Kisah hidup sebagai seorang OKU 1

- Advertisement -

DALAM siri Cabaran hidup Sebagai OKU, kami akan ketengahkan perihal cabaran yang perlu komuniti OKU depani saban hari bagi memenuhi keperluan semasa. Ada yang menyebutkan cabaran-cabaran ini sebagai kesulitan dan permasalahan harian.

- Advertisement -

Pun begitu, kami lebih condong untuk menyebutkan ia sebagai cabaran bagi mendorong jiwa-jiwa individu OKU untuk tabah menghadapi ketentuan Ilahi. Kami tabah bukan bererti kami pasrah. Lebih dari itu, kami tabah agar tetap istiqamah mensyukuri rahmat Allah S.W.T.

Dalam siri 1 ini, kami ketengahkan bagaimana cabaran yang perlu didepani oleh seorang OKU penglihatan yang perlu mencari sesuap rezeki di ibu kota. Bukannya mereka sengaja meninggalkan desa, namun demi keperluan hidup, mereka terpaksa meninggalkan keluarga.

Bukan banyak mana pun pendapatan di kota raya. Namun, itulah sahaja pilihan yang tersedia.

Situasi ini kami paparkan bagi seorang OKU yang kami sifatkan telah cekap berdikari dan hanya bergantung kepada bantuan pada tahap yang sangat minimum.

Berkerja (bukan meminta-minta) dengan pendapatan RM1200.00,  setelah ditolak itu dan ini, adalah baki sekitar RM950.00 dan elaun pekerja cacat RM350.00, ini wang yang akan dibawa untuk hidup sebulan di kota raya.

Sewa rumah di Brickfields, RM450.00. berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki LRT dan grabcar, RM14.00 sehari, RM280.00 bagi sebulan. Perbelanjaan bagi menampung kos-kos utiliti termasuklah air, elektrik dan telefon, RM110.00.

Berbakilah RM460.00 untuk menampung keperluan asasi/harian termasuklah makan minum, pakaian dan perbelanjaan-perbelanjaan luar jangka seumpama grabcar tanpa LRT, balik kampong dan lain-lain. Dengan hidup di Kuala Lumpur, berapa yang anda mampu bertahan dengan baki yang ada ini pada setiap bulan?

Situasi di atas tidaklah semua diperolehi oleh OKU penglihatan memandangkan peluang kerja sebagaimana yang dipaparkan di atas sangat terhadad dan terlalu minimum. Begitu pula tidak semua OKU penglihatan mampu berdikari dengan pergantungan kepada bantuan lain pada kadar yang sangat minimum.

Paparan di atas adalah cabaran yang paling asas perlu dihadapi oleh komuniti OKU umumnya dan komuniti OKU penglihatan khususnya di Malaysia. Bahkan pada kelazimannya, majoriti OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya berhadapan dengan cabaran yang lebih dari itu.

Yang boleh anda sebagai orang awam, sebagai pimpinan masyarakat dan pimpinan politik lakukan? Apa pula langkah-langkah yang boleh diambil oleh komuniti OKU sendiri dalam mendepani cabaran getir ini?

Justeru, kami lontarkan Gagasan OKU Muqarabun untuk sama-sama dihayati oleh setiap individu OKU dan seluruh ahli masyarakat. OKU perlu dibagunkan atas asas keimanan dan ketaqwaan. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang mampu memelihara setiap individu OKU demi kesejahteraan hidup yang suasananya sangat tidak berpihak kepada komuniti OKU sebagaimana hari ini.

Begitu pula, setiap masyarakat perlu memahami individu-individu OKU itu adalah suatu bukti kekuasaan Allah SWT. Allah SWT bebas menjadikan manusia itu OKU atau sempurna.

Dengan demikian, setiap masyarakat perlu bersedia menampung setiap kekurangan dan kecacatan yang dialami oleh OKU dengan menyediakan sistem sokongan untuk OKU itu berfungsi sebagai manusia biasa.

Begitu pula dengan setiap pimpinan masyarakat pelbagai peringkat bermula daripada ketua kampung, ahli parlimen dan kepimpinan negara, perlu lebih ke hadapan dan bersungguh-sungguh merencana dan melaksanakan pembangunan OKU yang lebih menyeluruh.

OKU Muqarabun adalah dicetuskan atas dua paksi utama:
Pertama memperkuat jati diri OKU berasaskan keimanan dan ketaqwaan.
Keduanya membentuk masyarakat yang prihatin kepada OKU atas asas keimanan dan ketaqwaan.

Insya-Allah, kami akan terus fokus untuk berusaha sedaya mampu menjayakan Gagasan OKU Muqarabun ini di tengah-tengah masyarakat dengan dokongan dari pelbagai pihak.

Bantulah kami melalui sumbangan kewangan pada pautan yang disediakan:

 http://bit.ly/2fDNRlJ

Setiap dokongan dan sokongan yang diberikan kami dahului ucapan dan doa jazakumullahu khair. – HARAKAHDAILY 17/8/2017

- Advertisement -