Jadikan IAPU 2017 pemangkin pengupayaan OKU serantau

- Advertisement -

BERBUNGA hati saya apabila melayari media maya sebaik tirai Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (IAPU) yang berlangsung di Kota Bharu ketika ini dibuka. Terima kasih saya panjatkan kepada penganjur Ijtimak yang telah mengenengahkan anakanda sahabat saya Sarimi Yusoff sebagai qari dalam majlis perasmian IAPU.

- Advertisement -

Peluang memperdengarkan bacaan al-Quran yang diberikan kepada Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dalam pembukaan IAPU kali ini suatu yang sangat mengujakan khalayak. Demikian hati saya melonjak syukur apabila menelusuri titipan para teman di media-media maya.

Pelbagai rakaman kata-kata syukur dan kagum diluahkan mereka yang mengikuti majlis tersebut. Nah, itulah hikmah kecacatan yang dikurniakan Allah SWT sang pencipta bagi difahami oleh sekalian hamba-Nya.

Allah SWT yang maha adil sememangnya telah bekalkan setiap anak OKU itu dengan keupayaan dan potensi yang tersendiri. Sebutlah apa sahaja kecacatan atau ketidakupayaan yang dialami, sudah tentu pasti ada kurniaan Allah SWT pada setiap individu OKU tersebut.

Hal ini jugalah yang seharusnya diinsafi dan difikirkan untuk direnungi oleh setiap para pendokong gerakan Islam. Al-Quran dan Sunnah sangat lengkap membentangkan prinsip-prinsip asas bagi manusia mendepani cabaran apabila ditakdirkan manusia itu cacat atau kurang upaya.

Jika dunia barat dan negara maju hari ini begitu dikagumi dalam menyantuni golongan kurang upaya, ia hanyalah sebahagian jelmaan daripada apa yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan mereka yang terdahulu. Kegemilangan Islam pada masa lampau telah menyaksikan bagaimana golongan kurang upaya dibangunkan sesuai dengan potensi dan keupayaan diri yang dijadikan Ilahi.

Jika dunia hari ini memperkatakan tentang melahirkan masyarakat inklusif, al-Quran telah sejak 1400 tahun yang lampau mengengahkan dan memperkenalkan nilai anti pengasingan dalam masyarakat. Inklusifnya masyarakat bertamadun telah digalurkan  secara nyata di dalam al-Quran termasuklah penekanan tiadanya diskriminasi terhadap golongan kurang upaya.

Begitu pula apabila dunia hari ini memberi penekanan kepada pengukuhan sistem sokongan sebagaimana tumpuan Sustainable Development Goals (SDG) oleh badan antarabangsa hari ini, sahabat-sahabat baginda Rasulullah SAW  sejak awal lagi memberi contoh bagaimana perlu diadakan sistem sokongan kepada golongan kurang upaya dalam masyarakat.

Samalah halnya apabila masyarakat sivil hari ini memperkatakan penyertaan penuh oleh golongan kurang upaya dalam proses membuat keputusan dan politik, Islam telah sejak dari awal menampilkan contoh terbaik dalam pemerintahan kerajaan Islam Madinah sewaktu hayatnya baginda Nabi Allah SAW.

Justeru, apabila dunia hari ini membicarakan peri bagaimana golongan kurang upaya itu seharusnya disantuni dan dibangunkan, gerakan-gerakan Islam sewajarnya telah lebih bersedia mengemukakan model-model yang sedia ada di dalam khazanah Islam. Di kala cabaran semasa menjadikan para pengkaji berhempas pulas menggali pelbagai teori, gerakan Islam sewajarnya telah terkehadapan dengan kesiapsagaan menterjemahkan isi kandungan al-Quran dan as-Sunnah.

Begitulah harapan saya buat seluruh masyarakat, terjemahkanlah kekaguman kita kepada keupayaan golongan kurang upaya dengan mendokong usaha-usaha pengupayaan orang kurang upaya secara yang lebih menyeluruh. Janganlah dibiarkan golongan kurang upaya pada kekaguman yang tiada titik noktah bagi mendepani cabaran kehidupan yang perlu ditempuh.

Golongan kurang upaya sangat memerlukan ruang dan peluang daripada seluruh masyarakat bagi memastikan potensi dan keupayaan diri diserlahkan. Begitu pula masyarakat sangat berperanan bagi membawa golongan kurang upaya dalam arus kehidupan yang lebih terbuka.

Moga catatan ringkas ketika penghujung IAPU ini mampu memberi sedikit rangsangan buat pendokong Islam bagi menzahirkan betapa Islam itu suatu kerahmatan kehidupan untuk setiap insan termasuklah bagi golongan kurang upaya. – HARAKAHDAILY 22/7/2017

- Advertisement -