Jadikan resolusi nadwah ulama langkah permulaan

- Advertisement -

ANTARA pemerhatian yang sangat penting pasca Ijtima AntaraBangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia (IAPU) pada tahun ini ialah 10 resolusi yang telah diisytiharkan dalam persidangan Nadwah Ulama Antarabangsa. Pengisytiharan 10 Resolusi Nadwah Ulama Antarabangsa tersebut harus diberi penumpuan khusus oleh setiap yang telah menumpukan pemerhatian sepanjang berlangsungnya IPU.

- Advertisement -

Sebanyak 10 resolusi tersebut harus diberi satu lonjakan strategik agar ia tidak hanya menjadi resolusi yang hanya dilulus dan diisytihar di atas kertas. Apatah lagi ia punyai siknifikan tersendiri bilamana ia telah disepakati oleh gerakan Islam serantau tatkala umat Islam berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.

Tidak hanya ujian yang berbentuk fizikal yang memakan darah dan nyawa, lebih dari itu umat Islam ketika ini berhadapan dengan pelbagai mehnah dalam pembentukan nilai-nilai pemikiran.

Mampukah umat Islam bertahan dengan asakan pemikiran yang pelbagai hari ini yang mensasarkan umat Islam kian jauh dari Islam? 10 resolusi yang diluluskan punyai kekuatan tersendiri dan ia harus dicerna dengan penuh strategi agar kesannya mampu menjadi benteng buat umat Islam mempertahankan diri dan aqidah.

Secara umumnya saya suka memberi perhatian kepada beberapa aspek dari 10 resolusi tersebut. Ia mencakupi sudut pandang antarabangsa, kepelbagaian segmen dalam masyarakat, cabaran semasa umat Islam dalam memahami Islam dan peranan ulama dalam mencetus perubahan.

Kekuatan IAPU yang menghimpunkan gerakan Islam serantau harus menyediakan suatu alternatif kepada dunia bagi memastikan Islam dilihat sebagai penyelesaian kepada seluruh isu kehidupan. Kerangka dan struktur dunia hari ini perlu disesuaikan dengan syariat seberapa mampu yang dapat. Sekurang-kurangnya umat Islam mampu menampilkan suatu contoh untuk dilihat dan diikut.

Sebagai contoh, gerakan Islam sangat perlu memberi perhatian terhadap komitmen masyarakat antarabangsa dalam pelbagai perundangan yang turut mengikat negara-negara umat Islam. Antara yang sangat diberi perhatian termasuklah Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women atau disebut CEDAW, Convention on the Rights of the Child atau CRC, dan Convention On The Rights Of Person With Disabilities atau disebut CRPD.

Negara-negara umat Islam tidak hanya sekadar menuruti program dan ketentuan negara-negara yang berkuasa dengan membelakangi kepentingan Islam dan syariat. Gerakan Islam harus berpadu menerusi persetujuan mengadakan sekretariat khusus bagi mengenengahkan pandangan dan cadangan penyelesaian di dalam Islam.

Ia termasuklah dalam hal-hal yang berkaitan warga emas, wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya. Sangat diperlukan dewasa ini cadangan-cadangan penyelesaian yang bersifat konstruktif dan terserlah dalam pelbagai isu dan permasalahan masyarakat.

Begitu juga dalam menyantuni cabaran kumpulan-kumpulan rentan yang disebutkan di atas, sekretariat baru kelak dan gerakan Islam secara umumnya harus mampu menangani program-program antarabangsa yang telah dimulai dengan Millennium Development Goals’ MDGS yang berakhir 2015 lalu. MDGS pada waktu ini telah digantikan dengan Sustainable Development Goals SDG yang meliputi 17 sasaran yang saling berkaitan.

Kesatuan gerakan Islam seharusnya mampu menyantuni pelbagai segmen komuniti yang ada dalam masyarakat secara lebih dekat. Bebunga indah yang terdapat di dalam khazanah dan sumber syariat perlu dibajai hingga buahnya mampu dirasai oleh komuniti yang pelbagai.

Dalam pada itu, cabaran pemikiran yang melanda umat dewasa ini memerlukan pelarasan gerak kerja yang lebih berstrategik. Kepelbagaian gerakan Islam kadangkala hanya menumpukan segmen-segmen komuniti yang terhad dan terbatas.

Kepelbagaian kumpulan yang ada harus diselaraskan dan mampu disatukan agar penggembelingan tenaga dan sumber akan lebih cekap dan berkesan. Hal ini juga wajar menjadi perhatian sekretariat ummah kelak agar Islam terampil sebagai penyelesaian.

Dari situlah kita akan mampu menyerlahkan dan menzahirkan corak kehidupan dan penyelesaian isu secara lebih menepati syariat. Peranan para alim dan ulama dalam menyelongkar dan mengkaji sumber dan khazanah Islam perlu disusun atur agar tenaga yang ada tidak hanya berperanan di medan-medan yang terhad dan terbatas.

Islam itu harus dirasai oleh setiap jiwa insan. Kekuatan gabungan gerakan Islam yang telah dirintis sedapat mungkin perlu dijadikan satu gerakan strategik untuk menzahirkan syariat.

Bukanlah masanya lagi untuk kita menyatakan Islam ada itu dan ini sedang pelaksanaan penyelesaian permasalahan di tangan mereka yang lain. Kalau pun kita belum mampu menguasai seluruh keadaan, memadailah kita usahakan alternatif untuk ditawarkan. – HARAKAHDAILY 25/7/2017

- Advertisement -