Dasar DAP lindungi premis haram demi kepentingan?

- Advertisement -

DASAR Kerajaan DAP Pulau Pinang menangguhkan penguatkuasaan terhadap pelbagai premis haram yang dibina atau diusahakan sebelum 8 Mac 2008 di negeri ini, sebenarnya bertujuan meraih kepentingan tertentu kepada parti itu. Tetapi ia digambarkan kononnya sebagai kompromi atau budi bicara atau pemutihan kepada satu penyelesaian yang baik, sedangkan hakikat adalah tindakan menggunakan kuasa untuk menyembunyi atau memberi perlindungan kepada sesuatu pihak atau kegiatan.

- Advertisement -

Ia dijadikan alasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk meraih simpati secara naif dari kalangan awam dan pihak yang ada hubungkait dengan premis tersebut. Ketika sama beliau terus angkuh cuba mencalar imej pihak lain dalam menjalankan penguatkuasaan integriti dan ketelusan terhadap pentadbirannya, seolah-olah sedang dianiaya atau dimangsakan. Jika Guan Eng yakin tiada unsur salah guna kuasa atau penyelewengan, beliau tidak perlu bimbang dengan siasatan dijalankan.

Namun umum kesali, kerana beliau sendiri dituduh di mahkamah dalam isu pembelian banglo kediaman yang jelas terdapat kepentingan peribadi. Apatah lagi banyak senarai pembangunan atau penjualan tanah di Pulau Pinang yang sangat meragukan kewajarannya. Guan Eng tidak mungkin mampu menutup bangkai gajah, setelah juga keghairahan slogan “Cekap, Akauntabiliti dan Telus” (CAT) dan pentadbiran ala Khalifah Umar Abdul Aziz dilihat hanyalah retorik untuk mengaburi mata sahaja.

IzureeMalah, kempen memerangi kleptokrasi yang dijaja seluruh dunia rupanya sekadar serangan kepada lawan untuk menutup kebobrokan parti sendiri. Walhal, Kerajaan DAP Pulau Pinang kini sama serupa dan meniru pelbagai perangai BN yang penuh rasuah, penyelewengan dan kepincangan serta segala penyakit lainnya. Hinggakan hilang kepercayaan disebabkan semua skandal itu terlihat dengan tindakan empat wakil rakyatnya iaitu Adun dan Ahli Parlimen dari Melaka bertindak keluar dari DAP.

Itu tidak termasuk senarai pimpinan dan ahli lain, serta pincangnya pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagaimana diumum Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini. Begitu juga kalangan anggota DAP yang cuba meluruskan keadaan akhirnya menemui nasib malang didiskriminasikan atau disingkirkan. Natijah itu turut dihadapi Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin dari PKR atas keberanian beliau membongkar antaranya isu kilang penapis karbon di Bukit Mertajam.

Sedangkan beliau dan masyarakat menghadapi kilang itu yang beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu di mana mendedahkan penduduk kepada risiko kesihatan dan keselamatan. Premis haram seumpama itu sebagaimana lainnya melibatkan kepunyaan individu, tetapi kesannya terkena kepada ramai pihak.

Oleh yang demikian, Guan Eng sebenarnya mahu menjaga kepentingan ramai atau kroni dan apakah kewajaran untuk tindakan penguatkuasaan mengambil tempoh yang sangat lama?

Malah, pendirian Guan Eng dilihat kontradik dengan usaha pembangunan yang dikejarnya di negeri ini. Lebih jelek, tergamak bertindak melenyapkan perkampungan warisan, tradisi dan alam sekitar yang mengukir sejarah penting negeri dan rakyat Pulau Pinang. Tetapi bagai mempertahankan pula premis-premis haram tersebut seumpama ia ‘warisan’ penting. Maka hentikan dolak dalih dan sikap ego menuding jari kepada pihak lain, sebaliknya akurlah bahawa kamu sedang terhukum oleh perbuatan sendiri.

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
15 Ogos 2017 | 22 Zulkaedah 1438 – HARAKAHDAILY 15/8/2017

- Advertisement -