Isu Felda bukan ‘mi celup’

- Advertisement -

SEMASA saya hadir satu majlis rumah terbuka di Jengka Pahang,  beberapa hari lalu, dapat ketemu dengan sahabat-sahabat dari Felda berdekatan.

- Advertisement -

Mereka menagih perkembangan terkini isu yang melanda. Saya beritahu mereka jangan hanya mengejar isu terkini, isu terdahulu belum selesai. Kena terus menyelinap ke setiap rumah dalam tanah rancangan.

Isu Felda bukan untuk dimainkan pada waktu tertentu sahaja. Selepas tu senyap sunyi. Tunggu waktu sesuai dan main lagi. Jika begini bila mereka nak sedar. Keutamaan ialah kupasan isu ini bersama peneroka dan anak generasi pewaris mereka.

Bukan hanya berlegar di paparan akhbar bagai melepas batuk ditangga. Nak hanya keluar berita sahaja, tapi kupasan dan penjelasan tidak sampai ke mereka.

Saya cuba memberi sedikit kupasan dan hujah isu yang perlu kita terus berjuang dan beri kesedaran kepada peneroka antaranya :

1. Menyingkir KPF Dari Felda Holdings
KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad (FHB) telah ditendang keluar daripada Felda apabila perwakilan bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.

Penyingkiran KPF daripada menguasai FHB dengan 51 peratus pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah membuka mata peneroka felda seluruh negara. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61sesaham.

2. Menyingkir 37 Pegawai Kanan Yang Tidak Setuju Penyenaraian FGV
Ini yang amat malang dalam dunia FELDA bilamana mereka yang amanah, setia dan sangat berintergriti memacu Felda sehingga berada di kedudukan cemerlang sehinggalah kehancuran selepas diambil alih oleh Isa.

3. Merampas Ladang Sawit 360,000 Hektar
Tanah atau ladang yang selama ini menjadi pendapatan kumpulan, telah diserahkan secara pajakan kepada FGV. Pendapatan yang dijana hasil dari tanah ini mencecah RM1.2 hingga RM1.8bilion setahun, kini sudah dikongsi dengan pemegang saham FGV seluruh dunia dan kehilangan besar kepada pendapatan Felda.

4. Menghentikan Peruntukan Pembangunan Sosial Kepada Peneroka
Apabila pendapatan daripada tanah 360,000 hektar sudah tidak menjadi milik Felda, peneroka Felda tidak lagi disalurkan peruntukan RM60 juta setahun seperti sebelum ini. Ini menyebabkan banyak program sosial peneroka tidak dapat dilaksanakan.

5. Pembelian Aset Mewah Dengan Harga Tinggi Dari Harga Semasa
Selepas penyenaraian FGV, Felda dan FGV di bawah Tan Sri Isa Samad, mulai berbelanja mewah. Pembelian tanah perladangan dan perhotelan serta ambil alih Syarikat di dalam dan luar negara telah dibuat, antaranya :
• RM1.2 bilion digunakan untuk mengambil alih saham Pontian United Palntation Berhad.
• RM548 juta untuk pembelian Grand Plaza Service Apartment.
• RM86 juta pembelian Grand Borneo Hotel di Kota Kinabalu Sabah.
• RM110.3 juta mengambil alih 25 peratus saham Iris Corporation Berhad.
• RM304 juta Pembelian Hartanah di Bukit Katil Melaka

6. Skandal Ikan Sturgeon
Projek yang bernilai RM135juta dinamakan Projek Felda Carviartive Blue Dream Park terletak di Kuala Tahan, Jerantut Pahang. Projek yang menggunakan teknologi Korea Selatan ini didakwa mampu menghasilkan 30 metrik tan karvia setahun dan menjana pulangan RM360 juta setahun. Harga semasa telur ikan ini mencecah RM12,000 sekilogram. Laporan ketua juru audit negara mengesahkan RM47.6 juta lesap tanpa dapat dikesan.

7. Skandal Penjualan TRT- ETGO
Felda Global Vantures Holdings Berhad (FGV) menjual keseluruhan kepentingannya dalam Twin Rivers Technologies Enterprises de Transformation de Granines Oleagineuses du Quebec Inc (TRT- ETGO) dengan nilai AS$180 juta atau RM608.2 juta, isu ini terus menjadi tanya rakyat Malaysia kerana pihak FGV tidak pernah menjelaskan kedudukan keuntungan yang didakwanya mencecah RM65 juta.

Tidak ada laporan lengkap keuntungan yang didakwa FGV , sebaliknya ada sumber yang sangat boleh dipercayai mendakwa FGV mengalami kerugian besar berkait penjualan ini sehingga mencecah RM800 juta.

Pada awal julai 2015 lalu, FGV seperti mana dilaporkan Bloomberg dijangka memperolehi lebih RM1 bilion selepas berjaya menjual kilang TRT -ETGO yang telah menarik minat pembida pada harga AS$180 juta (RM686 juta ) hingga AS$250 juta (RM953 juta) .

Hanya sebulan selepas laporan Bloomberg, FGV telah melaporkan penjualan TRT – ETGO ini dengan harga RM608.2 juta kepada Viterra Inc, pengendali dan pemasar bijirin dan minyak terkemuka Kanada.

Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat antarabangsa berminat untuk membida TRT-ETGO masih berjalan. Hanya jarak waktu 14 hari , FGV telah mengumumkan penjualan ini.

8.Skandal Pembeli Bilik Asrama RM829,894 Seunit
Felda di bawah Isa telah mengumunkan projek penerokaan dalam segmen penginapan di luar negara melibatkan kos RM373.4 juta

Bilik yang berharga hampir RM1 juta berhampiran Stadium Wembly London didakwa mampu membawa Felda mencapai matlamat menambah pendapatan kepada syarikat dalam langkah strategik Felda melalui Felda Investment Corporation (FIC). Sehingga sekarang tiada laporan untung rugi projek ini.

9. Skandal Duit Raya Peneroka
Setiap tahun 13,589 peneroka dinafikan hak mereka ini dengan perbagai alasan antaranya mereka engkar dan melawan Felda. Sedangkan sebahagiannya adalah peneroka yang berdikari, menguruskan sendiri urusan kebun mereka.

10. Skandal Hutang Peneroka
Hutang peneroka sudah mencecah RM5 bilion pada akhir 2016. Apa yang pelik Felda yang menguruskan semua urusan penjagaan ladang, apakah yang menyebabkan mereka berhutang setelah berpuluh tahun setia kepada Felda.

11. Skandal Felda Technoplan
Felda terpaksa membeli semula Syarikat ini dengan harga RM38juta. Kenapa?

12. Skandal Pinjaman 800 Unit Saham FGV Peneroka
Peneroka dipaksa membuat pinjaman dengan institusi kewangan untuk membeli 800 unit saham setiap seorang. Dijanjikan harga boleh mencecah RM15 sesaham. Pinjaman hanya setahun. Sejak dari disenaraikan 2012 sehingga sekarang 2017, peneroka masih lagi belum habis membayar hutang ini. Jumlah hutang tidak termasuk faedah dan kos lain berjumlah RM3640 setiap peneroka.

13. Skandal Harga Saham FGV
Sepanjang saham FGV diniagakan, minggu ini harga berlegar sekitar RM1.66 seunit, padahal ketika disenaraikan 2012 dulu harga seunit RM5.55. Mana janji Isa untuk menjadikan peneroka Felda kaya raya dengan hasil saham ini?

14. Skandal Saham PT Eagle High Plantation
Pembelian saham Perladangan Indonesia anak syarikat Rajawali Group, 37 peratus saham EHP pada harga AS$505.4 juta (RM2.263 bilion)

Dan banyak lagi skandal yang berlaku seperti didedahkan oleh rakan-rakan NGO yang lain sebelum ini. Kami keluar masuk tanah rancangan Felda bagi mengupas dan menerangkan isu terkini Felda sejak bertahun lalu selepas Isa dilantik pengerusi Felda. Kami dihalang, kami diserang dan sebagainya. Tidak ada peneroka Felda yang PERCAYA bahkan menuduh kami menghasut dan menyebar fitnah. Hanya segelintir sahaja warga Felda yang percaya waktu itu.

Kini apa yang kami senaraikan dan sampaikan setiap kali perjumpaan dengan warga Felda sepanjang kempen Tranformasi Felda oleh Perdana Menteri dan Isa Samad sudah terpampang di hadapan kita. Jangan nanti sudah hancur semuanya baharu kita hendak menangisi apa yang berlaku.

Semoga jawapan ini mampu memberi pencerahan lagi kepada warga Felda agar membuat satu perubahan pemikiran serta menilai semua apa yang berlaku. Kami tidak memaksa warga Felda menerima bulat-bulat apa yang kami catatatkan, tetapi boleh dijadikan sandaran untuk mencari jawapan yang lebih tepat setiap skandal yang kami kongsikan.

Bila mereka mendengar banyak isu yang saya lontarkan kepada mereka, mereka baru semangat dan nampak keperluan untuk terus mengadakan program. Ini lah kelemahan kita. Hanya berfikir bermusim, hanya nak keluar berita tapi membiarkan warga felda dengan dunia mereka. Kita mesti turun dan masuk ke tanah-tanah rancangan Felda.

Bukan banyak pun, hanya 317 tanah rancangan yang berselerak di 54 parlimen dan 92 Dewan Undangan negeri seluruh negara kecuali Sarawak. Saya kata kepada mereka jika saya seorang sasarkan satu tanah rancangan setiap hari, saya perlukan hampir setahun untuk membereskannya. Jadi  mana mungkin ini saya mampu laksanakan .

Kita perlukan kerjasama semua aktivis, cawangan parti politik untuk menghasilkan penyampaian yang berkesan kepada peneroka Felda.

Mentaliti pemikiran ‘Kerajaan sudah pecat isa samad, kerajaan sudah tukar pengurusan dan sekarang Felda dah ok’ perlu diubah. Mereka anggap tukar je ‘orang jahat’ seperti Isa Samad, semua kembali baik. Jadi, kita jangan jadi macam mi celup atau mi segera.

NARAZA MUDA
Aktivis Membela Peneroka Felda (AMPF)
02 Julai 2017 – HARAKAHDAILY 2/7/2017