Tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja

- Advertisement -

RENTETAN daripada penahanan Tan Sri Isa Samad oleh SPRM berkenaan kes pembelian sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London yang melebihi harga pasaran, PAS merasakan sudah sampai masanya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat serta mengaudit FELDA dan anak syarikatnya ke atas segala transaksi perniagaan yang berlaku terutamanya ketika Tan Sri Isa Samad berjawatan Pengerusi FELDA.

- Advertisement -

Jelas di ketahui umum, FELDA, Felda Global Ventures (FGV) dan anak-anak syarikat FELDA ketika diterajui Tan Sri Isa Samad banyak menimbulkan keraguan umum terutamanya di dalam beberapa transaksi perniagaan dan pelaburan seperti menceburi pelaburan hartanah luar negara seperti pembelian hotel 4 bintang di Kensington, London, pembabitan menternak ikan sturgeon dan beberapa transaksi lagi hingga menggamit SPRM untuk melakukan siasatan dan seterusnya penangkapan ke atas mereka yang di syaki melakukan salah laku dan pecah amanah.

Itu tidak termasuk lagi pertelagahan Tan Sri Isa Samad dengan bekas CEO FGV Datuk Zakaria Arshad dalam kes Delima Oil hingga memaksa campurtangan Kerajaan serta penyenaraian FGV di Bursa Malaysia ketika mana ramai yang tidak setuju akibat khuatir akan menjejaskan peneroka dan FELDA itu sendiri. Jika dilihat keseluruhan kemelut yang berlaku, ternyata keseluruhan episod sedih di dalam FELDA mahupun FGV berlaku ketika Tan Sri Isa Samad menjawat jawatan Pengerusi di dalam FELDA dan organisasinya.

PAS khuatir jika masih terdapat lagi masalah atau kes sebegini lagi di dalam FELDA, FGV dan anak syarikat lain di dalam FELDA, maka sewajarnya Kerajaan dengan sikap telus, jujur dan berintegriti bersetuju dengan cadangan PAS supaya ditubuhkan Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengaudit dan menyiasat segenap inci di dalam FELDA, FGV dan keseluruhan anak syarikat FELDA  untuk memastikan cabang Kerajaan ini benar-benar bersih dari segala salah laku dan beroperasi menepati segala “Standard Operating Procedure“ yang telah ditetapkan.

Sepatutnya wang dari kantung FELDA digunakan untuk masa depan peneroka, memajukan peneroka, membantu peneroka dan genarasi seterusnya serta menambah baik keadaan ekonomi peneroka serta penghidupan mereka. Segala keuntungan FELDA seharusnya dijadikan pelaburan untuk masa depan FELDA itu sendiri dan peneroka, memajukan perniagaan terutamanya perniagaan teras dan produk-produk ekonomi sektor hiliran yang berkait dengan perniagaan FELDA serta pelaburan yang tidak berisiko tinggi yang belum tentu dapat menguntungkan FELDA terutamanya peneroka.

Kita tidak mahu dikejutkan lagi dengan perkhabaran duka terutamanya kepada peneroka berkaitan FELDA mahupun FGV. Setiap kes salah laku yang membabitkan FELDA mahupun FGV seolah-olah mengkhainati atau pun berbuat khianat terhadap peneroka. Seharusnya menjadi tanggungjawab FELDA mahupun FGV serta anak-anak syarikat di dalam FELDA membantu peneroka dalam segala aspek, memajukan peneroka secara tidak langsung meningkatkan ekonomi di kawasan FELDA dan sekitarnya, namun yang berlaku adalah sebaliknya.   

PAS menyambut baik usaha Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad untuk “membersihkan” FELDA serta menambah baik perjalanan syarikat mahupun operasi FELDA serta FGV. PAS berharap Tan Sri Shahrir Samad ambil peka dengan rintihan dan keluhan peneroka serta membela nasib mereka. Namun, tindakan tegas harus diambil kepada yang bersalah serta mengkhianati peneroka. Tindakan membersih FELDA, FGV dan anak-anak syarikat FELDA haruslah dilakukan hingga ke akar umbi dan cara yang terbaik, tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dianggotai oleh orang-orang yang jujur, komited serta tahu selok belok FELDA serta faham rintihan peneroka. Cukuplah apa yang berlaku, rakyat terutamanya peneroka tidak mahu dikhianati lagi.

Tanpa Peneroka, Tiadalah FELDA

Sejahtera Bersama Islam

Wan Rohimi Wan Daud
Pengerusi Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar, Perumahan Dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat
23 Zulkaedah 1438 | 16 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 16/8/2017

- Advertisement -