BERTUAHNYA sekitar 5,711 orang sejak tahun 2011 dapat menunaikan fardu haji atas tajaan 1MDB dan dipercayai. Agaknya tidak termasuk musim haji ini.
Hitung panjang dalam masa enam musim haji yang lalu sekitar 952 dapat jadi haji 1MDB. Untuk itu 1MDB telah berbelanja sebanyak RM56 juta.
Peruntukan itu dikira besar tetapi dibandingkan dengan duit 1MDB yang lesap, ia sekitar beberapa peratus saja. Ibarat nasi yang tersangkut di gigi.
Bergeliga otak pentadbir 1MDB berjaya membantu umat Islam sewajarnya ialah mereka yang tidak mampu atau yang belum cukup simpanan di Tabung Haji berpeluang menunaikan rukun Islam itu.
Jika semua badan GLC dapat mengikut kemurahan hati 1MDB itu nescaya lebih ramai umat Malaysia yang bertuah. Mungkin KWSP, PNB, Amanah Raya, TNB, PKNS, Bank Negara, Bank Rakyat dan lain-lain dapat mencontohi 1MDB menaja jika tidak sampai 200 setahun, sekurang-kurangnya 100 setahun pun amat digalakkan.
Ketika PAS memerintah Terengganu antara tahun 1999 – 2004 ia menyewa hotel di Mekah, menganjurkan pemergian haji, kerana penganjuran di bawah TDM, badan perladangan sawit kerajaan, ramai pekerja TDM yang lama berkhidmat dihantar naik haji percuma. Ia tutup selepas BN mengambil semula kuasa.
Memandangkan 1MDB adalah syarikat pelaburan kementerian kewangan yang dipercayai melesapkan berguni-guni duitnya, maka apa agaknya pandangan panel syariyah badan itu jika ia ada panel syariyahnya?
Jika orang naik haji dengan duit loteri dipercayai sah haji, tetapi yang terpilih ke Mekah itu tidak ada curang dengan tadbir 1MDB, kerana yang berangkara ia 1MDB sendiri. Mungkin tidak timbul sah atau tidaknya. Dengan duit apa orang bertuah itu naik haji usah ditanya. Cuma ia dapat haji mabrur atau tidak mungkin berbangkit. Jika yang naik haji secara sah pun belum tentu dapat mabrur, yang punca membiayai mereka yang ditakwil itu mungkin baliknya dengan Haji 1MDB saja.
Moga-moga mereka dapat haji mabrur, tetapi yang nyata bagi orang bertuah itu ialah Haji 1MDB.
Sekalipun 1MDB mengeluarkan peruntukan RM56 juta, tetapi ia tidak dapat membasuh debu dan daki yang dihadapinya.
Dalam tahun 70-an ada seorang perompak di Kuala Lumpur bernama Botak Chin. Hasil rompakannya dicurahkanya kepada kaum gelandangan. Sekalipun dia membuat kebajikan besar tetapi dia tetap diburu kerana jenayahnya. Robin Hood Malaysia itu akhirnya dibunuh.
Robin Hood terkenal penyamun yang menggunakan hasil rompakannaya bagi membela golongan yang tidak berada, tetapi undang-undang tidak dapat memihak kepadanya.
Sekalipun berjuta dan berbilion diperuntukan 1MDB untuk ribuan haji, tetapi ia tidak dapat menutup angkara lesapnya duit yang diambil daripada kerajaan itu.
Nawaitu 1MDB itu justeru apa?
Lillahkah atau bagi menghalalkan rompakannya?
Yang berkebajikan dan berpahala ialah yang dibuat kerana Allah. Sebarang yang kerana Allah itu mestilah sumbernya bersih. Jika berniat seperti Robin Hood tidak dapat diterima bersih nawaitunya, apa lagilah kalau rompakan bernawaitu seperti Ali Baba dengan 40 penyamun.
Memang dalam dunia ini ada orang menggunakan duit syarikat atas nama agama, tapi ia sebagai perisai bagi mengelabu pandangan orang ramai.
1MDB mungkin selepas ini mengadakan alumni haji-haji 1MDB dan setiap haji itu tidak percaya duit 1MDB dirompak. Untuk lebih glamor, haji yang bertuah itu jadi Haji Robin Hood. – HARAKAHDAILY 3/7/2017
Bertuah jadi haji 1MDB
- Advertisement -