Apa kemajuan penduduk di kawasan Ketengah?

- Advertisement -

TERIMA kasih kepada Tuan Yang Dipertua, mengizinkan saya untuk membahaskan pindaan rang undang-undang Akta 104 berkaitan dengan Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 1973. Kalau kita melihat kepada hasrat pindaan yang dicadangkan ini ialah untuk sebahagiannya peningkatan penyampaian perkhidmatan yang melibatkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah yang menjadi agensi yang ditugaskan bagi kemajuan wilayah dalam kawasan yang melibatkan tiga daerah; Hulu Terengganu, Hulu Dungun di Dungun dan juga Hulu Chukai di Kemaman.

- Advertisement -

Oleh itu, jika kita melihat kepada keluasan kawasan yang di bawah kawalan KETENGAH ini bagi kawasan pembangunan wilayah yang berasaskan kepada Dasar Ekonomi Baru Malaysia yang telah disebutkan oleh Menteri tentang keluasan jumlah ketika Akta 104 yang menjadikan KETENGAH Diperbadankan, keluasan 443,876 hektar kemudian ditambah pula dengan kawasan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu dengan keluasan 209,199 hektar yang telah digazetkan menjadikan keseluruhan keluasan Wilayah KETENGAH 653,075 hektar bersamaan dengan satu perdua keluasan Negeri Terengganu. Keluasan negeri Terengganu ialah 1,295,512.1 hektar.

Dengan adanya tiga daerah dalam keluasan yang ditugaskan kepada KETENGAH ini, kita boleh menilai setelah daripada 44 tahun kelulusan akta ini diberi, apakah dengan peruntukan saban tahun yang telah diberi kepada kementerian untuk disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, mencapai maksud daripada hasrat yang diletakkan dalam misi KETENGAH yang disebut tiga dimensi menjelang tahun 2020.

Pertama, organisasi. KETENGAH menjadi organisasi yang terkemuka dalam pembangunan wilayah. Dengan menjaga keluasan satu perdua negeri Terengganu, kita akan boleh melihat hasil daripada pencapaian yang telah berlaku daripada misi KETENGAH ini.

Kedua, melalui dimensi kawasan iaitu menjadikan Wilayah KETENGAH sebagai tempat kediaman dan kawasan industri atau perusahaan yang terbaik.

Ketiga, melalui dimensi insan. Penduduk Wilayah KETENGAH merupakan insan yang berilmu, berteknologi, berkemahiran dan seimbang dalam segala lapangan hidup iaitu disebut sebagai ‘khairul ummat’. Realiti dalam 44 tahun meliputi tiga daerah.

Terengganu ada lapan daerah termasuk Kuala Nerus baru-baru ini. Kita boleh melihat bagaimana perkembangan kemajuan seperti yang diletakkan dalam misi KETENGAH ini. Bandar adalah sumber bagi kita melihat kemajuan yang ada.

Pembangunan Bandar AMBS sendiri, Durian Mas atau Al-Muktafi Billah Shah yang merupakan nadi dan pusat bandar kepada pentadbiran KETENGAH menjadi bandar yang tidak membangun berdasarkan kepada tempoh 44 tahun Akta 104 ini diluluskan.

Ini menunjukkan bahawa bandar itu menentukan suatu kemajuan yang ingin dicapai kalau hendak menjadikan bandar itu pusat kepada kemajuan yang boleh kita lihat daripada penubuhan KETENGAH dalam operasinya untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dalam daerah pentadbiran.

Bandar yang dirancang, Rasau. Kita tidak melihat satu pembangunan bandar yang baik. Kerteh, apatah lagi sekarang ini sebahagian daripada petroleum yang sepatutnya berada dalam Kerteh itu juga dipindahkan ke Johor. Kemudian, kita melihat Bandar Bukit Besi sendiri yang diuar-uarkan sebagai bandar pelancongan, apatah lagi dengan sekarang ini pula apabila penggunaan Lebuhraya Pantai Timur 2 menyebabkan FT14 jalan persekutuan sudah tidak menjadi jalan utama. Kebanyakan bandar-bandar menjadi bandar yang terpinggir.

Hulu Chukai begitu juga, dalam daerah Kemaman dan juga Cheneh. Padahal banyak agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam wilayah ini antaranya FELDA, RISDA dan FELCRA menunjukkan bahawa mesti ada satu pelan pembangunan yang terancang dengan baik untuk memastikan misi-misi yang disebut oleh misi KETENGAH ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan kerana hanya dijangka akan dapat dicapai pada tahun 2020. Padahal kita mungkin tidak mempunyai masa yang dirangka daripada sudah berlaku 44 tahun itu untuk kita melihat hakikat sebenar yang berlaku dalam wilayah yang sangat luas bagi kelolaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah ini.

Apa yang saya ingin tanya ialah, apakah peluang-peluang pekerjaan yang telah diwujudkan kerana rata-rata kita melihat penduduk dalam Wilayah KETENGAH ini tidak mencapai satu tahap kedudukan yang membolehkan mereka untuk keluar daripada keadaan yang sedia ada. Itu yang pertama.

Kedua, apakah pembangunan IKS yang telah dilaksanakan kerana melibatkan penduduk dalam taraf yang sedia ada itu sekurang-kurangnya dapat dirangka oleh kementerian berdasarkan kepada kaedah memberikan suatu input kepada KETENGAH untuk merangka pembangunan IKS dalam wilayah ini.

Kita melihat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) atau Durian Mas secara ringkasnya adalah pusat pentadbiran KETENGAH tetapi ia tidak menjadi bandar yang merupakan nadi pembangunan bagi Wilayah KETENGAH atau dalam bahasa mudahnya bandar yang menjadi minus pembangunan. Kita tidak melihat satu kerangka dengan bajet yang diberi selama 44 tahun, ia melibatkan suatu pembangunan wilayah yang benar-benar diharapkan daripada misi yang dicatatkan. Ketengah Holdings ada 13 buah anak syarikat. Peranannya perniagaan tetapi di manakah pembangunan penduduk yang dirancang bagi wilayah ini?

Saya juga ingin minta suatu penjelasan mengenai isu pemilikan tanah yang masih belum selesai. Rumah yang rakyat diami ataupun penduduk diami dalam wilayah ini sudah lebih daripada puluhan tahun. 40 tahun yang lalu tetapi masih berstatus sewa sedangkan mengikut perjanjian asal ketika Wilayah KETENGAH ini diwujudkan iaitu semasa penubuhan KETENGAH, penduduk akan mendapat hak milik.

Sekarang, berstatus sewa sahaja sedangkan sudah 44 tahun ditubuhkan dan rakyat yang berada dalam kawasan KETENGAH ini mendiami kawasan ini, membayar sewa dengan harapan supaya mereka akhirnya akan mendapat hak milik tetapi geran diberikan atas nama KETENGAH. Lalu, KETENGAH meletakkan bahawa tidak akan diberikan hak milik. Ini isu yang juga penting untuk diselesaikan dalam Wilayah KETENGAH ini.

Tujuan penubuhan untuk kemajuan ekonomi dan sosial kepada rakyat yang tinggal dalam kawasan Wilayah KETENGAH menunjukkan bahawa pemilikan tanah itu menjadi asas yang utama daripada sewaan yang mereka lakukan. Kalau tidak diselesaikan, hak mereka ini, rakyat dalam kawasan KETENGAH ini akan terus terpinggir dari pembangunan wilayah dan ini adalah bertentangan dan berlawanan dengan maksud asal penggubalan Akta 104 ini, Akta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah 1973 ini kerana ia adalah untuk kepentingan. Kita sampaikan perkhidmatan itu kepada rakyat.

Oleh itu mesti kembali kepada perjanjian asal sebagaimana yang ditawarkan kepada penduduk. Mana-mana penduduk yang tinggal dalam kawasan KETENGAH selama lima tahun, bayaran berterusan, diuruskan kepada mereka suatu perjanjian sewa beli yang baru supaya mereka mendapat hak milik daripada mereka berada dalam kawasan KETENGAH ini.

Akhir sekali, saya ingin mendapatkan maklum daripada Kompleks Bebas Cukai Pulau Bayas, Tasik Kenyir. Bagaimana perkembangan infrastruktur kompleks ini setakat ini? Kedua, jumlah kos keseluruhan dan perbelanjaan yang telah dibelanjakan setakat ini untuk kemajuan projek ini setakat ini.

Ucapan Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli semasa membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2017.

- Advertisement -