Ambil iktibar kebakaran Grenfell Tower, London

- Advertisement -

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu terkejut dengan berita kebakaran besar Grenfell Tower di London bulan lalu. Memandangkan bangunan pencakar langit tumbuh bak cendawan di negara kita, tidak sukar untuk kita membayangkan bencana sama juga boleh berlaku di Malaysia. Lebih menakutkan trend pembangunan semasa di negara ini membabitkan pembinaan bangunan pencakar langit. Sehubungan itu, lebih ramai penghuni yang akan mendiami bangunan yang boleh menjadi perangkap maut itu.

- Advertisement -

Berdasarkan aduan yang kami terima daripada penghuni bangunan tinggi dan bangunan pencakar langit lain, kita berdepan dengan hakikat bahawa sebahagian besar faktor yang menyumbang kepada bencana flat perumahan awam yang berlaku pada 14 Jun di Utara Kensington, London itu sama dengan isu-isu yang dihadapi oleh penghuni bangunan tinggi di negara kita.

Di antara beberapa aduan yang kami terima setakat ini termasuklah:
i.Piawaian keselamatan bangunan tinggi tidak dipenuhi
ii.Pihak pengurusan tidak mempedulikan penghuni apabila masalah keselamatan dibangkitkan
iii.Struktur gril menghalang laluan ke anak tangga kecemasan
iv.Alat pemadam kebakaran dan sistem semburan tidak dibaiki
v.Bahan binaan yang digunakan dipercayai bermutu rendah

Apabila kesemua masalah tersebut dikemukakan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB), pihak yang bertanggungjawab menangani masalah berhubung properti strata, kami berharap masalah tersebut akan ditangani namun bukan itu yang berlaku – masalah yang sama masih dihadapi oleh penghuni bangunan tinggi.

Kami mendapati COB sekadar menulis surat kepada perbadanan pengurusan, dan surat-surat itu pula tidak diendahkan. Sebarang tindakan lanjutan yang diambil oleh COB turut menerima nasib yang sama.

Kepada siapakah penghuni bangunan tinggi akan bergantung harap demi memastikan keselamatan nyawa mereka terjamin jika bukan perbadanan pengurusan dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap properti strata? Jawapannya, tidak ada sesiapa pun.
 
Untuk memetik pepatah lama, keadaan di mana kebanyakan bangunan tinggi kita, terutama flat kos rendah dan flat sederhana rendah, tidak diselenggara dengan baik dan disertai fakta bahawa pihak berkuasa berkenaan tidak mengambil tindakan yang sewajarnya, adalah “resipi bagi bencana”.

Jadikanlah insiden Grenfell Tower sebagai satu pengajaran, bukan sahaja kepada pemaju dan kontraktor dalam industri binaan kita malah kepada perbadanan pengurusan dan COB di negara kita.

Janganlah mudah berpuas hati dengan tanggapan bahawa insiden seumpamanya tidak mungkin berlaku. Jika ia boleh berlaku di negara yang didakwa negara maju, tidak mustahil ia boleh berlaku di Malaysia.

Sehubungan itu kami menggesa pihak yang berkenaan agar segera memeriksa bangunan tinggi yang terdapat di negara ini bagi menentukan sama ada ia memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan atau tidak. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama pentingnya ialah industri binaan perlu menimbang semula obsesinya berhubung pembinaan bangunan pencakar langit. Sudah tiba masanya kita memandang berat akan soal keselamatan bakal penghuni rumah dan membina lebih banyak rumah rendah. – HARAKAHDAILY 5/7/2017