PAS Terengganu sedia memerintah

- Advertisement -

PAS Negeri Terengganu pernah memperolehi mandat pemerintahan Kerajaan Negeri Terengganu pada PRU-10 pada tahun 1999. Menerusi pemerintahan sepenggal itu, PAS Negeri Terengganu berjaya membuktikan kewibawaan kepimpinan PAS waktu itu dalam menghadapi cabaran pentadbiran. Terutamanya menguruskan negeri tanpa peluang menggunakan wang royalti berikutan tindakan zalim Kerajaan Persekutuan menyekatnya.

- Advertisement -

Usaha untuk menawan Terengganu dari pemerintahan BN telah digerakkan secara serius sejak tahun 1986 (PRU-7) dengan membawa slogan “Tahun Tawan Terengganu” (TTT1). Diteruskan setelah itu projek TTT2 untuk tahun 1990 (PRU-8) dan TTT3 pada tahun 1995 (PRU-9).

Walaupun agenda ini tidak membuahkan hasil, namun kegigihan para pimpinan PAS pada waktu itu amat luar biasa. Akhirnya, pada tahun 1999 iaitu PRU-10, PAS Terengganu berjaya memperolehi mandat daripada rakyat untuk memerintah.

Sepanjang tempoh berkuasa, pimpinan kerajaan negeri terus berusaha untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. Paling utama adalah usaha teras perjuangan PAS untuk Islam dimartabat dan dilaksanakan. Urus tadbir telah berlangsung dengan cemerlang di sebalik kekangan berlaku di mana ia wajar diberi pujian.

Meskipun terdapat juga kelemahan yang berlaku, ia adalah lumrah dari pengalaman pertama pemerintahan. Apatah lagi ia turut disebabkan faktor pendapatan yang lazimnya diterima Kerajaan Terengganu dinafikan sepenuhnya. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyekat royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu dengan menggantikan wang ehsan yang dipolitikkan.

Rakyat Terengganu wajib mengenang perkara itu sebagai rampasan hak rakyat dan kepentingan negeri yang paling dahsyat dilakukan terhadap negeri ini. Meskipun demikian dan pelbagai kelicikan pihak musuh hadapkan kepada PAS, menyebabkan mandat rakyat tidak dapat PAS Terengganu pertahankan pada PRU-11. Hanya empat Dun sahaja dapat PAS pertahankan waktu itu.

Tidak dinafikan, perkara itu memberi kesan besar kepada PAS, namun kembali membuat lonjakan kebangkitan pada PRU-12 dengan mendapat kembali tambahan empat lagi kerusi. Tidak sekadar itu, momentum usaha gigih terus direncanakan antaranya pelancaran agenda ‘PAS Ganti Umno” (PGU) yang dianjur secara bersiri di seluruh parlimen dalam Terengganu.

Hasil diperolehi dari kerja keras ini meletakkan PAS Terengganu sebagai pembangkang terkuat dan hampir berjaya mengambil alih Kerajaan Negeri Terengganu pada PRU-13 lalu. Kini PAS Terengganu terus memanfaatkan kekuatan jentera di semua peringkat dengan azam yang tidak pernah luntur. Agenda baharu diluncurkan menerusi Himpunan Harapan Semua – PAS Ganti Umno (HARAP-PGU).

Sebanyak tujuh siri berjaya digerakkan di seluruh Terengganu untuk membina gelombang kebangkitan rakyat dan HARAP-PGU 3.7 yang berlangsung semalam adalah siri terakhir berjaya melabuhkan tirai dengan jayanya.

Perkara lebih menarik, tiga siri HARAP-PGU yang terakhir, PAS Terengganu dengan penuh keberanian dan berjiwa besar mengisytiharkan lima manifesto PAS Terengganu pada setiap siri HARAP-PGU. Tindakan ini membuktikan PAS Terengganu serius dan sangat bersedia untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Dalam strategi berpolitik dalam kalangan masyarakat Melayu, pengisytiharan awal manifesto dilihat akan merugikan sesebuah parti pembangkang. Kerana kononnya, ia akan dipintas lebih awal oleh pihak kerajaan dengan melaksanakannya sebelum pilihan raya. Atau tawaran tersebut akan diburukkan dengan pelbagai tohmahan.

Keberanian untuk menongkah arus satu perkara luar biasa ditunjukkan PAS Terengganu. Jikapun kerajaan negeri mengambil langkah melaksanakan lebih awal manifesto PAS, ia akan memberi gambaran betapa tawaran itu signifikan dan realistik.

Skeptikal bahawa PAS Terengganu akan ketinggalan sebab itu tidak berbangkit kerana rakyat pasti memahami bahawa ia bukti jiwa besar PAS mendepani semua perkara ini demi rakyat. Tawaran idea diumumkan, diceduk pula kerajaan memerintah itu pasti menjadi manfaat kepada rakyat.

Dalam erti kata lain, mereka melaksanakan bagi menyaingi tawaran dikemukakan PAS. Justeru, sikap diambil PAS Terengganu membuktikan kesediaannya mengambil alih kerajaan. Membuktikan juga bahawa kepimpinan PAS Terengganu mempunyai idea membangunkan kembali negeri ini.

Malah, dilihat bersedia mengharungi cabaran memerintah walaupun tanpa memperolehi pendapatan sebagaimana diperolehi kerajaan negeri dari Dana Khas (baca: Royalti). Di mana ia meliputi 80% pendapatan kerajaan negeri setiap tahun.

Sebagai antara kepimpinan anak muda Terengganu, sudut pandang ini diketengahkan setelah melihat 15 tawaran Manifesto PAS Terengganu untuk rakyat. Impian PAS Terengganu untuk melihat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera diharap menjadi kenyataan pada PRU14 nanti.

YB Haji Hishamuddin Abdul Karim
Timbalan Ketua DPPNT
30 Julai 2017 – HARAKAHDAILY 30/7/2017

- Advertisement -