Pendidikan agama: Exco Selangor jawab MB Johor

- Advertisement -

KERAJAAN negeri menyangkal dakwaan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kononnya pentadbiran Selangor gagal melaksanakan agenda pembangunan pendidikan agama secara konsisten.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Islam, Adat Melayu dan Pembangunan Desa negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, komitmen itu dilaksanakan merangkumi aspek pembangunan madrasah intergrasi tahfiz dan maahad tahfiz seluruh negeri.
 
Katanya, tumpuan itu turut membabitkan keperluan penambahbaikan sistem pendidikan aliran agama dan kenaikan tangga gaji guru sekolah agama di Selangor.

“Ini dibuktikan menerusi penambahan jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2017 lalu termasuk peningkatan elaun sehingga RM1,500 kepada guru agama di sekolah intergrasi negeri.

“Kenaikan itu membabitkan peruntukan mencecah RM20 juta bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka,” katanya dipetik SelangorKini.

Khaled sebelum ini dilaporkan mendakwa kononnya hanya Johor negeri yang giat melaksanakan agenda pendidikan menerusi pembangunan sekolah agama membabitkan warganya.

Bagaimanapun, Ahmad Yunus berkata, agenda pembangunan pendidikan agama negeri giat dilaksanakan secara komprehensif di Selangor melangkaui peranan peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Dakwaan Menteri Besar Johor itu tidak benar. Kita di Selangor mempunyai beratus sekolah agama bagi Kelas Al-Quran Fardhu Ain (KAFA), Sekolah Rendah Intergrasi di 11 buah daerah dan empat Maahad Tahfiz Intergrasi Negeri.

“Selain itu, sebuah lagi Mahad Tahfiz di Pandan sedang dalam proses pembinaan dan ia membuktikan komitmen kami memberdayakan aspek pembangunan pendidikan agama di Selangor.

“Pada masa sama untuk pelan jangka panjang, kerajaan negeri turut mensasarkan membina lebih banyak lagi maahad tahfiz di semua daerah seluruh Selangor selepas ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2017 mengumumkan peruntukan RM13 juta bagi pembaikan infrastruktur pendidikan aliran agama membabitkan sekolah agama rakyat (SAR).

- Advertisement -