Peluang kerja daripada sumber halal dan bersih

- Advertisement -

SEKIRANYA diberi mandat untuk memerintah, PAS Terengganu yakin bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan, bahkan yang lebih penting, ianya dijana daripada bidang-bidang ekonomi yang halal dan bersih.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri, Dr Alias Razak berkata, ia bertepatan dengan tema manifesto PAS yang mahu menjadikan Terengganu negeri Berkat, Maju dan Sejahtera.

“Semua orang sudah arif dan maklum bahawa Terengganu ini antara negeri yang masih mundur dalam negara kita dengan kedudukkannya baik sikit daripada Sabah dan Sarawak.

“Kita dikategorikan negeri yang masih ketinggalan dari sudut pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelbagai lagi walaupun Terengganu dianugerahkan sumber yang begitu banyak, antaranya sumber petroleum,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tawaran Manifesto Awal PRU14 PAS Terengganu, ‘Mewujudkan 20,000 Peluang Pekerjaan Dalam Masa 4 tahun’ di Studio Harap TV, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, walaupun pelbagai usaha boleh dibuat untuk meningkatkan peluang kerja, tetapi ia mesti bertepatan dengan pegangan PAS yang berpanduan Al-Quran, As Sunnah, ijmak ulama serta qias.

“Maka kita juga kena ambil kira perkara dosa dan pahala. Tak boleh tiru orang sehingga kita dah melampaui dan melebihi had yang ditetapkan agama Islam.

“Dan yang penting juga memastikan ianya memberi kesejahteraan bukan kaya melampau tapi tidak ada kesejahteraan dalam hidup. Kita mahu mereka hidup dalam sejahtera,” jelasnya yang juga Adun Bukit Tunggal.

- Advertisement -