Tawaran PAS vs tawaran Pakatan Harapan

PASvsPH
- Advertisement -

PAS menawarkan perletakan asas Prinsip Politik Islam berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai asas bernegara. Lebih daripada itu, 7 Tawaran Pakatan Harapan jika memerintah sebenarnya juga merupakan Tawaran PAS. Cumanya 7 Tawaran Pakatan Harapan ini hanyalah subset kepada kerangka besar Tawaran Solusi Islam yang diterajui oleh PAS.

- Advertisement -

PASvsPHApa yang membezakannya ialah PAS menawarkan Islam sebagai Penyelesaian! Ini bagi memastikan pembersihan secara komprehensif politik negara dari budaya-budaya negatif dan diganti dengan budaya-budaya yang menepati syarak. PAS mengimpikan perubahan hakiki yang sejati yang menjadikan Islam memerintah dan tidak diperintah-perintah. PAS sekaligus menolak perubahan simplistik yang hanya menatijahkan dari kleptokrasi bentuk kini kepada kleptokrasi bentuk baru.

Al-Islah. Pembaikan. Inilah yang ingin dibawa oleh PAS. Sesungguhnya konsep berubah ke arah khair yang disebut islah itu amat Islamik sifatnya. Ianya melibatkan perubahan sistem sekular yang merupakan politik konvensional peninggalan penjajah yang ada kepada sistem Islam yang syumul dengan mencabut jahiliyah dari akar-akarnya.

Malah seluruh para Rasul yang diutus oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah melakukan rekayasa islah yakni perubahan sosial dan anjakan paradigma umat dengan berpaksikan penghayatan beragama dan rasa ber-Tuhan.
 
Secara umumnya, jalan islah dalam ruang lingkup siasah (politik) itu boleh dikategorikan dalam tiga bentuk yang utama iaitu evolusi, revolusi dan reformasi.

Evolusi adalah bentuk islah yang memakan waktu lama. Proses perubahan seperti ini cenderung berlegar hanya dalam lingkungan atau di peringkat elitis sahaja dan tidak begitu mengambil kira input dari grass root.

Bentuk islah yang kedua ialah revolusi. Revolusi yang mencerminkan perubahan secara cepat tetapi berrisiko ini cukup popular di kalangan gerakan sosial atau aktivis pembebasan. Hasil islah dengan cara ini dapat dilihat dengan cepat, kerana secara umum ia bertujuan pada perubahan politik khususnya perubahan tampuk kekuasaan.

Manakala bentuk islah yang ketiga ialah reformasi. Reformasi didefinisikan sebagai sebuah perubahan yang berperingkat-peringkat atau melalui fasa-fasa tertentu, manakala jangka masa proses berlakunya pula tidak terlalu cepat namun tidak juga terlalu lambat. Reformasi merupakan bentuk kompromi antara evolusi dan revolusi.
 
Apakah pilihan kita rakyat Malaysia? Rasanya semua bersetuju betapa islah perlu terus diusahakan. Kita juga bersetuju perubahan yang kita inginkan ialah perubahan sebenar, bukan perubahan yang hanya bersifat kosmetik. Kita mahukan perubahan sistem yang lestari, bukan hanya perubahan rejim namun kekal dengan sistem lama yang terbukti gagal.

Kita tidak mahu keluar dari mulut buaya lalu masuk ke mulut harimau! Dari Barisan Nasional yang kini terpalit dengan pelbagai skandal kepada Pakatan Harapan yang berkompromi apa sahaja demi kuasa! Bukan sekadar pertukaran Kerajaan BN-Umno yang mengekalkan sistem penjajah kepada PH yang ada padanya DAP yang menolak penegakan syariat Islam. Juga bukan sekadar persalinan rejim Umno 2017 yang dipimpin DS Najib-DS Zahid kepada rejim Umno Pra-1998 yang dipimpin Tun M-DS Anwar. Ia lebih dari itu!

Sesungguhnya jalan islah yang diseru oleh PAS adalah modus operandi pencerdikan masyarakat agar mereka merasa Sejahtera bersama Islam. Seruan ini dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan PAS sepertimana berikut:

Fasal 3: Dasar PAS ialah ISLAM.

Fasal 4: Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR!

Fasal 5: TUJUAN PAS ialah:

1. Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

2. Mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Fasal 6: USAHA-USAHA PAS:

1. Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’ah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkukuhkan dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memehami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama mana ia mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya disamping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

10. Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjalinkan hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

11. Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Fasal 7: HUKUM DAN KEKUASAAN:

Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata.

Insya-Allah sama-sama menyumbang ke arah menjayakan hasrat membina Malaysia Sejahtera dengan Islam. Ayuh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan tidak terus hanyut dengan masalah atau menjadi sebahagaian dari masalah.

Jalan ini jalan panjang. Meski cahayanya cuba dipadamkan, namun sinar di hujung lorong semakin bersinar dan kian hampir. Semoga Allah redha dan permudahkan urusan menuju kemenangan. ‘Isy azizan aumut syahidan. Hidup mulia atau mati syahid. – HARAKAHDAILY 6/8/2017

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS). Juga merupakan Jurutera Kanan di sebuah Syarikat Minyak & Gas Antarabangsa.

- Advertisement -