AMK wajar fokus pertahan Melayu Islam P. Pinang

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Negeri P. Pinang ingin merujuk kepada respon balas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Asrol Sani Abdul Razak terhadap kenyataan Pesuruhjaya PAS P. Pinang Ust Fauzi Mohd Yusoff semasa ditemu bual pihak media kelmarin ketika Rumah Terbuka Aidilfitri PAS P. Pinang di Markaz PAS Pongsu Seribu.

- Advertisement -

Di dalam temu bual tersebut, Pesuruhjaya PAS P. Pinang menyatakan bahawa PAS P. Pinang sedang mengkaji kerusi-kerusi yang ada di P. Pinang termasuk kerusi yang pernah ditandingi PKR untuk diletakkan calon PAS dalam pilihan raya umum akan datang. Mengkaji kerusi-kerusi pilihan raya adalah suatu perkara biasa dalam amalan parti-parti politik yang bergerak dengan proses demokrasi.

Perlu dinyatakan bahawa bukan sahaja kerusi yang pernah ditandingi PKR yang sedang dikaji, bahkan keseluruhan kerusi yang ada di P. Pinang termasuk yang pernah ditandingi oleh DAP & BN juga termasuk di dalam kajian dan penelitian PAS, berdasarkan perubahan landskap semasa politik nasional dan politik negeri P. Pinang.

Oleh itu, adalah terlalu dangkal dan sangat emosional kesimpulan yang dibuat bahawa PAS menjadi talian hayat kepada BN hanya dengan kenyataan mahu mengkaji kerusi-kerusi pilihan raya untuk PAS meletakkan calon, seolah-olah menunjukkan bahawa PKR merasa sangat tergugat sekiranya PAS turut bertanding di kerusi yang ditandingi PKR sebelum ini.

Kenyataan AMK ini juga menampakkan seperti berlakunya gelombang penolakan pengundi Melayu Islam terhadap DAP dan sekutunya termasuk PKR lebih-lebih lagi dengan lambakan isu-isu agama, isu fatwa, isu tanah dan lain-lain isu yang merugikan Melayu Islam di P. Pinang.

Seandainya PAS di P. Pinang dituduh menjadi talian hayat kepada BN, bagaimana pula halnya dengan PKR di Kelantan yang jelas bersama dengan PAN dan DAP berusaha siang malam untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS? Adakah PKR juga boleh dianggap menjadi talian hayat BN?

Daripada sibuk menuding jari kepada orang lain, lebih baik AMK P. Pinang fokus untuk bersuara bertindak mempertahankan Melayu dan membela Islam di P. Pinang. Usah panik dengan PAS!

AHMAD SAFUAN UJAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 4/7/2017

- Advertisement -