KITA berada dalam majlis yang disifatkan dalam hadis sebagai taman syurga, juga ada malaikat yang khusus mencari majlis ilmu.
Saya ingin sebutkan apa yang saya rasakan dalam hati dan yang dapat saya perhatikan iaitu orang Melayu yang baik, terutama ketika musim haji di mana orang Melayu sangat penyantun.
Jari-jemari kita ini tidak sama, ada pendek dan panjang. Justeru, orang Melayu Islam juga ada kelebihan tersendiri.
Orang lain melihat kamu sebagai orang yang baik. Kalau ini yang disangkakan oleh orang lain, maka kita berusaha untuk lebih membaiki sifat ini.
Kami menyaksikan bahawa kami juga mengasihi kamu. Ini berdasarkan hadis yang disebut oleh Nabi berkenaan mereka yang mendapat perlindungan di bawah naungan Allah iaitu salah satunya ialah dua orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah.
Dorongan yang menyebabkan kami lebih mengasihi kamu ialah walaupun tidak sama dari segi warna kulit, bahasa, jarak yang jauh dari segi geografinya, tetapi Islam mempertautkan kita.
Tidakkah tuan-tuan terasa bagaimana Islam ini yang bermula dengan dakwah di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam, sahabat yang merasai takut dan apabila mengucap dua kalimah syahadah, bukanlah satu perkara mudah hingga akhirnya Islam ini masuk ke semua rumah yang ada di timur dan barat sebagaimana yang disebut oleh Nabi.
Dalam Nadwah ini dibincang mengenai kesatuan umat Islam dan kefahaman.
Musuh Islam fokus kepada kelemahan kita. Lihat dua orang anak Adam, Habil dan Qabil, berapa ramai orang yang ada pada masa itu? Tetapi syaitan mewas-waskan antara mereka berdua hingga salah seorang adik beradik itu membunuh saudaranya sendiri.
Maka begitu juga dalam masyarakat yang lebih luas. Permusuhan diwas-waskan oleh syaitan.
Begitu juga kita membaca dalam Al-Qur’an, surah Yusof menggambarkan adik beradik Nabi Yusof benci kepada Yusof dan Bunyamin atas dasar perasaan semata-mata yang diwas-waskan oleh syaitan.
Bila turun surah Yusof? Yahudi bertanya kepada Nabi berkait dengan Bani Israel.
Allah terang bahawa syaitan sentiasa mewas-waskan dalam hati, namun Yusof tidak pernah putus asa dari rahmat Allah.
Penawar kepada Nabi SAW ialah bahawa mereka juga akan dapat kemenangan dan pertolongan Allah seperti Allah telah membantu Nabi Yusof.
Awal abad ini, Perjanjian Sykes-picot ditandatangani. Siapakah di belakang perjanjian ini? Bagaimana keadaan umat Islam ketika itu?
Islam berkembang dari zaman Nabi sehingga zaman Uthmaniyah. Uthmaniyah bermakna timur dan barat dunia di bawah kekuasaan Islam.
Perjanjian ini bermaksud membahagikan tanah umat Islam seperti membahagi pesaka.
Selepas 100 tahun, semenjak dari tahun 1917, kita sekarang pada tahun 2017, kita melihat ada perjanjian lain seolah-olah Sykes-picot baharu. Sejak lebih suku abad, musuh berusaha memecah-mecahkan umat Islam.
Kita melihat peta baharu dunia Arab. Negara baharu muncul, seperti Iraq yang mahu dijadikan tiga buah – mewakili Sunnah, Syiah dan Kurdi. Begitu juga Pakistan yang cuba dipecahkan Baluchistan darinya, demikian juga negara-negara lain. Ini bukan rekaan, tapi perkara yang boleh dilihat terang-terang.
Adakah mereka yang melakar peta ini gila? Syria dibahagi enam, Libya dibahagi lima dan begitulah seterusnya. Macam mana ini boleh berlaku? Penduduk Iraq dibunuh 1.5 juta orang. Setiausaha PBB yang baharu berkata kita mahu tanya adakah orang Kurdi mahu Kurdistan sebagai negara sendiri?
Kita baca Perang Salib atau pelbagai perang, kita dengar ramai yang dibunuh. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Kita rasa pelik. Tapi itulah yang pernah berlaku dalam sejarah.
Dalam dunia moden yang hebat teknologi maklumat, perang Syria telah memakan korban 600,000 nyawa.
Di zaman Nabi, pemuda Aus dan Khazraj pernah bergaduh. Nabi berucap supaya tidak berlaku perang. Bagaimana ia boleh berlaku sedangkan aku masih berada di kalangan kamu?
Musuh ambil peluang dari kelemahan kita. Kita ada masalah dari segi perkauman, mazhab dan lain-lain.
Isu ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Mungkin ia akan terus parah. Justeru, apa kewajiban kita? Kita mesti yakin dengan bahawa Allah bangkitkan Nabi, Allah akan menzahirkan agamaNya.
Dalam al-Quran, diceritakan Nabi Yusuf sebut supaya orang yang dijangka selamat dari penjara jangan lupa sebut nama Nabi Yusof kepada pembesar, tetapi apabila lelaki itu keluar dari penjara, dia lupakan Nabi Yusof.
Nabi Yusof tinggal beberapa lama dalam penjara. Dalam dunia kini, puluhan ribu pejuang Islam dalam penjara di Mesir, ramai yang dizalimi dalam penjara di negara haram Israel beberapa lama, di Bangladesh juga demikian.
Mereka bertahun-tahun dalam penjara, tetapi tetap yakin dengan janji Allah. Kita membaharui keyakinan itu kalau kita mahu masa depan kita lebih baik. Perbaharui dengan iman yang sungguh kepada janji Allah.
Kita juga mesti hidup sebagai umat, bukan secara peribadi dan keseorangan. Azan sama di mana-mana. Allah mahu kita hidup bersama-sama. Kita diajar solat berjemaah. Kenapa solat berjemaah lebih berpahala dari solat seorang? Hari Jumaat ada solat Jumaat. Umat Islam wajib berpuasa dalam Ramadhan, walaupun berbeza masa dari satu tempat ke satu tempat.
Semua amal ini ada faedah jemaah, tidak membezakan, dalam satu saf, umat yang satu.
Moga Allah tuliskan kita yang ada dalam majlis ini dalam kalangan yang berfikir tentang umat.
Sebelum undur diri saya pohon saudara sentiasa berdoa untuk saudara-saudara Islam kita, saudara kita di Syria, Gaza, Kashmir, Arakan dan lain-lain. Doa itu senjata orang mukmin, doa itu otak ibadah.
Doa Ashabul Kahfi minta beri petunjuk, apa yang ditakdirkan selepas itu ialah generasi berubah tapi mereka (Ashabul Kahfi) kekal dalam gua dan terus hidup selepas itu. (http://ijtimak.asia/)
Petikan ucapan Penolong Setiausaha Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr Ghaffar Abdul Aziz pada Persidangan Dakwah Rantau Asia 2017 sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Kota Bharu, Kelantan.
Catatan: Ustaz Nik Muhammad Nasri