Kit Siang tidak beriman walau dua ayat

- Advertisement -

ANTI Islam yang ditunjukkan DAP bukanlah lagi satu rahsia, iaitu penentangan itu kian kuat dan ketara tanpa mereka dapat selindungkan lagi kepura-puraan dilakukan. Malah, umat Islam di negara ini semakin mengenali sikap DAP lantaran angkuh dan berani campur tangan terhadap hal ehwal Islam, Melayu dan juga urusan Raja-raja secara biadab, kurang ajar dan menghina.

- Advertisement -

Malangnya, terdapat kalangan orang Islam terutama dalam Pakatan Harapan (PH) yang terlalu memihak, membela, bahkan menyanjung tinggi DAP. Mereka itu sama ada terpesona oleh retorik dan impian bak sarang labah-labah, atau mendakwa mahu menjadikan DAP sebagai sasaran dakwah, atau sebenarnya telah tertelan kenyang segala budi mewah dan enak disuap parti cauvinis itu.

Hinggakan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dahulu tersohor begitu kuat bermusuhan, kini dilihat sangat akrab, serasi dan saling memasyhurkan antara sesama sendiri. Terbaharu, Mahathir menyifatkan Kit Siang sebagai pendakwah terbaik dan tidak lagi perlu didakwahkan.

Pujian tersebut berikutan dua ayat surah al-Baqarah yang dipetik Ahli Parlimen Gelang Patah itu terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali. Kit Siang menjadikan ayat 42 dan 60 dari surah tersebut sebagai tempelakan terhadap Apandi yang sebelum itu menjawab kritikan Mahathir berhubung keberaniannya bertindak ke atas isu 1MDB.

Hanya Senjata Politik

Hakikatnya, pendekatan Kit Siang itu hanyalah mainan bibir beliau semata-mata yang sekadar menjadikan ayat al-Quran sebagai hiasan, rencah atau alat untuk mengatasi lawannya secara hawa nafsu. Sedangkan selama ini beliau dan partinya menunjukkan permusuhan yang padu terhadap agenda al-Quran.

Misalnya yang terdekat, apabila Kit Siang menyerang secara bertali arus dan bertubi-tubi kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, juga dalam isu 1MDB. Sedangkan Tuan Guru mengemukakan surat terbuka berupa ingatan agar tidak mengundang campur tangan asing.

Seterusnya disusuli oleh tulisannya menegaskan pendirian PAS bertajuk “Awas! Buta al-Quran”, diikuti artikel berjudul “Selesaikan 1MDB Dengan al-Quran Memandu Perubahan” yang sarat dengan petikan ayat al-Quran berserta huraiannya. Namun, Kit Siang bukan sahaja memahami surat terbuka itu secara salah, tetapi juga paling pantas membentak artikel tulisan tokoh ulama itu.

Beliau secara sinikal mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak kerana berjaya memujuk Presiden PAS untuk menjadi ketua pembelanya dalam isu skandal 1MDB. Malah, artikel berdalil naqli itu dibidas dengan dakwaan Tuan Guru mahu mempertahan dan mewajarkan semua penyalahgunaan serta rasuah kuasa kerajaan Najib.

Penasihat DAP itu bukan sahaja telah mengambil kesempatan membuat tuduhan dan persepsi jahat kepada Presiden PAS, tetapi juga menunjukkan sokongan pembelaannya kepada Tun Mahathir yang terkait dalam tulisan tersebut. Kit Siang juga berterusan memutar belit seruan dan penjelasan mengenai ‘campur tangan asing’.

Emosi meluap-luap Kit Siang kian ketara apabila dalam beberapa hari selepas itu kembali menghamburkan pertikaian kepada Tuan Guru Abdul Hadi. Beliau mempersoal pendirian Presiden PAS itu terhadap tawaran Amerika Syarikat untuk mengembalikan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Bila Al-Quran Ditentang

Begitu radikal sekali Kit Siang menghadap serangannya terhadap Tuan Guru, walhal dia juga mengecam ulama itu bersikap tidak adil dalam mentafsir isu tersebut. Tetapi di mana adil dan demokratiknya Kit Siang dalam melihat hujah diutarakan Presiden PAS? Bahkan diperlakukannya secara melulu dan membabi buta.

Usah kata Kit Siang mahu merujuk dalil-dalil dikemukakan itu pada mereka yang bertauliah atau membahasnya secara aqli, bahkan langsung tidak menghormati pedoman tertinggi umat Islam itu. Di mana salah Tuan Guru Abdul Hadi untuk berpegang, merujuk dan mengikat pendirian serta keimanannya kepada petunjuk dari tuhannya itu?

Malah, perjuangan PAS selama ini untuk mengadaptasi seluruh kandungan al-Quran itu dalam pemerintahan, telah mendapat penentangan hebat dari DAP. Itu termasuk cuba menghalang dan menggagalkan usaha-usaha berkaitan pelaksanaan kanun syariah yang merupakan perundangan dari al-Quran.

Hingga setiap urusan berhubung kepentingan Islam, DAP turut campur tangan antaranya menjadi dalang belakang tabir kepada kumpulan penentang Islam yang memutar belitkan isi kandungan al-Quran. Hatta Kelantan yang telah lama mempraktikkan pentadbiran Islam juga mahu ‘dirampas’ melalui khadam proksi.

Sibuknya beliau terhadap Tuan Guru, tetapi tidak pula dilihat dirinya yang jelas berdiam, memendam dan menyembunyikan kemarahan popularnya terhadap penyelewengan Mahathir dalam skandal mata wang asing USD10bilion. Skandal tahun 1992 itu diikrar lagi Kit Siang pada tahun 2012 untuk dibuka penyiasatan.

Bahkan, segala rantaian isu kewangan di zaman Mahathir antaranya skandal Bumiputra Malaysia (BMF), Perwaja Steel, Tabung Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Petronas, Skyhawk, Maika Holdings, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan lainnya, langsung tidak pernah disebut Kit Siang.

Mendustai Kalam Allah

Terlalu banyak untuk dinyatakan mengenai trauma dan fobia cuba dimomokkan DAP terhadap hal ehwal Islam yang dizahirkan melalui panduan al-Quran. Tetapi paling ketara adalah golongan tertipu yang mudah kagum melihat sepatah dua ayat al-Quran menjadi titipan bibir kaum kufar.

Lebih malang, didokong oleh individu tertentu atas jawatan ‘Penasihat Syariah’ dan sewaktunya secara komparatif luar konteks dan tidak menjejak permasalahan dibicarakan. Paling mengharukan, mereka sebenarnya membiarkan kalam Allah diperolok oleh lakonan golongan sesat yang sombong kepada Allah.

Jika mereka jujur dengan keimanan kepada Allah, cukup dengan mengambil dua ayat dipetik Kit Siang tersebut untuk dilihat hakikat penyataan Allah itu terhadap tindak tanduk DAP. Jika tidak mampu mengungkapkan kebenaran, ada baiknya diam sahaja dari ghairah memuji kerana mengampu bodek si ‘Tuan Besar’.

Juga jika tidak diucapan kalian, cukuplah dihati mengakui bahawa ulama dengan takwa pada dirinya telah mengagung dan mengambil al-Quran sebagai petunjuk yang memandu kebijaksanaan hidup, hingga merasa kebesaran dan keimanan kepada Allah, lalu mereka berlari menuju wawasan Hari Akhirat bersama segala janji-Nya.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan para utusan Kami dengan keterangan-keterangan yang jelas dan Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca agar umat manusia menegakkan keadilan.” (al-Hadid: 25) – HARAKAHDAILY 24/7/2017

- Advertisement -