Pemuda bincang kebajikan guru YIK bersama exco

- Advertisement -

PEMUDA PAS Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Dr Haji Mohd Fadzli Datuk Hassan yang sudi menerima kunjungan hormat dari DPPNK tengahari ini yang diketuai oleh Ustaz Ahmad Fadhli Shaari. Secara umumnya pertemuan ini mencapai beberapa matlamat yang telah digariskan oleh DPPNK yang mana hasrat untuk menjaga kebajikan para guru YIK oleh Kerajaan Negeri turut digalas bersama oleh Pemuda PAS Kelantan.

- Advertisement -

Banyak isu kami bawakan atas dasar solidariti dan kebersamaan dengan guru YIK dalam usaha memberikan khidmat terbaik mendidik anak bangsa setempat. Antaranya adalah berkenaan perjawatan guru sama ada Guru Tetap, Guru Khas, Guru Sandaran, Guru Berelaun mahupun Guru Ganti. Selain itu, turut dikemukakan adalah berkenaan Skim Gaji Guru Berelaun dan Sandaran, kebajikan guru yang telah berkhidmat lama di YIK iaitu melebihi 18 tahun serta Guru-Guru Tahfiz.

Pemuda juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengadakan dialog dengan lebih kerap bersama semua guru YIK agar semua isu yang cuba dimainkan oleh musuh difahami sebaiknya oleh para guru ini. Rentak yang dimainkan oleh sesetengah pihak untuk memecah belahkan kesatuan antara guru harus ditolak sama sekali.

Segala isu, permasalahan dan cadangan penyelesaian yang dikemukakan ini adalah telah mengambilkira pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah guru-guru YIK. Ia juga adalah hasil resolusi daripada Muktamar DPPNK sejak dua tahun lepas iaitu bagi kali yang ke-57 dan 58.  

Dalam pertemuan ini, Pemuda juga menyampaikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang telah memperuntukkan 1/5 daripada Bajet Tahunan untuk YIK. Kira-kira RM130 Juta diperuntukkan pada tahun 2017 untuk YIK. Kita yakin Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan ini bagi tahun hadapan dan untuk tahun-tahun yang berikutnya.

Sesungguhnya, apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan kepada YIK ini merupakan suatu bukti bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan YIK dan  aspek pendidikan Islam yang menjadi teras pembinaan modal insan pada masa akan datang.

Walaupun kerajaan Negeri berdepan dengan sumber kewangan yang agak kecil, namun cadangan cadangan yang dibawa oleh Pemuda PAS Kelantan dilihat mampu dijayakan dengan sedikit penambahan kos. Semoga hasrat murni kerajaan dalam membela kebajikan dan nasib guru YIK selama ini mendapat sokongan dari semua pihak di negeri ini. – HARAKAHDAILY 8/8/2017

- Advertisement -