Anti Pemerdagangan Manusia: OKU penglihatan tidak dieksploitasi

faizal
- Advertisement -

KAMI merujuk suatu kes yang melibatkan tahanan seorang OKU penglihatan dalam penguatkuasaan Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 “Akta 670” pada 23 Julai 2017 lalu. Kami percaya tahanan yang melibatkan OKU penglihatan tersebut terjatuh di bawah skop pengeksploitasian manusia pada Bahagian 3, Akta 670.

- Advertisement -

Kami sangat menghormati dan menghargai kesungguhan pihak berkuasa yang iltizam dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan pusat kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Begitu juga kami penuh yakin dan percaya bahawa tahanan yang melibatkan OKU penglihatan pada 23 Julai 2017 di Shah Alam tersebut dibuat bagi melindungi kepentingan dan kebajikan OKU penglihatan itu sendiri.

Dalam pada itu, kami juga menggesa agar penguatkuasaan Akta 670 tersebut tidak mendatangkan suatu rasa kegusaran seterusnya membebankan kepada komuniti OKU penglihatan dalam meneruskan kegiatan ekonomi bagi mencari rezeki dan sesuap nasi.

Ini disebabkan telah diketahui umum betapa dalam menjalankan aktiviti ekonomi sebagai penjaja bebas, mereka yang terlibat pada kelazimannya mendapatkan perkhidmatan mereka yang berpenglihatan.

Harus diakui kegiatan ekonomi sebagai penjaja bebas adalah suatu usaha kerjaya yang tetap termasuk di bawah hak-hak berkerja yang dijamin kepada OKU sebagaimana dinyatakan dalam Artikel 27, Convention on the Rights of Persons with Disabilities dan Seksyen 29, Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Adalah dimaklumkan bahawa pihak kami melalui Persatuan Kebajikan Orang Buta Bekerja Sendiri Kuala Lumpur “PKB” telahpun memaklumkan pihak berkuasa tentang situasi OKU penglihatan yang menjalankan aktiviti penjaja bebas tersebut.

Pada ruang dan kesempatan ini juga, kami menggesa untuk pihak kerajaan mempertimbangkan perkara-perkara berikut bagi memastikan kepentingan dan kebajikan OKU penglihatan secara khususnya dan OKU secara umumnya tetap terbela dan terpelihara:

i) Mengkaji dan menilai semula elaun-elaun bagi OKU termasuklah Elaun Pekerja Cacat “EPC” agar ia lebih menepati keperluan dan cabaran semasa.

ii) Mewujudkan pusat latihan kendiri bagi golongan OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya bagi memastikan komuniti OKU dibekekalkan dengan kemahiran yang sesuai dengan keperluan semasa.

iii) Mewujudkan suatu secretariat atau unit khusus yang diterajui sendiri oleh OKU sebagai sumber rujukan dan pemudahcara bagi isu-isu berkaitan OKU.

iv) SeKretariat / unit yang dicadangkan harus juga diwujudkan di peringkat negeri dan bukan hanya di peringkat kerajaan persekutuan.

v) Pembelaan dan pemeliharaan kepentingan dan kebajikan OKU haruslah menjadi tanggungjawab semua pihak dan bukan hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia semata-mata.

v) Kami juga menggesa agar akses kepada pekerjaan dan usahawan diperkasa termasuklah mengadakan tempat dan tapak usahawan, kemahiran berkaitan serta pengurusan geran yang lebih berkesan.

Kami juga mengulangi akan kesediaan kami menjalinkan hubungan dan mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi memastikan kepentingan dan kebajikan OKU penglihatan terus diperkasa di negara ini.

Mohammad Faizal Che Yusof
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan-pertubuhan OKU penglihatan Malaysia
Tarikh: 12 Zulkaedah 1438H / 5 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 5/8/2017

- Advertisement -