Warga Felda perlu ingat kes Kasitah Gaddam

- Advertisement -

PAS mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berani bertindak menahan Tan Sri Isa Samad atas kes pembelian hotel oleh FIC seperti mana seorang exco DAP Pulau Pinang atas kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu.

- Advertisement -

titmSemua mengetahui kemarahan warga Felda tertumpu kepada Isa dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keputusan PM untuk menubuhkan FGV dan melantik Isa, yang pernah dibuktikan bersalah bermain politik wang oleh Umno sendiri untuk menerajui Felda telah menjejaskan masa depan Felda dan peneroka.

Sehingga kini, PM masih tidak menjawab mengapa beliau memilih Isa. Mengapa tindakan mengeluarkan Isa daripada Felda sebegitu lambat? Mengapa pula Isa dilantik untuk menerajui SPAD?

Semalam bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad direman 5 hari.

Tindakan kepada Isa ini masih awal untuk dibuat apa-apa kesimpulan tetapi yang pasti ia tidak akan menyelesaikan masalah Felda. Ia bukan penanda Felda sudah selamat. Jika ada wang yang diseleweng, ia telahpun diseleweng.

Apakah langkah pemulihan untuk memulihkan Felda dan FGV daripada kepincangan yang wujud di zaman Isa dan Najib?

Itu yang perlu terus dituntut warga peneroka dan bukannya sekadar berpuas hati dengan sekadar tindakan ke atas Isa yang masih jauh untuk diketahui kesudahannya.

Ketika Tun Abdullah Badawi baru menjawat jawatan Perdana Menteri, bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia, Tan Sri Kasitah Gaddam telah diheret ke mahkamah untuk didakwa.

Peristiwa itu berlaku pada 12 Februari 2004 dan telah membina persepsi bahawa pentadbiran Tun Abdullah akan jauh berlainan daripada Tun Dr Mahathir.

Kurang tiga minggu selepas itu, parlimen tetiba dibubarkan dan Pilihan raya Umum ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004 dan Tun Abdullah Badawi menang bergaya. 5 tahun selepas itu, Kasitah dibebaskan daripada tuduhan rasuah. Berapa ramai rakyat yang terasa diperdayakan?

Sejarah 12 Februari 2004 nampaknya sedang berulang dan ini menandakan pilihanraya umum bakal diadakan. Melihat Isa, susah bagi rakyat dan peneroka Felda untuk tidak mengingati kes Kasitah Gaddam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
17 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 17/8/2017

- Advertisement -