Hampir kesemua tanah di Kelantan rizab Melayu

- Advertisement -

HAMPIR kesemua tanah di Kelantan merupakan rizab Melayu berdasar Enakmen Rizab Melayu 1930 dan ia lebih awal wujud berbanding Akta Orang Asli 1954.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar enakmen tersebut tiada istilah tanah adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Kata beliau tanah adat hanya wujud di Sabah dan Sarawak.

“Terdapat kekeliruan kefahaman berkenaan istilah tanah adat. Justeru pada 30 April lepas kerajaan negeri memfail rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi kes Pos Belatim,” katanya pada persidangan Dun hari di Kota Bharu hari ini.

Pada akhir tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan tuntutan yang dibuat sekumpulan Orang Asli bagi membolehkan mereka menuntut hak ke atas kawasan kediaman dan rayau (tanah adat).

Mahkamah bersetuju dengan tuntutan mereka yang mahu tanah yang diserahkan pihak Ladang Rakyat kepada pemaju diisytiharkan tidak sah.

Menjawab soalan Abdul Aziz Yusof (BN-Galas) kata Mohd Amar, kerajaan negeri tidak kalah dalam kes Pos Belatim, seperti digambarkan pihak tertentu.

Katanya keputusan mahkamah tinggi sebenarnya selari dengan hasrat kerajaan negeri bagi mengenal pasti kawasan penempatan Orang Asli dan tempat bercucuk tanam untuk dikeluarkan daripada lokasi Ladang Rakyat.

“Perkara ini telah dibuat lebih awal lagi cuma semasa kes di mahkamah sempadan kawasan tersebut belum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau juga berkata, sehingga sekarang seluas 2,000 ekar sudah diwartakan untuk penempatan Orang Asli dan 3,000 ekar lagi sedang proses perwartaan.

Menurutnya, kawasan yang akan diwartakan itu ditentukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). – HARAKAHDAILY 11/7/2017

Kes Pos Belatim OA

- Advertisement -