Uzur dan penat, tapi Tok Guru hadir dengan bertongkat

- Advertisement -

KETIKA melihat iklan Ijtimak Perpaduan Ummah dan membaca tentatif program, saya terfikir barangkali Tok Guru tidak akan hadir. Baharu sahaja menjalani rawatan intensif. Perlu banyak rehat. Juga dengar khabarnya diminta berehat selama enam bulan.

- Advertisement -

Kalau kena kepada saya, mungkin boleh dibuat alasan paling logik untuk tidak menghadiri mesyuarat PAS kawasan atau negeri.

Saya fikir, Tok Guru boleh sahaja mewakilkan ucapan kepada orang lain. Gambar pada poster dan nama pada tentatif program untuk dibuat tarikan kepada pengunjung. Kalau ramai yang datang, Tok Guru tak datang pun, program akan berjalan.

Namun, ramalan itu meleset. Tok Guru muncul di khalayak umum, berapa kali saya tak pasti, tetapi yang pastinya perasmian Konferens Dakwah Dan Nadwah Ulama di Dewan Kelantan Trade Center (KTC) Tok Guru datang bertongkat. Bukan kerana sombong, tetapi agaknya menanggung tubuh yang sedikit tidak larat.

Saya teringat kisah Nabi Musa dalam al-Quran, apabila Allah bertanya Nabi Musa tentang tongkatnya, Nabi Musa menjawab: Itulah tongkat yang digunakan untuk menjaga kambing. Ketika berhadapan dengan Firaun, Allah perintahkan Nabi Musa campakkan tongkatnya sehingga menjadi ular yang menelan ular ahli sihir Firaun.

Pada saat yang sangat genting, ketika berada di tepi laut, menghadap laut di hadapan, tentera Firaun di belakang, pemuda yang bersama Nabi Musa bertanya: Di mana perintah Tuhanmu? Nabi Musa menjawab? Di hadapan. Pemuda itu meredah laut. Kembali ke darat. Bertanya lagi kepada Nabi Musa: Di mana perintah Tuhanmu? Soalan yang sama diulang, dan jawapan yang sama disebut: Di hadapan! Akhirnya Allah perintahkan Nabi Musa memukul tongkatnya ke laut. Tidak pernah terfikir dek akal, laut terbelah dengan kehendak Allah. Nabi Musa dan Bani Israel selamat di hujung darat di sana. Firaun bersama bala tenteranya tenggelam dalam laut.

Itu kisah Nabi Musa. Kisah kita pula ialah kita sedang berhadapan dengan kerajaan Umno/BN, juga berhadapan dengan pembangkang yang tidak kurang hebat menyerang PAS. Nabi Musa bergantung dengan Allah. Kita juga bergantung dengan Allah. Nabi Musa membawa Bani Israel keluar dari kezaliman Firaun. Kita juga mengajak rakyat supaya keluar dari kezaliman pemerintah zalim. Nabi Musa berdepan dengan ahli sihir Firaun. Kita berhadapan dengan 3M-money, machine, media di bawah kuasa kerajaan, dan kita juga berdepan dengan Dr M yang masih tidak serik untuk berpolitik.

Semangat Tok Guru tidak pudar. Istiqamah Tok Guru sentiasa segar. Kesungguhan Tok Guru jangan dicabar. Walaupun imej Tok Guru cuba dicalar, tetapi jiwa Tok Guru tidak gentar.

Moga Allah kurniakan kesihatan kepada Tok Guru agar dapat terus memimpin kami dan umat dalam situasi penuh mencabar. – HARAKAHDAILY 29/7/2017

Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulama PAS Terengganu

- Advertisement -