fleksibel kerana perubahan dunia, di mana Ketua Negara Islam mengalami perubahan mengikut dominan kaum yang menganut Islam.

Dalam politik Malaysia, hendaklah diambil kira Bumiputera Melayu beragama Islam yang menjadi kaum dominan dilantik sebagai tonggak kepimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan Raja Berperlembagaan yang terdiri daripada penganut Islam Melayu.

Begitu juga jawatan teras dalam negara seperti Bidang Kehakiman, Pentadbiran, Keselamatan dan Pertahanan kerana kehaibatan dan keunggulannya di kalangan rakyat sangat penting. Kehaibatannya hilang sekiranya berada di tangan kalangan kaum yang tidak dominan.

Kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan. Sebaliknya kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya.

Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

Begitu juga ada kalangan orang Islam yang bebal beraliran bebas setelah kehilangan jati diri Islam dan kebangsaannya turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini. Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan ini dalam Pilihanraya Umum (PRU) demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya.

Maka PAS tetap menolak mereka yang mempertikaikan konsep ini atau tidak mempedulikan akan kepentingannya.

PAS menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam, adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara, kerana Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan beraqidah Islam.

Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulkaedah 1438H / 18 Ogos 2017M – HARAKAHDAILY 18/8/2017

- Advertisement -