Penyakit tiga serangkai paling berbahaya

- Advertisement -

DEMIKIAN bila Allah berfirman dalam AlQuranul Karim yang bermaksud:

- Advertisement -

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [Al-Baqarah 120]

Pembukaan ucapan Ibu Irene Hardono dalam forum yang berlangsung di Kota Bharu pada 20 Julai 2017 (semalam) sempena Ijtimak Perpaduan Ummah Rantau Asia Tenggara yang dimulakan dengan potongan ayat di atas bukanlah baru.

Namun begitu pula seringkali ingatan ayat ini dilontarkan kepada ummat Islam, setiap kali itu jugalah kelihatan setiap dari kita terus terleka dari ingatan yang difirmakankan Allah SWT tersebut. Kadangkala kelihatan sangat sukar untuk umat Islam memahami dan mengambil iktibar daripadanya.

Kalimah asal “Millah: yang disebutkan dalam ayat terrsebut bukanlah sekadar agama atau dogma yang biasa difahami. Millah dalam ayat ini membawa tiga serangkai iaitu budaya, agama itu sendiri dan pola pemikiran. Buat kesekian kalinya Ibu Irene mengulangi rakan tiga serangkai yang kadangkala bagai terlepas pandang oleh umat Islam.

Setinggi syukur kita panjatkan ke hadrat Ilahi apabila pandangan ini disampaikan oleh Ibu Irene yang merupakan seorang bekas paderi Kristian. Sudah barang pasti beliau sangat memahami helah muslihat golongan nasrani dan yahudi yang dinyatakan dalam al-Baqarah ayat 120 di atas.

Golongan ini dalam kerangka memusnahkan ummat Islam, memadailah mereka berusaha menjauhkan umat Islam dari Islam itu sendiri. Serangan diatur secara licik untuk agenda ini disempurnakan melalui budaya, agama dan corak pemikiran yang pelbagai.

Lihat saja di sekeliling kita apabila agenda ini kian menampakkan kejayaannya. Telah ada golongan di negara ini mempertikaikan pelbagai hukum hakam Islam menurut penilaian nafsu sendiri. Mereka bukanlah dari golongan nasrani atau yahudi, bahkan mereka adalah golongan yang mengaku keislaman diri sendiri.

Telah ada golongan wanita secara bangga menghebahkan kepada dunia terbuka betapa dia boleh saja menjadi imam solat kepada suaminya. Telah ada golongan berpandangan apa perlunya kita mengambil tugas Tuhan untuk menghukum mereka yang berdosa sedangkan perbuatan individu itu adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia sejagat.

Para pembaca budiman, ini adalah sebahagian kecil kesan kejayaan agenda tiga serangkai. Pemikiran liberalisasi yang memberi penilaian hukum hakam menurut akal kian galak di tengah-tengah masyarakat. Sekali lagi ibu Irene memahamkan kita betapa liberalisasi yang merupakan penjajahan pemikiran hari ini adalah pepohon yang tumbuh dari agenda tiga serangkai.

Pertikaian sesama umat Islam yang ada hari ini sangat menjadikan kita hilang fokus dalam mendepani cabaran sebenar. Pada saat gerakan liberalisasi menerjah ke setiap jiwa di tanah air, kita masih leka memperdebat pertikaian cabang-cabang dalam agama yang sebenarnya telah lama selesai.

Begitu pula setiap kali agenda tiga serangkai menjadi tatapan setiap rakyat melalui telefon pintar di tangan, kita terus alpa dengan kelicikan rakan-rakan sekeliling yang bila-bila masa saja akan memamah lumat kesucian Islam apabila tiba masanya.

Kita terbuai dengan omokan perjuangan dan kebersamaan demi kesejahteraan dan keadilan yang takrifannya seolah-olah membelakangi panduan yang telah ditetapkan dalam syariat.

Serangan tiga serangkai ini jugalah hari ini yang menjadikan sebahagian umat Islam malu-malu untuk menyebut iman dan taqwa dalam mempelopori agenda perubahan yang ingin diperjuangkan. Umat Islam menjadi begitu bergantung kepada rakan-rakan sekeliling yang menjadikan kepalsuan perjuangan sebagai wajah-wajah mengaburi pandangan kita.

Mahu tidak mahu setiap umat Islam perlu tekad menentukan sikap. Quran dan sunnah telah ada di tangan kita sebagai panduan. Kita masih punyai ulama yang sedia membimbing kita ke jalan yang diredhai Allah SWT dan dicintai baginda Rasul Allah SAW. Belajarlah untuk meghapuskan sikap angkuh dan penyakit hati yang hanya akan menghanyutkan kita di dalam arus deras tiga serangkai yang sebenarnya telah sedia kita ketahui. – HARAKAHDAILY 21/7/2017

- Advertisement -