1MDB: Majlis Syura sokong Presiden PAS

- Advertisement -

PAS menegaskan pendirian bahawa isu 1MDB yang melibatkan maruah mesti diselesaikan dalam negara tanpa melibatkan campur tangan asing.

- Advertisement -

Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh menyokong kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkenaan perkara tersebut.

“Kes penyelewengan 1MDB, kita mengambil sikap supaya isu besar ini yang membabitkan maruah negara diselesaikan di peringkat negara kita.

“Sebab kita mempunyai undang-undang dan kita ada kedaulatan di dalam negara kita. 1MDB ini adalah duit dipunyai oleh rakyat Malaysia yang perlu dijaga dengan baik dengan sempurna,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Aidilfitri PAS Kawasan Kuala Nerus, semalam.

Lantaran itu, tegas beliau, campur tangan Amerika Syarikat untuk menilai kedudukan 1MDB akan menggugat keselamatan negara ini.

“Campur tangan daripada Amerika Syarikat untuk menilai kedudukan 1MDB, kita bukan menolak dari segi masalah maklumat yang bakal diberikan oleh mana-mana pihak tetapi kita tidak mahu campur tangan daripada kuasa asing terutama sekali Amerika Syarikat yang pastinya mereka ini anti kepada Islam,” tegasnya dipetik Buletin Online.

Selain itu, kata beliau, PAS bimbang penglibatan negara luar akan mencampuri urusan negara dan melibatkan perkara-perkara lain sehingga menjejaskan kedaulatan negara.

“Jadi ini yang menyebabkan kita tidak mahu menerima mana-mana kuasa asing untuk mencampuri hal ehwal masyarakat ataupun rakyat di dalam negara Malaysia,” tambah beliau.

- Advertisement -