Hentikan segera aktiviti kuari di Bukit Sekilau

- Advertisement -

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pahang mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti kuari di Bukit Sekilau dekat Kuantan di sini kerana ia mengancam alam sekitar dan menjejaskan kehidupan penduduk berhampiran.
 
Masalah yang berlarutan hampir dua tahun yang lalu itu dibimbangi mencetuskan ancaman yang lebih buruk dan berlaku kejadian yang tidak di ingin jika langkah sedemikian tidak diambil oleh kerajaan negeri ini.
 
Mengulas laporan akhbar tempatan (Sinar Harian: 3 Julai 2017) mengenai masalah tersebut baru-baru ini, SAM kesal walau pun kejadian itu sudah lama di hadapi oleh pendudukpenduduk di sini tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya
 
Justeru itu SAM meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan undang-undang dengan tegas agar masalah tersebut dapat ditangani dengan berkesan.
 
Perbincangan antara penduduk-penduduk yang terlibat dengan pihak kerajaan perlu diadakan dengan lebih kerap dan hasil siasatan serta tindakan yang diambil hendaklah dibentangkan bagi meredakan perasaan bimbang yang menyelubungi diri mereka selama ini.
 
SAM mendapat tahu berikutan operasi kuari di Bukit Sekilau di sini bukan saja udara di kawasan itu dicemari habuk malah gegaran akibat letupan batu di bukit berkenaan juga telah menyebabkan rumah penduduk terbabit retak.
 
SAM bimbang jika aktiviti kuari itu berterusan ia boleh mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk-penduduk di sini dengan lebih serius lagi termasuk memusnahan hutan secara meluas dan berlaku hakisan tanah serta banjir lumpur yang teruk pada masa akan datang.
 
Mengenai masalah rumah penduduk yang retak akibat aktiviti kuari di sini, SAM berharap kerajaan negeri dan PBT membantu mereka yang menghadapi masalah itu bagi mendapatkan pampasan yang setimpal dengan kerugian yang dialami.
 
SAM percaya selain kerosakan harta benda yang lebih banyak akan berlaku pada masa depan jika keadaan ini dibiarkan, masalah kesihatan dan keselamatan juga mungkin di hadapi oleh penduduk-penduduk di sini kerana sentiasa terdedah kepada ancaman pencemaran udara, letupan batu dan gegaran dari kuari tersebut. – HARAKAHDAILY 12/7/2017

- Advertisement -
- Advertisement -