Serah kebun: Peneroka Felda perlu RM4,800 sebulan

- Advertisement -

PENEROKA FELDA PERLU PENDAPATAN KASAR RM4,800 SETIAP BULAN UNTUK TIDAK BERHUTANG JIKA SERAH KEBUN MEREKA KEPADA PENGURUSAN FELDA

- Advertisement -

Alasan hasil tuaian tidak capai sasaran sering kali dijadikan jawapan yang mudah dikemukakan kepada peneroka setiap kali berlaku pertikaian kenapa hutang meningkat dan terus meningkat. Kos operasi tidak dapat ditolak dengan hasil pendapatan setiap bulan akibat hasil yang direkodkan hanya sekitar 3 hingga 5 tan sahaja.

Dengan usia yang lanjut dan faktor kesihatan, ramai peneroka mengambil jalan menyerahkan seluruh operasi kebun kepada Felda dan Felda pula menyerahkanya kepada Felda Technoplant untuk mengurus tanpa mereka ambil kisah lagi keadaan kebun.

Ada sesetengah peneroka sudah tidak mengenali di mana lot mereka setelah bertahun-tahun tidak menjenguknya apabila sudah menyerahkan operasi kebun. Mereka lebih selesa menerima tawaran skim pendahuluan hasil atau lebih dikenali bayaran pencen RM1,500 setiap bulan untuk keluasan kebun sawit 10 ekar.

Hanya sekitar 17 ribu daripada 112,635 peneroka yang mengusahakan sendiri atau tidak menyerahkan kebun mereka kepada pihak pengurusan Felda. Mereka yang tidak bersama Felda pula terpaksa berdikari tanpa apa-apa kemudahan atau bantuan dari Felda. Mereka terpaksa mengurus dengan segala kepayahan dan tekanan, namum begitu golongan ini di antara peneroka yang tidak memiliki hutang yang besar dengan pihak Felda.

Purata pendapatan tandan segar mereka pula jauh lebih tinggi berbanding dengan mereka yang menyerahkan kepada Felda? Kenapa? Walaupun tidak semua tanah rancangan menghadapi isu ini, tapi kebanyakanya isu hasil ladang rendah memang menjadi isu utama dan merekodkan hutang yang banyak sehingga ada dakwaan peneroka mereka berhutang melebihi RM150,000.

Sedangkan Felda mempunyai segala kepakaran mengenai perladangan sawit. Kakitangan yang cekap dan terlatih, kaedah penjagaan ladang yang mengikuti segala garis panduan amalan penjagaan ladang yang baik. Tetapi kenapa hasil peneroka merosot dengan teruk? Bila hasil kurang, secara logiknya hutang gagal dipotong. Bila gagal dipotong, jumlah hutang akan meningkat dengan sendirinya. Ditambah dengan hutang sosial seperti pinjaman pembesaran rumah dan pendidikan anak-anak.

Perlu diingat, peneroka dan Felda ada perjanjian sebelum menyerahkan pengurusan ladang. Terma perjanjian ini gagal dipatuhi oleh pihak Felda sendiri antaranya; di mana setiap suku tahun perlu dibentangkan penyata perbelanjaan dan pendapatan kepada peneroka agar kedua pihak boleh meneliti setiap suku tahun permasalahan bersama mengenail kos dan hasil.

Apabila perjanjian ini tidak diamalkan dan dilanggar, menyebabkan peneroka gagal mendapat maklumat semasa. Keadaan bertambah teruk dan parah jika ianya berlarutan bertahun-tahun dan hanya ditunjuk penyata Interim oleh Felda Technoplant dengan jumlah hutang yang tidak munasabah dan hasil yang meragukan. Bila ada item-item transaksi dalam penyata interim meragukan, peneroka akan menghadapi masalah untuk memperbetulkan atau menafikan.

Keadaan ini lebih teruk jika peneroka Felda yang telah memasuki era tanam semula kali kedua. Tanam semula kali kedua ini hanya melibatkan tanah rancangan yang dibuka era tahun 70-an. Jika peneroka menyertai skim tanam semula kedua bersama Felda, hutang mereka akan mencecah RM169,600 setelah penghasilan tahun ke-8.

Jika penghasilan buah tandan segar mereka tidak capai taget atau bawah 10 metrik tan sebulan bagi keluasan 10 ekar sawit, peneroka yang menyerahkan pengurusan kebun mereka akan menghadapi masalah pemotongan kos pembangunan tanam semula, pinjaman sara hidup, pendahuluan hasil dan kos operasi semasa.

Felda mengenakan kos pembangunan tanam semula RM40,000 bagi keluasan 10 ekar sawit sehingga pokok ini mengeluarkan hasil atau tahun titik pulangan modal selepas  36 bulan. Dalam tempoh ini, peneroka diberi pinjaman ‘sara hidup’  RM100/ekar bagi tahun pertama dan mencapai RM130/ekar setelah memasuki tahun keempat. Selepas itu peneroka dibayar ‘Pendahuluan Hasil’ dengan kadar RM140/ekar tahun 4 dan 5, manakala tahun 6 hingga 8, RM150/ekar.  Sepanjang tempoh ini, hutang pinjaman akan mencapai RM42,000.

Selepas pokok mengeluarkan hasil dari tahun 4 hingga 8 peneroka dibayar pendahuluan seperti perkiraan di atas atau RM1500 setiap bulan secara tetap tanpa merujuk kepada penghasilan sebenar tan mereka. Jika ada lebihan setelah ditutup kira-kira setiap 3 bulan, peneroka akan dibayar lebihan, itu jika ada. Jika penghasilan kurang dari yang ditetapkan ianya akan memberi kesan langsung kepada potongan hutang tanpa mengurangkan pendapatan minima RM1,500 sebulan.

Sepanjang tempoh sehingga tahun ke 8, pendahuluan hasil ini akan merekodkan RM87,600. Walau bagaimanapun angka ini akan berkurangan jika hasil mereka melepasi target dan jumlah  RM169,600 direkodkan sebagai hutang dalam tempoh ini. Yang menjadi masalahnya hasil direkodkan sangat rendah daripada sepatutnya. Ini belum lagi dicampur  kos perkhidmatan 6.25 peratus.

Formula potongan pula sudah dinyatakan dengan jelas. Bagi tahun tuaian tahun ke-2 RM270/ tan akan ditolak setiap metrik tan sebagai potongan kos operasi (kos pembangunan semula ladang), manakala tahun 4 hingga 8 RM250/tan akan dikenakan.

Daripada keluasan kebun 10 ekar ini, hasil diperolehi sebanyak 8 tan sebulan, dan harga semasa purata RM400/tan, hasil tunai akan direkodkan RM3,200. Pihak pengurusan akan memotong RM250 bagi setiap tan(RM2,00). Pihak Felda juga akan memotong setiap bulan satu potongan tetap dikenali Bayaran Kembali Sementara sebanyak RM300/bulan.

Formula: Pendapatan bulanan sebenar = Hasil – Kos operasi – Bks
Hasil Kasar RM3,200 – Kos Operasi RM2000 – BKS RM300 = PENDAPATAN SEBENAR RM900.00

Oleh itu, seseorang peneroka memerlukan pendapatan kasar RM4,800 atau 12 tan metrik setiap bulan untuk memastikan peneroka tidak berhutang dari pinjaman pendahuluan hasil RM18,000 setahun.

Jika perkiraan ini diambil kira, peneroka memerlukan pendapatan hasil RM57,000 setahun atau 144 tan tandan segar dengan harga purata tahunan RM400.

Persoalan utama ialah apakah setelah pihak pengurusan Felda Technoplant mengambil alih kebun peneroka yang telah matang sekarang ini, hasilnya mampu direkodkan sebanyak 12 tan sebulan? Cuba peneroka Felda pergi periksa penyata penghasilan tan masing-masing dengan pihak Technoplant atau Felda. Jika peneroka tidak memgambil kisah, jika JKKR tidak laksana tugas mereka, maka berlakulah seperti keadaan sekarang ini.

Tiada pembentangan penyata setiap suku tahun. Tiada penyata hutang terperinci dan tiada rekod lebihan hasil. Andaikata masalah ini berlarutan bertahun-tahun, sudah pasti kita boleh menilai keadaan pengurusan yang menjadi punca hutang peneroka tiada kesudahan.

Mungkin dengan janji insetif kerajaan untuk hapuskan jumlah tertentu hutang peneroka dilihat jalan penyelesaian namun perlu diingat, apakah jumlah hutang itu munasabah dan sudah diterima atau disepakati bersama oleh  peneroka dan Felda? Kenapa setelah bertahun-tahun masalah ini dan hampir piliharaya, insetif ini dikemukakan kepada peneroka?
 
Naraza Muda
Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu
01 Ogos 2017

- Advertisement -