Ternak ikan laut: Kadar LPS 40 sen berpatutan

- Advertisement -

KADAR bayaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi penternakan ikan laut dalam sangkar ditetapkan pada kadar sepuluh peratus berbanding nilai semasa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, ia ditetapkan pada kadar RM0.40 semeter persegi (SMP) setahun berbanding nilai RM4.00 SMP setahun oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Katanya, ia diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 27 April 2016 bagi penternakan ikan laut dalam sangkar di perairan di antara Pulau Ketam, Pulau Tengah dan Pulau Klang, lapor SelangorKini.

“Kerajaan negeri tidak pernah mengenakan bayaran termasuk bayaran LPS terhadap pengusaha penternakan ikan laut dalam sangkar di perairan Pulau Ketam walaupun pengusaha beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri.

“Kenaikan harga hasil ternakan ikan bukan disebabkan kadar bayaran LPS ditetapkan memandangkan pengusaha tidak pernah menjelaskan bayaran walaupun kelulusan LPS diberikan dan tempoh bayaran tamat,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Telok Datok, Loh Chee Heng berhubung caj abstraksi air bagi kegunaan akuakultur.

Zaidy berkata, kadar RM0.40 ditetapkan juga dilihat berpatutan jika dibandingkan kadar ditetapkan di negeri lain, termasuk Pulau Pinang dengan caj RM0.45 dan Perak RM0.60.

- Advertisement -