Urus ubat

- Advertisement -

“ALHAMDULILLAH, Mak Aji saya sudah luluskan untuk cucuk vaksin haji. Paras darah memuaskan pada masa ni. Saya doakan Mak Aji dipermudahkan segala urusan perjalanan, sihat tubuh badan dan dikurniakan haji mabrur,” kata-kata akhirku kepada seorang bakal Duyufurrahman di sesi pemeriksaan kesihatan haji. Saya selesa berbahasakan ‘Mak Aji’ walaupun beliau masih belum menunaikan haji. Rasa lebih mesra dan santun. Beliau adalah pengidap kencing manis kronik. Bacaan awal semasa bertemu saya amat tidak terkawal. Setelah ubat dioptimakan, akhirnya bacaan paras gula amat menakjubkan. Boleh pula beliau kawal pemakanan dan patuhi ubat-ubatan. Semangat membuak-buak untuk menunaikan haji.

- Advertisement -

“Terima kasih doktor. Syukur,” sahut beliau ringkas dalam nada sebak. Matanya kelihatan berkaca.

dr suhazeli“Saya akan bekalkan ubat untuk Mak Aji selama 2 bulan.” Nasihat ringkas saya. Jemaah haji akan berada di tanah suci paling minimum 40 hari, bermakna ubat-ubatan yang akan dibekalkan paling minima pun sebulan setengah. Mengambil beberapa situasi, kebiasaannya jemaah haji akan hadir semula ke klinik 2 minggu sekembalinya dari tanah suci, tempoh 2 bulan amat sesuai ubat dibekalkan.

Nasihat saya kepada semua jemaah haji yang mempunyai penyakit kronik, sediakan bekalan ubat secukupnya. Jangan kita mengharapkan ubatan anda disediakan oleh Tabung Haji semasa di sana. Memang benar, Tabung Haji bersama dengan KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan, tetapi kemungkinan ubat-ubatan yang didapati di sana tidak bertepatan dengan jenama ubat yang biasa diambil oleh anda.

Sebagai duyufurrahman perkara-perkara berikut boleh diambil kecaknaan.

1) Pastikan betul-betul pihak farmasi membekalkan ubat anda secukupnya. Ini kerana sesetengah ahli farmasi hanya akan keluarkan ubat selama satu bulan sahaja. Ini adalah polisi biasa yang telah dikeluarkan bagi pendispensan ubat-ubat penyakit kronik. Bagi para pesakit biasa, tidak menjadi masalah untuk mengambil ubat mereka sebulan sekali. Namun kepada jemaah haji, mereka perlu memberitahu kepada ahli farmasi supaya bekalan diberikan secukupnya. Paling minimum dua bulan. Tunjukkan buku pemeriksaan haji atau apa-apa dokumen yang membuktikan anda sebagai jemaah haji. Atau, boleh sahaja kembali semula ke bilik doktor untuk mereka memaklumkan kepada ahli farmasi situasi anda.

2) Pastikan juga ubat-ubatan dilabel dengan sempurna bagi mengelakkan kekeliruan. Terdapat jemaah haji yang sudah berumur, sebelum ini hanya mengharapkan anak mereka menguruskan pengambilan ubat. Tanpa mereka sedari dan ketahui jenis ubat dan bila masa untuk dimakan. Kali ini, di tanah suci para jemaah berkenaan harus berdikari. Perlu mengenal ubat yang biasa dimakan. Proses pengenalan ubat ini lebih senang dengan membuat label sesuai. Pihak Tabung Haji menyediakan khidmat kesihatan dan perubatan sepanjang masa. Pegawai yang ditugaskan sepanjang musim haji bersedia untuk membantu memberikan kaunseling kepada anda. Jangan segan silu untuk bertemu mesra dengan mereka.

3) Senarai pertama yang patut diletakkan dalam bagasi anda adalah ubat-ubatan. Pesakit yang perihatin mengenai kesihatan mereka, sudah pasti ingat jenis ubat, bagaimana cara mengambil dan bila masanya. Bagi memudahkan, beli bekas kedap udara dan dilabelkan khas ubat supaya senang dicapai apabila masanya sampai. Bawa jumlah yang secukupnya mengikut jumlah hari yang anda rancang berada di kampung. Jadikan ubat-ubatan ini sama penting dengan kad pengenalan anda. Wajib dibawa ke mana-mana sahaja.

4) Pesakit yang menggunakan insulin, ingat betul-betul tatacara membawa ubat insulin dalam perjalanan ke tanah yang barokah itu. Jangan jadikan alasan susah membawa insulin ini kerana teknologi terkini insulin sudah tersedia-kekal dalam pen. Bukannya lagi dalam botol-botol insulin seperti dahulu kala.

i) Anda boleh membawa pen insulin tersebut tanpa menyimpannya di tempat sejuk. Ia boleh digunakan selama sebulan (30 hari) setelah dimasukkan dalam kelongsong pen insulin. Cuma elakkan ia terdedah secara terus dibawah terik matahari. Selagi berada dalam tas tangan anda, ia selamat digunakan.

ii) Jika anda merasakan insulin tidak mencukupi, anda perlu membawanya lebih. Satu kelongsong insulin biasanya mempunyai 300 unit. Kira secukupnya jumlah unit dos insulin yang akan digunakan sepanjang berada di Tanah Suci. Jika anda memerlukan cucuk sebanyak 15 unit, 2 kali sehari, bermakna jumlah sehari adalah 30 dos unit. Justeru satu kelongsong akan habis selama sepuluh hari. Andai sekiranya pihak Tabung Haji memaklumkan tempoh anda berada di sana selama 6 minggu, maka 4 atau 5 kelongsong penuh insulin wajib dibawa. Jangan lupa, jarum cucuk juga perlu dibeli lebih.

iii) Cara membawanya dalam perjalanan juga perlu dengan cermat. Masukkan kelongsong insulin tadi dalam kotak ais yang suhunya sekira-kira 4-8 ⁰C. Kemudian setelah sampai destinasi, alihkan kelongsong insulin tadi ke dalam peti sejuk. Ambil setelah anda memerlukan. Kita memahami sukar untuk mencari kotak ais yang kekal suhu sejuknya sepanjang permusafiran. Paling kurang masukkan juga ke dalam kotak ais tanpa mempedulikan suhu, balut sebaiknya agar tidak mudah terburai. Jangan terlalu rigid dalam isu ini.

Semoga dengan sedikit nasihat ini membolehkan ibadah anda di tanah suci nanti lebih sempurna.

- Advertisement -