Kerjasama akademik pertahan ‘Serambi Mekah’

- Advertisement -

USAHA kerajaan negeri menjalin kerjasama bidang pengajian tinggi Islam dengan universiti terkenal luar negara bagi meneruskan kesinambungan Kelantan sebagai Serambi Mekah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerjasama dengan Universiti Islam Madinah diusahakan sejak 2014.

“Kami menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Kelantan kerana menyarankan kerjasama akademi antara Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dengan Universiti Islam Madinah sejak 2014,” katanya menjawab soalan Ustaz Roseli Ismail (PAS-Kemuning) pada persidangan Dun hari ini.
Pada Mei lepas KIAS mengadakan perjanjian persefahaman dengan Universiti Islam Madinah dalam proses mengantarabangsa kolej tersebut.

Dr Mohamed Fadzli berkata, hasil kerjasama itu membolehkan pelajar belajar di KIAS selama empat tahun dan di Madinah setahun bagi mendapat sarjana muda Bahasa Arab.

Menurutnya pelajar meneruskan pengajian di Madinah selama setahun bagi membolehkan mereka memantapkan lagi penguasaan bahasa.

“Selain itu Universiti Islam Madinah juga menawarkan 25 tempat kepada pelajar lulusan STAM untuk belajar di universiti tersebut secara percuma,” ujarnya.

Beliau juga berkata, pelajar-pelajar negeri ini terutamanya lepasan Yayasan Islam Kelantan diterima belajar di universiti di Turki dalam bidang perubatan, farmasi dan pergigian.

Kelantan juga mengadakan kerjasama dengan Universiti Az-Zaitunah di Tunisia dalam bidang pendidikan Islam dan Bahasa Arab.

“Kita juga meluaskan kerjasama akademik dengan beberapa universiti di Indonesia,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga), kata beliau kerjasama dengan 100 universiti terkenal di dunia tidak dilaksanakan kerana ia melibatkan kos yang tinggi.  – HARAKAHDAILY 12/7/2017

- Advertisement -