Anak muda demo bantah sekatan Masjid Aqsa

- Advertisement -

LEBIH 300 anak muda dan NGO mengadakan perhimpunan aman membantah penutupan masjid al-Aqsa oleh regim Yahudi minggu lalu.

- Advertisement -

Demostrasi diadakan selepas solat Jumaat di Dataran Muhammadi berhampiran Masjid Muhammadi.

Pelbagai badan bukan kerajaan turut hadir termasuk pimpinan PAS, wakil dari Thailand dan Indonesia berucap mengecam tindakan berkenaan.

Wakil dari Thailand, Muhammad Ali dan wakil dari Indonesia, Iman Budiman hadir bagi menyatakan sokongan.

Walaupun cuaca panas ia tidak menjejaskan pengunjung untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan membebaskan masjid Aqsa.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad meminta semua pihak memberi sokongan kepada umat Islam di Palestin.

“Yang penting ialah kita berdoa, memberi sokongan moral serta menderma kerana inilah perjuangan yang ada pada kita,” katanya.

Katanya Islam tidak mengajar penganutnya agar bertindak ganas kepada orang bukan Islam hatta dalam peperangan sekali pun.

Jelas beliau lagi, kepungan terhadap rumah ibadat orang bukan Islam tidak boleh dilakukan bahkan penghuninya diberi jaminan keselamatan.

“Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk melakukan perbuatan ganas sebagaimana digambarkan media asing,” katanya.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyeru agar orang Islam bangkit menentang kezaliman.

Beliau melaungkan, hancur yahudi, hidup Islam dan juga melaungkan hancur khadam DAP. – HARAKAHDAILY 21/7/2017

- Advertisement -