PRU14: Realisasi hasrat untuk lihat Malaysia selamat

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Negeri Terengganu memandang berat masalah sosial yang berlaku kerana ia menyebabkan keruntuhan institusi keluarga dan mengancam keselamatan negara.

- Advertisement -

Ketuanya, Hajah Zarani Othman berkata, keadaan itu sangat menggerunkan serta mempesoalkan adakah negara ini masih selamat.

“Bagaimanakah nasib generasi muda akan datang? Persoalan yang timbul apabila Malaysia, negara yang kita sayangi semakin hari semakin gawat dengan masalah gejala sosial yang semakin teruk,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, Kuala Nerus, petang kelmarin.

Tambahnya, gejala seks bebas, masalah dadah yang semakin parah dengan kelahiran anak luar nikah semakin bertambah saban tahun.

“Kes dera yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini yang terkini kes adik Muhammad Hairi di Besut yang mengakibatkan kematian,” katanya.

Beliau merujuk kepada kes dera Muhammad Hairi Amsyar Abdul Rahman yang berumur lima tahun yang dilaporkan didera bapa tirinya meninggal berpunca daripada hentakan kuat yang menyebabkan koyakan pada usus.

Oleh itu, kata beliau, semenjak Dewan Muslimat PAS ditubuhkan sehingga kini seiring dengan penubuhan PAS pada tahun 1951, sayap kiri PAS itu telah berusaha melaksanakan pelbagai program.

“Antaranya ialah kuliyah-kuliyah ilmu, ceramah, kelas kafa, kelas Al- Quran, usrah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada seluruh masyarakat khususnya wanita di samping program-program kebajikan, dan ceramah berkaitan dengan undang-undang Islam dan sebagainya untuk membantu saudara yang miskin dan perlu kepada pembelaan,” ujarnya.

Justeru Dewan Muslimat berpendapat, penyelesaian sebenar kepada masalah yang ada sekarang perlu kepada perubahan secara ‘total’ dengan semua pihak sama ada kerajaan, ibu bapa dan anak-anak mesti kembali kepada Islam yang menyeluruh dengan meletakkan hukum Allah sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia.

“Oleh itu saya menyeru agar rakyat membuat perubahan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

“Jadikanlah PRU sebagai satu platform untuk kita semua merealisasikan hasrat dan niat kita untuk melihat Malaysia kembali aman dan selamat dengan.

“Kita memilih (mengundi) calon yang bukan sahaja dilihat ikhlas dan amanah tetapi yang benar-benar mempraktikkan sifat ikhlas dan amanah dalam kehidupan seharian mereka,” kata beliau.

- Advertisement -