Ahli, pimpinan PAS perlu banyak menerang bukan hanya menyerang

Foto hiasan.
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Solawat dan Salam ke atas Rasulillah, keluarga dan Sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut dan membantu baginda sehingga ke Hari Pembalasan.

- Advertisement -

Allah berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

“Hendaklah kamu berdakwah menyeru ke jalan Rabb kamu dengan Hikmah dan nasihat yang baik dan hendaklah kamu berbahas dengan mereka menggunakan perbahasan yang terbaik.” (Surah al-Nahl ayat 125)

1. Dakwah lebih kepada penerangan, penjelasan dan ajakan. Mengajak dan menyuruh manusia melakukan yang makruf dan mencegah manusia melakukan kemungkaran. Menjelaskan kekeliruan, merungkaikan kekusutan, meluruskan kefahaman dan membongkar kesesatan adalah sebahagian tugasan dakwah.

2. PAS sebagai Gerakan Politik, Dakwah dan Tarbiyah tidak hanya berpolitik untuk mendapatkan kuasa semata-mata tetapi berpolitik mengajak manusia menerima penyelesaian Islam dalam kehidupan dan mengajak manusia memberikan kuasa kepada Islam supaya keadilan untuk semua dapat ditegakkan.

3. Sangat menarik apabila Tuan Guru Presiden menegaskan dalam sesi taujihat sebelum mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tadi bahawa para Anbiya’ membanyakkan penjelasan berbanding menyerang dan menjawab tuduhan. Justeru, beliau menasihatkan semua petugas parti untuk membanyakkan penjelasan bagi menarik masyarakat pelbagai peringkat bersama penyelesaian Islam. Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang telah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan terkini PAS perlu dihayati dan diamalkan di semua peringkat dalam melaksanakan tugasan ini.

4. Menurut Tuan Guru Presiden, apa yang utama perlu dijelaskan kepada masyarakat ialah asas Akidah, Syariat dan Akhlak Islam. Topik-topik ini tidak digemari oleh orang ramai. Mereka lebih suka mendengar isu semasa sahaja. Namun itulah tugasan pendakwah yang tidak perlu berbicara menurut tajuk yang manusia suka sahaja.

5. Isu-isu rakyat tidak hanya ditampilkan permasalahannya sahaja tanpa cadangan penyelesaian Islam. Dalam isu cukai GST sebagai sumber kewangan negara, PAS menampilkan alternatif penyelesaian Islam menerusi cukai simpanan korporat dan cukai keuntungan saham yang didokumentasikan dalam Dokumen Hijau.

6. Kenaikan kos hidup rakyat perlu ditangani dengan sistem ekonomi Islam yang adil menolak monopoli ekonomi, menolak Riba, menolak cukai yang dikenakan berasaskan perbelanjaan rakyat, menolak cukai yang menekan pendapatan rakyat dan cukai melampau yang dikenakan ke atas barangan keperluan rakyat.

7. Pengurusan ekonomi perlu dibina di atas asas dan kesedaran bahawa harta yang dimiliki oleh manusia adalah milik Allah yang diberi amanah untuk diguna dan diuruskan yang semuanya akan disoal di akhirat.

8. Skandal kewangan 1MDB dan skandal-skandal kewangan seumpamanya sepanjang sejarah bernegara hanya akan dapat ditangani jika ia ditadbir oleh tangan yang amanah.

9. Memperjuangkan kedaulatan Islam dalam perlembagaan Malaysia, memperkasakan Mahkamah Syariah dan membuka ruang pelaksanaan Syariat menerusi RUU 355, menegaskan sikap terhadap pindaan Akta 164, memperingatkan umat terhadap ancaman Evangelis, ancaman pemikiran liberal yang ingin merungkai hukum hakam Islam dan pemikiran serta amalan songsang seperti LGBT, semuanya menjadi sebahagian agenda dakwah yang mesti sentiasa meniti dibibir ahli dan pimpinan PAS.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus

- Advertisement -