Wang sumbangan rakyat diguna bina lebuh raya

- Advertisement -

WANG sumbangan orang ramai bagi pembinaan lebuh raya rakyat yang kini berjumlah RM3.3 juta sebahagiannya sudah digunakan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata sebanyak RM2 juta daripada jumlah itu sudah digunakan.

Katanya, jumlah peruntukan itu dibayar kepada kontraktor terlibat pada 19 Jun lepas.

“Bayaran awal itu dapat menjimatkan kos pembinaan lebuh raya kira-kira 37 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas) pada persidangan Dun Kelantan hari ini.

Sebelum ini kerajaan negeri menjelaskan sumbangan orang ramai bagi dana pembinaan rakyat digunakan bagi membina sebuah jambatan.

Difahamkan pembinaan jambatan itu kini sedang giat dijalankan di jajaran lebuh raya tersebut sejauh 10 km.

Lebuh raya itu dibina bermula dari Bukit Tiu sehingga ke Kampung Berangan Mek Nab di Machang.

Hanifa juga berkata pembayaran projek tersebut kepada kontraktor dibuat secara tertangguh berdasar persetujui sebelum ini.

Menurutnya juga pembinaan lebuh raya terbabit sepatutnya siap pada Mac 2018, namun tertangguh ekoran pertukaran kontraktor.

“Kontraktor sebelum ini JKCC yang melaksanakan projek tersebut terpaksa menarik diri akibat tekanan politik Umno tempatan.

“Pihak terbabit memberi tekanan mengapa syarikat milik Kementerian Kewangan boleh terbabit dengan projek kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan tambahan Azamin Mohd Nor (PAS-Kadok).

Beliau juga berkata pengarah syarikat terbabit terpaksa meletak jawatan serta merta ekoran tekanan tersebut.

Oleh itu Hanifa juga berkata, projek pembinaan lebuh raya tersebut dijangka siap pada September 2018. – HARAKAHDAILY 12/7/2017

- Advertisement -