RUU Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017: Ucapan MP Rantau Panjang

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi mengucapkan syukur kepada Allah SWT dan tahniah kepada pihak kementerian kerana berjaya mengadakan pindaan terhadap akta yang cukup penting untuk kita memastikan terutama kebajikan kepada institusi keluarga. Satu institusi yang cukup penting dalam membina sebuah negara yang berjaya. Kita mengharapkan dengan pindaan akta ini supaya kita dapat menangani segala isu-isu yang berbangkit terutama yang melibatkan keganasan rumah tangga yang kita melihat statistiknya 74 peratus adalah melibatkan mangsa di kalangan kaum wanita dengan kita tidak menafikan 26 peratus mangsanya adalah di kalangan kaum lelaki.

- Advertisement -

ZAILAHIni bermakna akta ini bukan semata-mata untuk membela wanita malah membela kedua-dua tidak kira lelaki dan wanita dan kita mengharapkan kerjasama daripada seluruh masyarakat untuk memastikan pindaan yang kita buat ini, akta yang kita buat ini benar-benar dapat menjadi penyelesaian terhadap pelbagai isu terutamanya yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga.

Institusi perkahwinan adalah institusi yang cukup penting. Satu ikatan yang ikhlas, yang suci, yang diikat dengan ikatan perkahwinan semata-mata untuk mendapat kalau dalam Islam untuk mendapat redha Allah SWT. Seharusnya perkahwinan ini adalah satu yang boleh mencapai kebahagiaan antara dua insan dan bukannya meletakkan keganasan menjadi perkara yang menjadi isu dalam keluarga. Ini kerana isu ganas ini tidak sepatutnya berlaku pada insan. Sepatutnya isu ganas ini berlaku pada binatang ataupun makhluk yang bukan manusia. Akan tetapi hari ini apabila manusia tidak berpegang kepada agama, kita melihat bagaimana institusi ini begitu parah dan paling malang sekali mangsanya adalah di kalangan anak-anak. Ramai anak-anak yang terabai hasil daripada keganasan dan membawa kepada penceraian rumah tangga.

Angka 15,617 keluarga yang terlibat dengan keganasan dalam tempoh dua tahun daripada tahun 2014 sehingga 2016 adalah satu angka yang cukup besar. Maknanya purata kita melihat di sini 650 kes sebulan ataupun lebih daripada 21 kes sehari. Angka ini mungkin akan bertambah lagi dalam masa-masa yang akan datang. Jadi pindaan rang undang-undang ini cukup tepat dengan keadaan yang masih ada pada hari ini. Cuma saya ingin penjelasan di sini ialah sejauh mana kementerian melihat pindaan akta ini menjadi penyelesaian yang menyeluruh terhadap permasalahan yang ada. Ini kerana kita lihat banyak perkara yang tidak hanya selesai dengan undang-undang. Banyak perkara yang perlu selesai dengan melalui pendidikan, melalui ilmu kefahaman yang perlu kita terapkan terutama di kalangan pasangan atau keluarga yang terlibat.

Merujuk kepada akta yang telah dipinda, saya ingin penjelasan sejauh mana perkara ini, undang-undang yang telah digubal ini dapat memberi pembelaan terhadap terutama kepada kaum wanita khususnya. Saya bagi contoh sekiranya suami di penjara dan dikenakan hukuman sebagai mana yang disebut dalam undang-undang ini. Apabila suami ataupun isteri yang terlibat dengan kesalahan ini, mana-mana orang yang terlibat, mereka akan didenda tidak melebihi RM2,000 atau di penjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan ataupun mana-mana sengaja melanggar perintah, diberi denda sebanyak RM4,000 atau penjara ataupun selama tidak lebih daripada satu tahun. Ketiga, di penjara tidak lebih daripada dua tahun dan juga didenda tidak melebihi RM5,000. Ini pelanggaran terhadap perlindungan perintah. Jadi saya ingin tahu sejauh mana undang-undang yang kita tetapkan ini dapat betul-betul boleh memberi pengajaran kepada pesalah. Mungkin pesalah yang melakukan keganasan ini orang yang kaya, orang yang berharta. Bagi mereka denda RM2,000 dan RM5,000 ini tidak ada apa-apa. Jadi sudah tentulah tidak memberi kesan terhadap penyelesaian.

Jadi saya ingin tahu sejauh mana undang-undang ini dilihat dapat menyelesaikan segala masalah. Bagi yang melibatkan keluarga-keluarga miskin, adakah ada inisiatif daripada kerajaan untuk memberi elaun kepada mangsa-mangsa yang terlibat terutama isteri ataupun keluarga yang menjadi mangsa penderaan oleh suami yang ganas yang mereka tidak boleh mencari sara hidup sendiri. Jadi dalam keadaan apabila suami di penjara, ibu pula dalam keadaan mungkin cedera kerana keganasan, maka anak-anak terabai. Jadi dalam keadaan ini, apakah satu alternatif bagi keluarga ini untuk menyara kehidupan mereka dalam keadaan suasana keluarga yang dalam bermasalah seperti ini.

Saya ingin tahu juga sekiranya kes ini berulang, sekiranya keganasan ini berlaku berulang kali, jadi apakah tindakan yang akan dilakukan kepada pesalah? Apakah solusi terhadap permasalahan yang ada? Adakah akhirnya keluarga ini akan bercerai ataupun sebagainya.

Ini saya ingin jawapan daripada pihak kementerian. Saya ingin tahu juga apakah wanita boleh menuntut pampasan atau kerugian daripada pihak suami sekiranya disebabkan keganasan dilakukan menyebabkan kecacatan. Saya bagi contoh ada satu kes seorang wanita yang didera oleh suami sehingga membawa kepada maut. Satu kes yang cukup menyentuh hati. Ini akibat daripada suami yang mungkin terlibat dengan masalah mental, ada juga mungkin terlibat dengan dadah dan sebagainya. Dia baling isteri dia melalui tingkap, ini kes real sehingga patah tulang tengkuk dan perkara ini diketahui lebih daripada setengah hari makna lebih kurang enam jam selepas berlaku baru jiran dia sedar. Maknanya isteri dia pengsan terus. Jadi apabila perkara ini dibawa ke hospital dan setelah beberapa bulan di hospital dirawat, akhirnya isteri dia meninggal dunia yang menjadi mangsa adalah anak-anak.

Jadi amat malang sekiranya perkara ini berlaku. Sekiranya berlaku isu-isu yang seperti ini apakah pampasan ataupun ganti rugi ataupun apa yang patut oleh pihak isteri supaya maknanya keganasan yang dilakukan ini yang boleh membawa kecacatan kekal dan sebagainya. Jadi saya ingin penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Menteri dan sekiranya berlaku saya ingin tahu juga berlakunya unsur penipuan.

Dalam dunia akhir zaman ini bermacam-macam orang boleh buat. Ada yang mungkin curang dengan suami. Dia sengaja membuat kes-kes penipuan mengatakan dia didera dengan suami kerana dia hendak suaminya menceraikan dia, sedangkan suaminya tidak pukul dia mungkin dia boleh buat macam-macam supaya nampak bahawa ada kesan-kesan.

Jadi di sini dalam kes ini apakah selain daripada laporan yang dibuat oleh isteri, saksi-saksi apakah perlu untuk memastikan bahawa pengadu itu tidak melakukan penipuan apabila didakwa dia didera supaya tidak ada berlaku penipuan dan apakah suami juga akan dikenakan tindakan dengan cara lain untuk mengesahkan.

Kalaulah suami dia itu tidak bersalah, sekiranya dibawa ke mahkamah alhamdulillah perkara ini tidak dibuktikan bersalah tetapi sekiranya mungkin suaminya kerana pandai pujuk rayu, pandai dia buat helah menyebabkan suaminya ataupun pasangannya dijatuhkan hukuman, jadi apakah tindakan adakah prosedur dalam undang-undang ini untuk kes-kes yang saya sebutkan seperti ini.

Begitu juga saya ingin penjelasan berkaitan dengan pasangan kurang upaya, orang OKU yang mungkin berlaku juga keganasan di kalangan pasangan bisu. Pasangan bisu ataupun pasangan pekak ataupun pasangan yang cacat penglihatan. Jadi mungkin maknanya macam mana pembuktian yang membuktikan mereka ini hendak mengadu, hendak memberitahu, hendak membawa maklumat ini kepada pegawai kebajikan sebab mereka tidak boleh berbicara macam orang biasa. Jadi apa prosedur yang dibuat dalam undang-undang ini untuk memastikan golongan ataupun pasangan seperti ini juga mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Seterusnya saya ingin tahu tentang persediaan pegawai sebab kita tahu dalam menangani isu yang berkaitan dengan keganasan rumah tangga ini bukan mudah sebagaimana isu-isu yang lain sebab ia melibatkan sentimen kekeluargaan dan sudah tentulah pasangan yang mengalami ini akhirnya tidak mustahil akan membawa kepada perceraian selepas di penjara dan sebagainya. Mungkin suaminya sudah tawar hati atau isterinya dan sebagainya dan akhirnya berlaku perceraian jadinya mangsa kanak-kanak.

Jadi saya ingin tahu apakah prosedur latihan khusus diberi kepada pegawai kebajikan masyarakat ataupun pihak polis yang akan mengendalikan keganasan ini sebab kadang-kadang mereka memerlukan juga bimbingan, kaunseling dan sebagainya untuk memastikan supaya tidak berlaku lebih ganas lagi. Takut-takut selepas daripada itu dia akan ulang dengan keadaan dendam yang lebih teruk lagi.

Jadi perkara ini perlu kita beri perhatian yang serius. Kalau kita lihat dalam Islam mengajar kita dalam apabila berlaku pertembungan masalah kekeluargaan ini patutnya pihak ibu bapa sama ada pihak ibu bapa sendiri ataupun mertua seharusnya memainkan peranan.

Jadi di sini adakah pihak dalam akta ini mengambil perhatian terhadap peranan keluarga ataupun pihak ketiga dalam keluarga ataupun pihak ibu bapa kedua-dua pasangan ini untuk memastikan keluarga ini tidak terus menjadi mangsa keganasan.

Saya mengambil kesempatan ini juga terutama untuk kita sebagai ibu menasihatkan kepada anak-anak muda yang berkahwin supaya kita kena bina rumah tangga ini dengan rasa “mawaddah warahmah”, rasa kasih sayang kerana Allah. Itu sangat penting jangan jadikan kebiasaan menggunakan tangan ataupun penampar ataupun menggunakan aksi fizikal yang ganas untuk menyelesaikan apa-apa isu. Jadi dalam inilah perlunya pendidikan daripada rumah.

Jadi untuk penyelesaian terhadap semua ini rang undang-undang sangat penting, akta juga penting tetapi ia bukanlah penyelesaian terhadap segala-galanya. Ia perlu bermula daripada pendidikan agama dan saya mengharapkan insya-Allah kerajaan boleh menyusun program-program pendidikan rumah tangga ini lebih kerap tidak cukup hanya dua hari kursus untuk mendapat sijil sebelum berkahwin tetapi kita mengadakan program berkala.

Program keibubapaan, program untuk melahirkan kasih sayang sebagaimana kita buat di Kelantan, program hari suami isteri. Mungkin kita boleh buat di peringkat negara untuk melahirkan rasa mawaddah kasih sayang di antara suami dan isteri kita mungkin programkannya untuk merapatkan lagi ukhuwah dan kasih sayang, saling bertanggungjawab, suami ada peranannya, isteri ada peranannya, ibu bapa juga ada peranannya supaya kita dapat melahirkan keluarga yang mawaddah, keluarga yang sentiasa diberkati oleh Allah yang akan menjadi tempat berlindung anak-anak dan untuk membimbing generasi masa depan.

Ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff semasa membahaskan Rang Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 24 Julai 2017.

- Advertisement -