Malaysia jadi tempat buang sisa plastik tercemar?

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut mendapati bahawa beratus kontena berisi dengan sisa plastik dan sekerap tayar dihantar dan ditinggalkan terbiar di Pelabuhan Klang.

- Advertisement -

Walaupun langkah yang ketat dikenakan, dilaporkan bahawa ketika kemuncak masalah itu, pelabuhan itu mempunyai hampir 800 kontena sisa seperti itu dan pihak pelabuhan terpaksa membersihkannya dalam tempoh beberapa tahun sehingga 280 kontena seperti itu yang masih kekal.

Kesannya pelabuhan itu terpaksa menanggung beban kos berjumlah kira-kira RM25 juta untuk mengendalikan sampah itu.  Ia juga menimbulkan kebimbangan bahawa beberapa sisa plastik ini didapati tercemar dengan bahan kimia. Tambahan pula, memandangkan jumlah bahan sisa plastik dan sekerap tayar itu, Malaysia perlu bimbang mengenai pelupusan bertan-tan bahan yang sukar lupus dan tidak mesra alam sekitar.

Sesetengah sisa ini diimport untuk kitar semula oleh pengirim sebenar tetapi akhirnya terbiar disebabkan oleh bayaran pengangkutan yang tidak dibayar oleh penerima konsain tempatan. Sisa ini dihantar dari negara- negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.

Bagaimanapun, jika sisa import itu tercemar dengan sisa berbahaya, ia terikat dengan peruntukan dalam Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan bagi Sisa Berbahaya dan Pelupusannya  di mana pembuangan adalah dilarang.  

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bertanggungjawab mengeluarkan permit import bagi sisa plastik. Perintah Kastam (Larangan Import) (Pindaan) 2015 meletakkan sisa plastik dengan kod tarif HS 3915 dalam Bahagian 1, Jadual Kedua di mana semua import ke Malaysia dilarang kecuali dengan Permit Kelulusan (AP).

Tanpa permit itu, kargo tidak boleh dilepaskan dan pelabuhan tertinggal dengan kargo yang mungkin mempunyai sisa plastik tercemar. Adakah pihak berkuasa pelabuhan mempunyai penyelesaian kepada masalah longgokan dan kargo terbiar dan apakah kemungkinan tindakan yang boleh diambil oleh Malaysia terhadap pengimport yang gagal untuk mendapatkan permit import, mengikuti garis panduan, atau membawa masuk bahan sisa tercemar?

CAP merasa amat bimbang mengenai kuantiti sisa bahan plastik yang diimport dan dieksport oleh Malaysia. Pada 2016, berdasarkan kepada Pangkalan Data Comtrade PBB, Malaysia mengeksport 163,622.4 tan manakala mengimport 287,673.3 tan sisa plastik, sisa dan sekerap.

Kami bimbang bukan hanya Pelabuhan Klang disasarkan tetapi pelabuhan lain di Malaysia mungkin juga menjadi tempat longgokan sisa berbahaya seperti logam dan plastik tercemar, sisa elektronik, bahagian buangan kenderaan yang berminyak dan sisa bahaya lain. Terdapat juga pelabuhan-pelabuhan lain contohnya Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Bintulu yang kita tidak tahu sejauh mana masalah yang dihadapi oleh mereka.

Sehubungan itu, CAP menyarankan agar diharamkan import sisa plastik untuk mengekang kemungkinan Malaysia menjadi tempat longgokan dan hab bagi penghantaran sisa plastik. – HARAKAHDAILY 5/7/2017

- Advertisement -