Sukan SEA 2017: Sebar mesej keamanan buat al-Aqsa

- Advertisement -

MASJID Al-Aqsa dan sekitarnya yang merupakan tapak suci milik umat Islam sedang berterusan menghadapi tekanan daripada Zionis yang membuka negara haram Yahudi di atas tanah milik Palestin.

- Advertisement -

Tindakan provokatif dan tidak menghormati perundangan antarabangsa ini sewajarnya mendapat respon daripada umat Islam di seluruh belahan dunia.

Mutakhir ini, Masjid Al-Aqsa ditutup dan disekat daripada dimasuki oleh orang-orang Islam untuk beribadah di dalamnya kononnya atas nama mencegah keganasan. Sedangkan tindakan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, bertentangan dengan nilai sejagat dan mencabuli hak kebebasan manusia. Akibatnya, nyawa umat Islam menjadi korbannya.

Masjid Al-Aqsa adalah tempat ibadah bagi umat Islam dan ia adalah hak asasi bagi umat Islam di seluruh dunia untuk menunaikan kewajipan di dalamnya. Justeru, mengapa perlu ada sekatan terhadapnya seperti yang berlaku hari ini?

Adalah amat mustahak untuk Malaysia mengangkat isu keamanan dan keselamatan Masjid Al-Aqsa dan Palestin ini ke peringkat rantau Asia Tenggara sesuai dengan kedudukannya yang dihormati dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Oleh demikian, saya mencadangkan agar Kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan, mengambil kesempatan daripada penganjuran Sukan SEA 2017 yang akan diadakan pada 19 hingga 30 Ogos akan datang untuk melebarluaskan mesej keamanan dan keselamatan buat Masjid Al-Aqsa dan Palestin.

Sukan yang melibatkan 11 buah negara dan lebih 20,000 sukarelawan ini adalah platfom terbaik untuk mencetuskan kesedaran dan tindakan di rantau Asia Tenggara bagi menangani isu ini yang telah telah berlanjutan buat sekian lama.

Sekiranya Inisiatif Hijau (Green Initiatives) yang digerakkan menerusi penganjuran sukan ini adalah bertujuan menyelamatkan alam sekitar, mesej keamanan dan keselamatan buat Masjid Al-Aqsa dan Palestin pula adalah demi menyelamatkan maruah dan nyawa manusia. – HARAKAHDAILY 25/6/2017

- Advertisement -