PEMIMPIN utama Parti Amanah Negara (PAN) menganggap kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang hanya pandangan peribadi, namun tiba-tiba ia disahut Penasihat PAN Kelantan.
Tidak semena-mena Datuk Husam Musa membuat sidang media menyatakan kesediaan dilantik menteri besar Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sedangkan sebelum itu Timbalan Presiden PAN Salahuddin Ayub menyifatkan pengisytiharan Kit Siang, Husam sebagai calon menteri besar Kelantan hanya pandangan peribadi sahaja.
Polemik dalaman PAN itu menambah lagi kecamuk ketika isu calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) menjadi rebutan PKR, PPBM dan DAP.
Veteran PAS Abdul Fatah Harun berkata, kesungguhan Adun Salor sehingga terpaksa mengadakan sidang media bagi menyatakan kesanggupan dicalon menteri besar Kelantan menambah parah lagi PH.
Katanya, pemimpin terbabit dianggap gagal melihat kenyataan Kit Siang dalam konteks sebenar sehingga Husam serta merta menyambutnya.
“Orang Kelantan panggil sepatutnya beliau malu diri kerana respon awal diberi pemimpin DAP secara spontan dan bukan dilihat serius.
“Itu belum lagi ditengok sokongan di peringkat akar umbi PAN di Kelantan. Lagi pun jawatan menteri besar ditentukan pengundi dan bukan pemimpin tertentu,” katanya di Kota Bharu.
Pada sidang media semalam Husam yang juga Adun Salor dilapor bersedia menerima cadangan sebagai menteri besar Kelantan seperti disebut Kit Siang.
“Untuk sementara waktu saya terima dinamakan sebagai calon menteri besar, perkara ini penting supaya rakyat Kelantan boleh nampak siapa hendak pimpin mereka,” ujar Husam.
Abdul Fatah yang juga Yang Dipertua PAS Rantau Panjang berkata banyak kenyataan dibuat penasihat PAN Kelantan boleh mencalar imej parti itu sendiri.
Adun Pulai Chondong Zulkifli Mamat berkata, sepatutnya Naib Presiden PAN itu menyebut di kerusi mana yang akan beliau tandingi di Kelantan sebelum bersetuju dicalon sebagai menteri besar menunggu.
“Kalau kerusi pun belum ada ini tentunya akan ditertawakan orang ramai. Namun saya melihat beliau akan memilih kerusi selamat di luar Kelantan bagi menyambung hayat politiknya.
“Ini kerana PAN mengharapkan kerusi campuran kerana sejarah pengundi Melayu sejak merdeka hanya ada dua pilihan iaitu PAS atau Umno,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2017