Peneroka Kesedar masih miskin, apa tindakan kerajaan?

- Advertisement -

TERIMA kasih Tuan Yang Dipertua kerana turut memberi peluang kepada saya untuk sama-sama membahaskan Akta Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017. Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah di atas usaha kerajaan untuk buat pindaan terhadap akta ini yang puluhan tahun tidak dipinda. Kita semua tahu tujuan penubuhan KESEDAR ini adalah untuk mengimbangi komposisi penduduk antara Kelantan Selatan dan Kelantan Utara, di samping membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

- Advertisement -

Persoalan saya adalah sejauh mana setakat ini pencapaian tahap sosioekonomi penduduk di bawah KESEDAR, terutama di kalangan peneroka, sekian lama sejak KESEDAR telah diwujudkan. Sejauh mana, apakah program-program yang kejayaan yang telah dicapai di bawah KESEDAR setakat ini?

Kalau kita lihat dengan keadaan suasana harga komoditi getah dan kelapa sawit yang tidak menentu, turun naiknya harga kelapa sawit dan turunnya harga getah mempunyai kesan yang cukup besar, terutama kepada peneroka-peneroka KESEDAR yang kebanyakan mereka adalah di kalangan penoreh getah dan pekebun kelapa sawit.

Jadi, sejauh mana kerajaan melihat isu ini? Oleh sebab satu tinjauan didapati bagaimana lebih daripada 57 peratus peneroka-peneroka KESEDAR ini masih di bawah tahap kemiskinan. Walaupun mereka sudah lebih 20 tahun, hampir 30 tahun berada di bawah rancangan KESEDAR tetapi tahap sosioekonomi mereka masih rendah.

Apa lagi dengan cabaran semasa, dengan usia mereka yang semakin lanjut. Di antara cabaran utama juga ialah generasi kedua anak-anak mereka yang tidak berminat lagi untuk bersama mengusahakan ladang di KESEDAR. Mereka lebih berminat kerja di bandar, sama ada di kilang ataupun di sektor awam atau swasta. Ini juga menyebabkan kekurangan tenaga buruh. Jadi, dengan keadaan ibu bapa mereka, dengan usia yang semakin tua. Jadi, saya ingin tahu sejauh mana kerajaan melihat isu ini yang matlamat KESEDAR ditubuhkan untuk menaikkan ekonomi, membasmikan kemiskinan.

Keadaan sekarang kita lihat ramai lagi rata-rata keluarga ini dalam keadaan kemiskinan, dalam keadaan masih- dalam keadaan kehidupan di takuk lama, apa lagi dalam keadaan kalau di Kelantan sekarang ini musim hujan. Banyak mereka yang tidak dapat menoreh di keadaan dalam musim tengkujuh, menjejaskan pendapatan. Apa lagi dengan harga getah yang semakin rendah.

Jadi, saya ingin tahu apakah usaha yang telah dibuat oleh pihak KESEDAR untuk membantu, untuk menaik taraf ekonomi pihak peneroka-peneroka di bawah rancangan KESEDAR? Sejauh mana diwujudkan program-program sampingan, terutama contoh di industri penternakan, industri usahawan kecil dan sebagainya yang telah berjaya di bawah KESEDAR untuk memberi pendapatan tambahan kepada mereka?

Saya ingin tahu juga tentang untuk kebajikan generasi kedua. Apakah perancangan pihak KESEDAR untuk membawa generasi kedua untuk bersama untuk meneruskan ladang-ladang ataupun kembali berusaha untuk membantu memajukan di kawasan KESEDAR?

Jadi, kalau tidak ada perancangan yang khusus, kita akan berdepan dengan satu masalah, kita ketandusan tenaga muda, tenaga buruh muda dan kita akan terus akan menyebabkan kegagalan perancangan asal KESEDAR. Kita lihat hari ini banyak bergantung juga kepada buruh-buruh asing. Ini sudah tentulah memberi kesan jangka panjang. Jadi, saya ingin tahu apa perancangan KESEDAR dalam menghadapi isu ini?

Kedua ialah saya ingin tahu tentang usaha untuk bantuan tanam semula. Setakat ini, sejauh mana program yang telah dibuat bantuan tanaman semula di bawah rancangan-rancangan KESEDAR? Sejauh mana kesan dan kejayaannya? Macam mana kah perancangan KESEDAR untuk memastikan hasil yang lebih lumayan, terutama di kalangan peneroka?

Seterusnya, saya ingin tahu juga tentang kebajikan Orang Asli sebagaimana yang disebutkan oleh rakan-rakan yang lain. Oleh sebab kita lihat hari ini dengan bukanya tanah-tanah baru, dengan ladang-ladang baru, menyebabkan Orang Asli yang mungkin sebelum ini dia bergantung dengan hasil hutan, mereka kehilangan punca pendapatan. Jadi, apakah usaha untuk memastikan mereka terus mendapat punca pendapatan mereka? Oleh sebab saingan kemasukan buruh asing ini memberi kesan.

Sepatutnya Orang-orang Asli juga dilibatkan mungkin dalam mengusahakan ladang-ladang di bawah KESEDAR untuk memastikan mereka juga mendapat ruang untuk mendapat mencari rezeki untuk keluarga mereka.

Jadi, setakat ini berapakah jumlah keluarga orang Asli yang telah- yang mendapat manfaat di dalam rancangan di bawah KESEDAR ini? Saya ingin tahu juga iaitu berkaitan dengan program iaitu membasmi kemiskinan, terutama di kalangan kaum wanita dalam rancangan KESEDAR. Apakah program-program khusus untuk membantu kaum wanita, terutama dalam rancangan KESEDAR ini untuk memastikan mereka boleh berdaya maju, bersaing untuk merubah kehidupan mereka? Begitu juga tentang program-program yang boleh dimanfaatkan, terutama dari segi membasmi masalah sosial.

Di antara gejala sosial yang paling membimbangkan kita di bawah rancangan KESEDAR juga ialah di kalangan penagihan dadah di kalangan remaja. Jadi, sejauh mana program-program yang telah disusun di bawah KESEDAR untuk supaya remaja, mereka ini tidak terlibat dengan gejala-gejala yang tidak sihat ini? Sejauh mana kerajaan telah merancang untuk memanfaatkan semua tempat-tempat peranginan yang ada
dalam semua tanah rancangan KESEDAR sama ada di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan sebagainya. Jadi, sejauh mana tempat-tempat ekopelancongan ini dimanfaatkan? Oleh sebab kita amat rugi, kita mempunyai keindahan alam yang begitu unik yang diciptakan oleh Allah sama ada sungai, sama ada bukit, gunung ataupun gua dan sebagainya.

Akan tetapi sejauh mana perkara ini dari segi promosinya, dari segi kemudahan pengangkutan awamnya, dari segi kemudahan tempat penginapannya dan sebagainya untuk menggalakkan pelancongan yang boleh memberi sekali gus memajukan ekonomi penduduk-penduduk di kawasan ini. Sejauh mana manfaat yang boleh diperolehi oleh mereka? Apa yang kita lihat hari ini, banyak kawasan-kawasan, termasuk kolam air panas, tempat-tempat gua ataupun tempat-tempat sungai yang boleh diadakan program berkayak dan sebagainya.

Akan tetapi, ia seolah-olah tidak dipelihara dengan begitu baik dan kurang promosi dan kurang kemudahan pengangkutan awam yang boleh menyebabkan pelancong sama ada daripada dalam dan luar negara untuk pergi ke tempat berkenaan.

Sekiranya perkara ini dapat dimajukan, sudah tentu ia memberi pendapatan yang lumayan kepada penduduk tempatan, kepada peneroka ataupun penduduk-penduduk sekitar dalam kawasan KESEDAR yang akan mendapat manfaat.

Jadi saya ingin tahu, sejauh mana program ini diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan untuk memastikan setiap ruang yang boleh memberi manfaat kepada peneroka yang boleh membantu ekonomi peneroka, yang boleh mengimbangi kedudukan ekonomi penduduk di sini, kita ambil ruang ini untuk sama-sama menaikkan taraf hidup masyarakat di sini?

Setakat ini, saya ingin tahu apakah masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan KESEDAR yang mungkin menjadi halangan ataupun masalah yang mungkin menyebabkan berlakunya kegagalan ataupun ketidakcekapan berlaku?

Apakah masalah-masalah yang berlaku? Saya ingin penjelasan. – HARAKAHDAILY 10/8/2017

Ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah binti Mohd Yusoff semasa membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2017.

- Advertisement -