Selangor akan halang Pusat daripada halau penduduk

- Advertisement -

KERAJAAN Negeri Selangor akan menghalang sebarang tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menghalau penduduk PPR Lembah Subang 1 yang enggan mendaftar dengan mereka.

- Advertisement -

Penduduk telah membuat aduan kepada saya bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memberi tempoh sehingga 22 Julai ini bagi penyewa di PPR itu untuk mendaftar atau unit mereka akan diisytiharkan kosong dan akan disewakan kepada orang lain.

Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Mohd Azmin Ali pada 13 Julai lepas telah memutuskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan terus menguruskan PPR tersebut.

Mesyuarat juga menetapkan Kerajaan Negeri akan tetap dengan tuntutan RM60 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk segala kos penyelenggaraan dan baikpulih sepanjang PPR itu diuruskan oleh MBPJ sejak 2001.

Selagi tiada penyerahan secara rasmi dari Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk menghalau sesiapa.

Kerja-kerja yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di PPR itu juga tidak mendapat kebenaran MBPJ dan Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian akibat kerja-kerja tersebut.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk menghalang sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan mengusir penduduk.

Ugutan Kementerian adalah selari dengan amalan Kerajaan Barisan Nasional yang menghalau rakyat dari tempat tinggal mereka sepertimana polisi “Setinggan Sifar” ketika mereka menguasai negeri Selangor sebelum ini.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
14 Julai 2017 – HARAKAHDAILY 14/7/2017

- Advertisement -