Turki, Iran dan Qatar bina jalur ekonomi baharu

- Advertisement -

TURKI bercadang untuk menguatkan hubungan perdangangan dengan Qatar. Mereka sedang merangka pelan perdagangan melalui jalan darat. Untuk menghubungkan antara mereka, Iran bakal digunakan sebagai laluan darat tersebut. Demikian menurut Menteri Ekonominya, Nihat Zeybekc.

- Advertisement -

Sejak krisis negara teluk melibatkan sekatan beberapa negara ke atas Qatar, Turki telah menghantar beratus kapal kargo berisi bekalan makanan kepada Qatar. Namun laluan udara tidak begitu ekonomik untuk jangka masa panjang. Selain laluan laut, mereka kini memikirkan alternatif melalui darat untuk barangan yang lebih ringan dan mudah diangkut.

Secara geografi, Turki berkongsi sempadan bersama Iran di sebelah timur. Manakala Qatar dipisahkan dengan Iran oleh Teluk Parsi. Namun mereka berkongsi medan gas terbesar di dunia yang terletak di perairan kedua negara ini.

Hubungan perdagangan antara Qatar dan Turki secara tidak langsung bakal memberi kelebihan kepada Iran dari sudut ekonomi. Memberikan tamparan kepada polis dunia Amerika yang baru sahaja memperbaharui sekatan ekonomi terhadap negara musuh ketat Israel itu. Lebih dari itu, hubungan antara Turki-Qatar kini tidak lagi terhad dari sudut ekonomi sahaja, malah melibatkan ketenteraan. Sudah tentu Iran juga bakal menikmati kelebihan dari sudut tersebut.

Sejak 2016, Turki sudah mengalihkan kiblat ekonominya daripada menumpukan kesungguhan untuk terlibat sebagai salah satu negara EU, kepada blok timur khususnya Rusia. Pasca kudeta Jun 2016 memperlihat hubungan Turki-Rusia kembali pulih manakala hubungan Turki-Amerika pula semakin buruk. Namun sehingga kini Turki masih lagi anggota ketenteraan NATO.

Dalam perkembangan lain, 24 Julai lalu, CEO Qatar Petroleum mengucapkan terima kasih kepada Saudi, UAE, Mesir, Bahrain dan beberapa negara yang memboikot mereka kerana telah membuatkan ekonomi negara terkaya di dunia itu bertambah kuat. Qatar kini sedang mengembangkan hubungan perdagangan mereka dengan negara gergasi ekonomi seperti China, Jepun dan Jerman.

Nampaknya seperti Qatar sudah tidak mahu duduk di bawah Abang Long Saudi yang mengepalai GCC. Tetapi apakah Qatar juga sedang merangka pelan keluar dari naungan Ayahanda Amerika? Masih terlalu awal untuk telahan tersebut. Qatar baru sahaja menandatangani pembelian jet F-15 daripada Amerika bernilai 12 billion dolar. – HARAKAHDAILY 10/8/2017

- Advertisement -