Sebat pesalah di tempat diwarta

- Advertisement -

BIARPUN pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) menganggap Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) bukan keutamaan, namun kerajaan negeri tetap mahu melaksanakannya.

- Advertisement -

Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dilapor memberitahu beliau tidak melihat pelaksanaan undang-undang itu perlu menjadi keutamaan di Kelantan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pindaan itu dibuat untuk menambah baik Enakmen Tatacara Jenayah Syariah sesuai dengan RUU Akta 355 yang dibawa ke parlimen.

“Ia bagi menambah baik lagi. Contohnya sebat di khalayak ramai sesuatu yang perlu kita buat.

“Ia bukan bertujuan menyeksa atau mendera tetapi hendak tunjuk kepada masyarakat kesalahan yang dilakukan supaya tidak berulang. Itu pindaan baik sesuai dengan perkembangan semasa,” katanya di sini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Rabu lepas meluluskan sebanyak 35 pindaan dibuat terhadap enakmen 2002.

Pindaan terbabit dibuat bagi membolehkan hukuman sebat dilakukan secara terbuka di tempat yang diwartakan dan di hadapan pegawai perubatan.

Selain itu memasukkan penggunaan video dan audio sebagai keterangan di mahkamah dan membenarkan penggunaan gari dalam penguatkuasaan. – HARAKAHDAILY 14/7/2017

(Ikuti penjelasan lanjut Menteri Besar di Harakah cetak keluaran akan datang)

- Advertisement -