Kenyir tak ubah seperti Monsun Cup

ky1
- Advertisement -

SAYA mengambil sedikit masa untuk menulis beberapa isi penting berkenaan Pulau Bebas Cukai di Kenyir, yang baharu dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada 1 Ogos lalu. Saya tidak mempunyai perkataan utama lain selain daripada menyatakan bahawa ini adalah ‘sandiwara’ Umno yang cuba memomokkan rakyat dengan lakonan perasmian ini.

- Advertisement -

mOHD nORUmno Terengganu sebenarnya berkeyakinan bahawa jika tidak dirasmikan sekarang, Kenyir akan menjadi masalah besar bagi mereka dalam menghadapi PRU14 nanti kerana projek yang hampir menjadi gajah putih itu, jika tidak dicat dengan warna lain, sekurang-kurangnya warna kelabu, bakal menumbangkan mereka di Terengganu. Sayang, Umno yang sentiasa lupa akan kebijaksanaan rakyat Terengganu, menganggap rakyat Terengganu akan dapat diperbodohkan mereka begitu sahaja.

Beberapa portal atau penulis-penulis upahan, begitu galak menari-narikan jari jemari mereka mengikut rentak irama yang dimainkan Umno dengan memberikan pandangan positif dari pelbagai sudut dan mereka pula begitu rakus menerkam dengan makian, cacian atas segala komen negatif terhadap Pulau Bebas Cukai ini. Amat jelas ia menjadi petunjuk betapa pentingnya projek di Kenyir ini demi survival politik Umno. Sememangnya kerja mereka dalam mendungukan pemikiran rakyat.

Tetapi sayang, ini semua telah dibuktikan dengan kehadiran sejumlah orang yang terpaksa hadir, dengan hanya tiga buah kedai dibuka sewaktu acara perasmian kepada projek yang rakus bagaikan ikan tapah di dalam Tasik Kenyir, menelan hampir RM1 bilion wang rakyat Terengganu. Majlis itu juga meninggalkan jauh Pulau Bayas yang dianggarkan perbelanjaannya ratusan juta itu jauh ke tengah, kerana ianya hanya diadakan di sebelah tanah utama di Pengkalan Gawi. Apakah makna perasmian ini? Bolehkah diterima akal apabila perasmian dibuat di tempat lain sedangkan lot perniagaan di tempat lain? Teramat bodohkan rakyat Terengganu sehingga sebegitu hina cara Umno mahu menipu rakyat? Bukankah semua rakyat Terengganu tahu yang Kompleks Bebas Cukai itu hanya siap pada 2018? Jadi untuk apa perasmian ini?

Sebenarnya tidak perlu rakyat melihat mahupun meramal masa depan projek ini. Cukuplah sekiranya rakyat menyewa bot dan membuat tinjauan sendiri ke lokasi-lokasi seperti Taman Burung yang sudah ditinggalkan hampir tiga tahun lalu bernilai RM8 juta, Taman Tropika (RM7.6 juta), Taman Rambutan yang tiada buah (RM2 juta), Taman Orkid yang tiada orkid (RM8.6 juta), Taman Rama-Rama (RM11 juta) dan beberapa lagi taman-taman yang terbiar, terbengkalai atau musnah dan tidak boleh digunakan lagi. Cukuplah itu sebagai penanda aras sebenar kepada nasib Pulau Bayas sebagai Pulau Bebas Cukai. Begitu juga nasib amphicoach iaitu dua bas dua alam yang bernilai RM6 juta, yang hanya dapat dilihat kemunculannya di dalam video sahaja. Bak kata orang boleh tengok tapi tak boleh dipegang.

Begitulah wang rakyat Terengganu dihilangkan oleh Umno. Masih ingatkah anda dengan Monsun Cup? Ianya gah dikhabarkan akan mendapat liputan dunia dan Terengganu bertuah kerana terpilih menjadi tuan rumah. Kepala rakyat ditenyeh-tenyeh mereka agar menerima cerita Umno bahawa ini adalah projek menguntungkan rakyat, namun setelah lebih RM1 bilion ditenggelamkan di dasar Sungai Terengganu ataupun masuk ke poket kroni-kroni mereka, penduduk di Pulau Duyung masih begitu juga keadaan ekonomi mereka walaupun pernah diberi harapan bahawa mereka akan untung berniaga keropok, air tebu dan sebagainya ketika pertandingan Monsun Cup berjalan. Rupanya tidak ke mana. Duit rakyat disapu kroni, keropok dan air tebu yang tak habis dimakan sendiri.

Kini mereka datang lagi, tetapi dengan MB yang sudah bertukar wajah, setelah berkelahi dan bercakaran sesama sendiri. Kali ini dengan janji kepada rakyat Kuala Berang pula untuk memberikan kemajuan kepada Kenyir dan rakyat akan mendapat manfaatnya. Dapat atau tidak manfaat kepada rakyat, itu belum pasti, tetapi yang pasti, wang rakyat Terengganu hampir RM1 bilion untuk projek ini, sudahpun masuk ke kocek-kocek kroni-kroni mereka, yang ramai juga bukan rakyat Terengganu. Begitulah, proses ini akan berulang-ulang, berterusan jika sekiranya rakyat Terengganu masih sanggup dibodohkan Umno. Jangan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali. Ini bukan sifat orang mukmin. Terengganu Darul Iman, negeri orang yang beriman, rakyatnya insya Allah beriman.

Lihat sahajalah nanti janji memberi lot tanah oleh MB, ia akan menjadi bahan ugutan kepada pengundi. Janji ini berlaku secara ‘kebetulan’ dekat dengan PRU yang dijangka paling lewat sebelum Mei 2018. Percayalah 5900 lot tanah itu tidak akan diberikan secara sah kepada penerima sebelum PRU. Yang diberikan ialah hanya geran sementara yang boleh ditarik balik bila-bila masa. Ia sudah terbukti, percayalah.

Lihat sahajalah nanti janji memberi lot tanah oleh MB, ia akan menjadi bahan ugutan kepada pengundi. Janji ini berlaku secara ‘kebetulan’ dekat dengan PRU yang dijangka paling lewat sebelum Mei 2018. Percayalah 5,900 lot tanah itu tidak akan diberikan secara sah kepada penerima sebelum PRU. Yang diberikan ialah hanya geran sementara yang boleh ditarik balik bila-bila masa. Ia sudah terbukti, percayalah. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
11 Zulqaedah 1438 / 4 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 4/8/2017

ky2

ky3

ky1

ky4

- Advertisement -