Berilah peluang kepada Islam

- Advertisement -

SELURUH agama dan ideologi menentang kemungkaran di semua peringkat dan lapangan, sama ada peringkat individu, keluarga, masyarakat sehinggalah alam sekitar, atau melibatkan sistem kehidupan, politik, ekonomi dan lain lain. Hanya segelintir manusia yang berfikir di luar tabie dan menganut fahaman seperti falsafah Mazdak atau Zoroaster di Zaman Parsi Purba atau golongan yang dikenali Hippie di zaman kini. Mereka menghalalkan semuanya di atas nama kebebasan tanpa batas dan menjadikan manusia yang berakal lebih bodoh dan lebih ganas daripada binatang. Mereka berpegang kepada konsep kebebasan yang salah sehingga terbabas melampaui batas atau konsep persamaan dalam semua perkara tanpa melihat adanya sudut fitrah dan kemampuan yang berbeza.

- Advertisement -

Manusia yang berkonsepkan fitrah ciptaan Allah dilantik berperanan di bumi dan menjadi pilihan Allah di kalangan makhluk-Nya. Walaupun mereka berbeza agama dan ideologinya, namun tetap menerima hakikat wajib adanya undang-undang yang dapat mengawal keharmonian individu, keluarga dan masyarakat yang kecil dan besar, sehingga peringkat antarabangsa diadakan undang-undang dan mahkamah. Bukan sahaja memelihara keselamatan manusia dan keharmoniannya, bahkan alam sekeliling, termasuk menjaga binatang dan alam sekitar yang luas.  

Ibnu Khaldun yang diiktiraf oleh semua dan menjadi Bapa Ilmu Ijtima’ (sosiologi), menegaskan bahawa manusia itu bukan sahaja bernalurikan fardiah (individualistik), bahkan mereka juga bersifat secara naluri bermasyarakat dan madani. Malangnya ramai kalangan ilmuwan barat mengambil pandangan Ibnu Khaldun secara tidak sempurna dengan meninggalkan aspek Islam yang dinyatakan, khususnya naluri spiritual yang tidak putus dengan rukun kehidupan manusia.

Ini ditegaskan oleh Islam mengikut huraian ilmu Maqasid Syariah, dinamakan menjaga maslahah yang berkait dengan perkara yang menjadi rukun keperluan manusia mengikut fitrahnya iaitu wajib menjaga agama (mengikut takrif Al-Din), nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Rangkaian rukun-rukun ini membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Ada maslahah yang ditetapkan oleh Allah secara fitrah seperti perkara wajib, halal dan haram. Ada juga yang ditetapkan oleh akal yang lemah, maka dibatalkan oleh Islam, seperti menyalahgunakan arak dan dadah untuk ketenangan, begitu juga menghalalkan judi kerana ekonomi dan pelancongan, kerana mudaratnya lebih besar.

Allah menciptakan manusia dengan jati diri yang lengkap, adanya jasad, akal dan roh yang bercirikan individu berpancaindera. Berbeza dengan makhluk yang lain, termasuk para malaikat yang paling taat kepada Allah, tetapi naluri para malaikat itu bersifat rohani tanpa jasad, tiada nafsu dan keperluan dan tidak layak menjadi khalifah di bumi. Berbeza pula dengan binatang, ada nafsu tanpa akal dan makhluk beku yang tidak bergerak sendiri.

Ternyata kita menghadapi gejala negatif yang berleluasa dalam masyarakat kini, bermula daripada masalah peribadi seperti keruntuhan moral, jenayah kecederaan, jenayah yang merosakkan akal seperti gejala dadah yang menjadi wabak masyarakat, wabak keganasan rumahtangga sehinggalah kesalahan pemerintah yang melakukan kemungkaran dan kezaliman, salah urus tadbir, rasuah dan lain-lain, ditambah pula dengan gejala melampau di peringkat negara-negara besar dan maju dengan kekayaan harta yang melimpah ruah dan pembangunan kebendaan yang pesat sehingga mahu mencakar langit dan meneroka angkasa lepas. Namun, semuanya gagal mengatasi masalah yang dialaminya.

Walaupun semua agama mengharamkan segala kemungkaran tersebut, tetapi agamanya tidak lengkap kerana berpisah daripada urusan duniawi, khususnya dalam urusan berpolitik. Selain itu juga, semua ideologi pemerintah dan pembangkang bersepakat menentang kemungkaran, tetapi tetap terpisah daripada agama dan bertuhankan kebendaan sahaja.

Semua negara menguatkuasakan undang-undang sendiri, termasuk Kerajaan Komunis di Korea Utara yang paling ganas menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pesalah kecil. Apa kurangnya undang-undang hukuman mati terhadap kesalahan dadah dikebanyakan negara termasuk Malaysia. Ada Negara Komunis yang menghukum mati terhadap pesalah rasuah dan lain-lain, hukuman yang sangat keras, tetapi gagal mengatasinya. Terdedah pula dengan undang-undang berkonsepkan sarang labah-labah yang hanya bertindak ke atas golongan yang kecil dan lemah sahaja, namun golongan yang berkuasa bebas mengatasi undang-undang dan penyangak besar bermaharajalela melakukan jenayah yang lebih parah dan besar kesannya kepada masyarakat dan negara.

Ternyata kelemahannya apabila didapati tidak memenuhi semua aspek naluri manusia, memisahkan di antara satu sama lain dan tidak seimbang di antara jasad, roh, akal, individu, keluarga, masyarakat dan hubungannya dengan Allah Tuhan Pencipta Alam dan makhluk lain yang diamanahkan kepada manusia supaya mengurusnya.

Allah memberi amaran:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم.

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Adapun Islam wajib dilihat dan difahami dari segi ajarannya secara menyeluruh, merangkumi keperluan fitrah dan naluri, wajib dilaksanakan sepenuhnya dengan sempurna dan tidak memisahkan di antara aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem urusan kehidupan). Islam pernah berjaya di zaman keemasannya beberapa abad, sehingga penjenayah bertaubat atau menyerah diri tanpa ditangkap. Bukan dilihat kepada penganut Islam hari ini yang sudah terpesong daripada Islam yang sebenar, akibat dipengaruhi fahaman sekularisma dalam politik dan ekonomi serta berbagai-bagai ideologi dan teori bukan Islam yang memisahkan agamanya dengan cara hidup, atau melaksanakan Islam yang tidak sebenar tanpa menyeluruh dan tanpa feqah (berilmu dan faham) terhadap seluruh ajaran Islam dan cara pelaksanaannya yang sempurna itu.
 
Perlu difahami juga perbezaan Islam dengan agama lain dan ideologi ciptaan manusia, apabila Rukun Iman atau aqidah adalah asas penting ajaran Islam dan pelaksanaannya yang tidak ada pada yang lain. Aspek ini bergantung rapat dengan hati sanubari dan akal manusia yang menggerakan jasadnya mengikut perhitungan dosa dan pahala yang berkait dengan kepercayaan kepada Allah dan Hari Pembalasan, adanya balasan selepas kematian dan di Hari Akhirat yang lebih mencabar daripada kehidupan dunia. Kalau terlepas di dunia kerana ada kuasa atau pandai menipu, namun tidak selamat selepas kematian dan dihukum dengan lebih keras di Hari Akhirat.

Apabila aspek tersebut tidak ada dalam agama dan ideologi lain atau teori ciptaan manusia, menyebabkan tiada perhitungan dosa dan pahala dan tiada  kepercayaan adanya balasan selepas kematian dan Hari Akhirat dalam urusan dunia yang tidak ada kaitan dengan ibadat yang menjadi urusan dengan Allah. Semua urusan dunia dianggap tiada kaitan dengan Allah.

Agama yang lain daripada Islam memisahkan urusan dunia dengan agamanya sehingga melemahkan aspek rohani dengan amalan jasad, hanya perhitungan dunia sahaja tanpa balasan di Hari Akhirat. Walaupun ada agama yang memberi penekanan dalam aspek rohani sehingga mahu meletakkan manusia seperti malaikat dengan mengharamkan kepada paderi atau saminya berkahwin, berpakaian lengkap dan makanan yang lazat. Namun gagal manghalang nafsu yang menjadi naluri manusia.

Islam menegaskan bahawa peranan manusia bukan sahaja menerima hukuman di dunia, bahkan ada lagi Mahkamah Allah di Hari Akhirat yang Maha Adil. Walaupun Allah Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Melihat, namun Mahkamah Allah di Hari Akhirat itu dibawa saksi daripada jasad diri sendiri dan para malaikat dengan catatannya yang termasuk dalam Rukun Iman. Hukumannya pula keras dan menyeksakan.

Firman Allah:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥يس .

“Pada Hari itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: 65)

Namun, Islam menggalakkan konsep taubat sebelum meninggal dunia atau pengampunan di luar mahkamah alam dunia. Kalau sudah dihukum di dunia akan dibebaskan daripada hukuman Akhirat. Allah meluaskan pintu taubat kepada orang yang beriman dan bertukar menjadi budiman. Pintu taubat itu dibuka seluas-luasnya sehingga hampir saat kematian apabila nyawa sampai di kerongkong dan matahari naik dari arah barat.

Rasulullah SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai ketika berlakunya peristiwa Fathu Makkah yang berjaya membebaskan Kota Makkah daripada kuasa jahiliyah, termasuklah kalangan yang disenaraikan penjenayah besar apabila mereka menyerah diri dan bertaubat. Keadaannya berbeza dengan kejayaan revolusi-revolusi di negara dunia moden sama ada Kapitalis, Sosialis dan Komunis. Kemenanganya memakan korban yang sangat besar dan menggerunkan, di mana hukumannya lebih berkonsepkan dendam, kerana tiada kawalan batasan dosa dan pahala dan menggalakkan taubat dan pengampunan berpahala seperti ajaran Islam.

Keadaan di negara kita Malaysia sudah ada asas untuk kembali kepada Islam seperti sebelum kedatangan penjajah yang merosakkannya, kerana kejayaan generasi awal pejuang kemerdekaan telah meletakkan Islam di dalam perlembagaan negara. Adapun konsep pentadbiran dan kehakiman warisan Inggeris pula lebih terpengaruh dengan Islam hasil pemikiran para Orientalis yang mengkaji Islam, tetapi dicacatkan kerana dibuang roh aqidah dan iman yang menjadi teras kepada syariat Islam. Mereka juga meninggalkan dalam perlembagaan kita fasal-fasal sampingan yang menghalang pelaksanaan Islam yang tidak menjadi dasar kepada perlembagaan negara. Kalau selepas kemerdekaan telah dilakukan beberapa pindaan yang tertentu kerana ada kepentingannya, juaranya pula sudah meninggalkan kerajaan.

Ketepikan golongan yang mewarisi penjajah itu yang sengaja diletakkan supaya menjadi penyakit dan penghalang kepada islah yang wajib diperjuangkan. Ketepikan juga mereka yang mempertahankan kegagalan sistem penjajah walaupun keadaannya semakin bertambah parah. Sesungguhnya kembali kepada kebenaran Islam adalah lebih baik daripada berterusan dalam kesalahan dan dosa.

Firman Allah:

۞وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ ١٣٣ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٣٤ وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ ١٣٦ أل عمران .

“Dan segeralah kamu kepada  keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang dapat menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (134) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya) (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali-Imran: 133-136)
 
“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Zulkaedah 1438H / 29 Julai 2017 –  HARAKAHDAILY 29/7/2017

- Advertisement -