1MDB tunggu BN kalah sahaja

SubkyLatif
- Advertisement -

SISTEM pemerintahan Malaysia berada di jalan buntu bagi mengendalikan skandal 1MDB yang sudah makan masa bertahun-tahun sekarang.
      
Kerajaan BN adalah kerajaan yang sudah sinonim rasuah, tetapi kerajaan Najib lebih teruk sinonim dengan puaka 1MDB, satu rompakan besar kerajaan oleh kerajaan BN yang tiada siapa tahu untuk menyelesaikannya.
       
Semua tahu sejak mulai lagi, sebaik saja Najib mengambil alih kuasa, 1MDB dibentuk sebagai badan pelaburan Kementerian Kewangan, yang tidak menjalankan urusan pelaburan sangat tetapi jadi badan merompak Kementerian Kewangan.
      
Keburukan syarikat Najib itu diketahui oleh semua, rakayt jelata, sekalian pemimpin dan ahli-ahli UMNO, seisi keluarga Njib sendiri, bahkan oleh  setiap keluarga istana. Baunya tidak tercium, mengalahkan bau roh  ahli maksiat yang baru mati, yang malaikat usung ke langit, melentung seisi ruang antara bumi dan langit.
     
Kalau roh yang paling busuk itu Firaun dan Abu Lahab, bau 1MDB lebih teruk. Tiada siapa yang dapat mencegah dan menghukumnya, kerana ketua perompak itu ialah Firaun dan Abu Lahab sendiri, orang paling berkuasa di muka  bumi. Mereka tidak mungkin bertindak atas diri sendiri. Jika Firaun membenarkan tindakan dikenakan ke atasnya, maka tidaklah dia bernama Firaun.
     
Semua sistem semak dan imbang dalam kerajaan telah dibuka untuk menyiasat rompakan itu, tetapi semuanya dibuka bukan untuk menyiasat tetapi untuk ditutup. Semua kaki penyiasat dibebaskan dari kerja menyiasat.
      
Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, ketua SPRM, Ketua Audit Negara dan lain-lain tidak menyambung perkhidmatan lagi. Semua usul balik asal, 1MDB tidak diusik langsung, selagi Putrajaya di bawah BN dan selagi Najib Perdana Menteri dan menteri kewangan.  
      
Saya terbaca biografi Tun Abdullah Ayub antranya menyebut, Perdana Menteri Tun Razak pernah bercadang untuk menjadi menteri kewangan, nasihat Tun Abdullah, jika menteri kewangan juga Perdana Menteri, nescaya tiada siapa dapat merayu kepada Perdana Menteri atas kelemahan menteri kewangan.
      
Tun Razak membatalkan niatnya.  Punca kerosakan ialah Perdana Menteri juga menteri kewanan.
      
PM Najib tidak menghalang pembentukan badan penyiasat, tetapi membiarkan ia tidak menyiasat. Pakar pendidikan Melayu berseminar membincangkan kerugian pendidikan Melayu jika pengajian terus dalam bahasa Inggeris. Kata Najib masa menutup seminar, kalau tuan-tuan bimbang saya lebih bimbang. Tetapi dia tak buat apa-apa.
       
1MDB terus gagal menyelesaikan hutangnya. Setahun hutang tertangguh 1MDB terpaksa membayar denda lebih  satu bilion.  Terakhir hutang di Qatar tertangguh, sebab duit dijangka masuk tak masuk.
      
Setelah penat mengharapkan 1MDB menyelesaikan masalahnya, macam menghadapi anjing tersepit ekor saja. Maka 1MDB sedia mengadakan meja bulat dengan sesiapa. Ia berjanji untuk buat itu dan ini. Diharapkan ia boleh dipantau Parlimen. Parlimen setuju, tetapi belum tentu ia boleh dibawa ke Parlimen.
      
Menunggu penyelesaian 1MDB sama menunggu kes pembunuhan Altantuya. Najib mati dulu kes Altantuya diam juga. Mungkin Najib mati dulu, 1MDB duk tang tu juga. Harapan sekarang pada Jabatan Kehakiman Amerika. DOJ juga tidak cukup aktif. Takut Najib mati dulu, baru kes 1MDB naik mahkamah.
      
Jalan yang ada sekarang Najib dan BN mesti dikalahkan dalam PRU14 kalau mahu 1MDB dimahkamahkan. Jika Najib tak kalah dan tak mati, Malaysialah yang mati. Macam nasib Mesir purba juga, menunggu Firaun tenggelam di Laut Khalzum. – HARAKAHDAILY 9/8/2017

- Advertisement -
- Advertisement -